Hujan lebat di pantai timur hingga Selasa


KUALA LUMPUR - Hujan sekejap-sekejap kadangkala lebat dijangka berterusan hingga Selasa di semua daerah di Kelantan dan Terengganu.

Jabatan Meteorologi yang mengeluarkan amaran hujan lebat peringkat kuning dalam kenyataannya berkata, keadaan itu boleh menyebabkan banjir di kawasan rendah berdekatan tebing-tebing sungai.

Menurut jabatan itu, hujan lebat dari semasa ke semasa juga dijangka berterusan di daerah Jerantut, Kuantan, Pekan, Maran dan Rompin di Pahang yang boleh menyebabkan banjir.

Orang ramai diminta berhati-hati dan mematuhi arahan berpindah jika banjir berlaku di kawasan mereka, kata.

Kawasan pantai di Kelantan, Terengganu dan Pahang juga terdedah kepada kejadian kenaikan paras air laut dan keadaan ini dijangka berterusan sehingga Selasa ini.

Sementara itu, keadaan laut bergelora setinggi 3.5 meter dengan angin selaju 40 hingga 50 km sejam dijangka berlaku di perairan berhampiran Kelantan dan Terengganu dan juga di Terumbu Layang-Layang, Palawan dan utara Sabah dekat Kudat sehingga Ahad.

Keadaan itu berbahaya kepada bot-bot kecil dan semua akiviti di laut.