Bekas peninju Terengganu mati dalam kereta



ORANG RAMAI melihat Salleh yang mati di dalam keretanya di Jalan Jertih-Kota Bharu dekat Kampung Padang Landak, Besut kelmarin.


BESUT - Mayat seorang lelaki yang juga bekas peninju Persatuan Tinju Amatur Terengganu (PTAT) ditemui di dalam sebuah kereta di tepi jalan utama Jertih-Kota Bharu dekat Kampung Padang Landak di sini pukul 8 malam kelmarin.

Salleh Awang, 46, berasal dari Kampung Simpang Tiga Che Mohid, Guntung Dalam, Setiu pernah mewakili Terengganu dalam beberapa kejohanan tinju kebangsaan anjuran Persatuan Tinju Amatur Malaysia (PTAM) kini bekerja sendiri dengan membawa kereta sewa di bandar Jertih.


SALLEH


Ketua Polis Daerah Besut, Supritendan Kamaruddin Mohd. Zakaria berkata, Salleh dilihat memberhentikan kereta Proton Saga oleh orang ramai di kawasan itu pada pukul 5 petang kelmarin.

Pada masa itu, menurut beliau, orang yang lalu lalang di situ tidak mengesyaki apa-apa kerana menyangka beliau hanya tidur dan berhenti berehat.

"Bagaimanapun, seorang penduduk yang melintasi keretanya pada pukul 7 petang mula mengesyaki sesuatu apabila melihat mangsa terbaring di dalam keretanya tanpa bergerak lalu melaporkan kepada polis," katanya ketika dihubungi di sini semalam.