Tuntut RM1.38j

Oleh Idris Musa

idris@hmetro.com.my

KUALA LUMPUR: Pengasas produk kecantikan Nouvelles Visages, Datuk Sosilawati Lawiya, semalam memfailkan tuntutan RM1.38 juta terhadap bekas suaminya yang juga vokalis kumpulan Lefthanded, Nash di Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam, Selangor.

Dia menuntut bekas suaminya mengembalikan modal yang pernah dikeluarkannya untuk pelaburan di Amanah Saham Bumiputera (ASB) dan Amanah Saham Wawasan 2020 (ASW2020) yang masing-masing RM200,000 serta Public Mutual Berhad (RM500,000).

Nash atau nama sebenarnya Jamaludin Elias, 50, selaku defendan juga dituntut mengembalikan wang RM480,000 yang dikeluarkan Sosilawati untuk menyelesaikan pinjaman bank dan bayaran berkaitan ke atas rumah di Seksyen 7, Shah Alam.

Tuntutan wang dan modal lebih RM1 juta yang pernah dikeluarkan usahawan wanita itu terhadap bekas suaminya dibuat melalui firma guaman syarie, Zaidi Zain & Associates. Kes terbabit ditetapkan untuk majlis sulh iaitu perbicaraan dalam kamar pada 10 Disember depan.

Sosilawati, 46, plaintif dalam kes ini, turut memohon mahkamah mendapatkan perintah supaya harta yang membabitkan ASB, ASW 2020, Saham Public Mutual Berhad dan rumah terbabit sebagai harta sepencarian.

Peguam plaintif, Datuk Zaidi Zain, berkata menerusi tuntutan itu, plaintif juga memohon mahkamah mengeluarkan perintah dua pertiga daripada apa-apa keuntungan, bonus dan dividen saham dan hartanah terbabit diberikan kepada plaintif, manakala satu pertiga diberikan kepada defendan.

“Plaintif turut memohon mahkamah memerintahkan pihak defendan mendedah dan memaklumkan maklumat terkini mengenai status saham dan hartanah terbabit kepada pihak plaintif dalam tempoh 14 hari selepas perintah dikeluarkan,” katanya.

Sosilawati dan Nash berkahwin pada 16 November 2006 di Batu Pahat, Johor, namun bercerai talak satu di depan Hakim Syarie, Wan Mahyuddin Wan Mohammad di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur, dekat sini, pada 26 Mei 2009.

Dia sebelum ini berjanji tidak akan menuntut nafkah edah, mutaah, nafkah tertunggak dan apa juga tuntutan yang dibenarkan di mahkamah, manakala permohonan bagi harta sepencarian akan difailkan kemudian.

Menurut draf tuntutan itu, defendan berjanji membayar semula keseluruhan wang yang dipinjamkan plaintif kepadanya secara ansuran, namun sehingga kini defendan gagal menjelaskan semula hutangnya kepada plaintif.

Selepas perceraian, pihak plaintif mendakwa ada menghantar surat atau notis kepada pihak defendan untuk memulangkan kembali jumlah wang terbabit kepadanya.

“Namun, defendan tidak menjawab atau memberikan apa-apa cadangan bagi menyelesaikan tuntutan terbabit,” katanya.

Plaintif percaya, modal yang dikeluarkan itu menjana keuntungan kerana ia membabitkan jumlah yang besar dan pelaburan yang terjamin.