Balkoni tingkat lapan ITC Teluk Kalong jatuh



TELUK KALONG – Balkoni tingkat lapan International Training Centre (ITC) Teluk Kalong, Kijal, di sini, jatuh ke tanah berikutan angin kuat yang berlaku dalam kejadian lewat malam, kelmarin.

Sinar Harian yang menerima maklumat ada kejadian bangunan runtuh bergegas ke tempat kejadian dan mendapati hanya balkoni jatuh dan berada pada aras tanah tempat berkenaan.

Sementara itu, pengawal keselamatan International Training Centre (ITC) Teluk Kalong yang enggan dikenali berkata, balkoni berkenaan jatuh kerana angin kuat disebabkan lokasi kejadian berhampiran Pantai Teluk Kalong.

“Beberapa pekerja mengalihkan balkoni ke tempat selamat dan tiada yang cedera atau kerosakan berikutan kejadian itu ketika ia melayang jatuh ke tanah,” katanya.

Bangunan ITC setinggi lapan tingkat itu kini telah siap dan menjalani proses kerja peringkat akhir.

Difahamkan, Menteri Besar, Datuk Ahmad Said telah dimaklumkan mengenai kejadian terbabit dan akan melawat tempat kejadian, Sabtu ini.