BATU ENAM - “Ketika kejadian dia tengah bercakap melalui telefon dengan saya, tiba-tiba suaranya senyap. Beberapa ketika saya dengar ada bunyi orang bercakap, angkat-angkat, selepas itu telefonnya terus padam,” kata tunang kepada Allahyarham Wan Shahrihelmi Wan Ahmad, 28, mangsa kemalangan maut dekat sini, pagi kelmarin.
Gadis yang hanya ingin dikenali sebagai Nana berkata, ketika berbual di telefon, Shahrihelmi dikatakan sedang memandu pulang dari tempat kerja dan menuju ke Tasik Kenyir untuk memancing.
Dalam perbualan berkenaan, arwah dikatakan beberapa kali memohon maaf daripada tunangnya itu.
“Semasa bercakap, dia dalam perjalanan ke Tasik Kenyir katanya untuk memancing kira-kira jam 7.30 pagi sebelum tragedi. Arwah berperangai agak pelik berbanding biasa, dia berulang kali memohon maaf daripada saya, bagaimanapun saya anggap ia perkara biasa serta tidak mengesyaki apa-apa akan berlaku kepadanya.
“Tetapi selepas telefon terpu-tus, saya rasa tidak sedap hati lalu cuba menghubungi seorang daripada rakannya untuk mengetahui apakah yang berlaku, dan diberitahu dia terbabit dalam kemalangan dan mening-gal dunia,” katanya yang bekerja di Shah Alam.
Nana yang ketika itu berada di Shah Alam terus bertolak ke Dungun untuk menziarahi jenazah di Hospital Dungun dan tiba kira-kira jam 12.30 tengah hari.
Menurutnya, mereka bercadang melangsungkan perkahwinan Disember depan namun segalanya berkecai apabila tunang kesayangannya itu pergi buat selama-lamanya.
Dalam tragedi di Kilometer 83.1 Jalan Kuala Terengganu-Kuantan, kira-kira jam 7.40 pagi kelmarin, kereta Honda Civic dipandu arwah dikatakan bertembung dengan sebuah kereta lain, jenis Honda Jazz yang keluar dari simpang tiga berdekatan.
:Akibat rempuhan terbabit, Shahrihelmi berasal dari Jerteh yang juga juruteknik Petronas itu mengalami kecederaan parah bahagian kepala dan meninggal dunia di tempat kejadian.
Sementara, pemandu kereta Honda Jazz berkenaan dikenali sebagai Arfah Ahmad, 25, cedera dan dihantar ke Hospital Dungun untuk menerima rawatan lanjut.
Battery Reconditioning
6 years ago