PEKAN BATU ENAM – Tiada yang lebih menggembirakan bagi seorang bapa, Mohd Omar, 70, selain melihat kesemua anak yang dikasihi berjaya dalam bidang ma-sing-masing.
Mohd Omar merupakan penerima anugerah Keluarga Mithali sempena sambutan Jubli Emas Pas Kawasan Kuala Nerus yang diadakan di Sekolah Darul Taqwa, baru-baru ini.
Bapa kepada 12 cahaya mata itu berkata, dia memberi penekanan pendidikan kepada anak-anaknya kerana menyedari akan kepentingan ilmu pengetahuan jika mahu mendapat lebih peluang dalam segala perkara.
“Sejak dari kecil lagi mereka (anak-anak) telah dilatih untuk sentiasa memberi tumpuan kepada pendidikan, termasuk ilmu agama.
“Sebagai bapa saya inginkan yang terbaik kepada anak-anak walaupun sesusah mana sekalipun, saya akan pastikan semua keperluan mereka dipenuhi agar tumpuan pembelajaran tidak terganggu,” katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui pada majlis peng-anugerahan berkenaan.
Menurutnya, hampir kesemua anaknya melanjutkan pelajaran ke institut pengajian tinggi dan masing-masing menyandang jawatan tinggi dalam bidang yang dipelajari.
“Meskipun kebanyakan mereka sudah mempunyai keluarga sendiri, tetapi saya sentiasa ingatkan mereka agar jangan lupa asal-usul dan sentiasa berpegang teguh pada agama,” kata peng-usaha kayu yang berasal dari Teluk Pasu ini.
Mohd Omar berkata, isterinya, Misbah Musa, 59, turut memainkan peranan penting dalam mendidik anak-anak, terutama ketika berada di rumah bagi memastikan pembelajaran mereka sentiasa dipantau.
Menurutnya, dia bersyukur menerima anugerah tersebut, tetapi lebih bangga kerana penghargaan itu disampaikan Presiden Pas, Da-tuk Seri Abdul Hadi Awang.
Battery Reconditioning
6 years ago