KUALA TERENGGANU -: Lebih 2,000 samseng jalanan dianggotai sekurang-kurangnya 300 pelajar di negeri ini diletakkan dalam senarai dikehendaki polis kerana terbabit kes curi motosikal dan lumba haram.

Kumpulan yang ahlinya terkenal mencuri motosikal dan mengasingkan komponen motosikal curi menggelar diri mereka sebagai Apache, Seven to One, Dracula, Owl Town Club dan Benetton.

Lebih mengejutkan, ketua kumpulan turut menyediakan kad keahlian kepada ahli dan mereka bertanggungjawab menganjurkan perlumbaan haram di setiap hujung minggu di lokasi tertentu.

Menyedari ancaman kumpulan samseng jalanan itu, Polis Diraja Malaysia (PDRM) negeri ini mengambil keputusan menubuhkan pasukan khas diketuai Deputi Superintendan Chang Choi Mok dan Inspektor D Selvakumar.

Pasukan terbabit bertanggungjawab memburu dan menangkap kumpulan samseng jalanan bagi mengelak mereka daripada terus berleluasa melakukan jenayah serta mengancam orang awam.

Sinar Harian 3 November lalu melaporkan satu sindiket curi motosikal dikenali sebagai geng Benneton yang bergerak aktif di tiga daerah tumpas dengan tertangkapnya sembilan lelaki termasuk seorang pelajar berumur 16 tahun.

Kumpulan diketuai lelaki berumur 20 tahun dari Rusila, Marang, itu akhirnya lumpuh setelah polis melakukan operasi khas mengekang jenayah curi motosikal selama dua hari, bermula Sabtu lalu.

Ketua Polis Terengganu, Datuk Mohd Shukri Dahlan berkata, suspek adalah penganggur dan melakukan jenayah terbabit bersama 10 lelaki lain berumur antara 16 hingga 20 tahun di sekitar Kuala Terengganu, Marang serta Hulu Terengganu.

Menurutnya, hasil siasatan awal pihaknya mendapati, kumpulan terbabit terlibat 30 kes kecurian motosikal di sekitar tiga daerah berkenaan namun beliau tidak menolak kemungkinan jumlahnya melebihi daripada angka itu.

Mohd Shukri berkata, polis memandang serius jenayah curi motosikal berikutan kes di Terengganu sehingga Oktober meningkat kepada 2,115 kes berbanding 1,811 tahun lalu.