Pasangan kekasih mencuri di surau

SURAU lelaki di pusat beli-belah Mid Valley, Kuala Lumpur yang didakwa kerap berlaku kes kecurian membabitkan satu pasangan kekasih.


KUALA LUMPUR - Kepakaran pasangan 'tangan kilat' mencuri barang berharga jemaah ketika beribadat dalam surau di pusat beli-belah Mid Valley di sini tidak berpanjangan apabila mereka ditahan Khamis lalu.

Pasangan kekasih masing-masing berusia 21 tahun dan merupakan operator pengeluaran sebuah kilang ditahan pada pukul 6 petang berhampiran surau itu sejurus mereka mencuri dompet milik seorang pelajar perempuan yang sedang menunaikan solat Asar di surau itu.

Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Wan Abdul Bari Wan Abdul Khalid berkata, dengan tertangkapnya pasangan itu, polis yakin telah dapat menyelesaikan 23 kes kecurian di surau pusat beli-belah tersebut dalam tempoh sebulan lalu.

"Selepas menunaikan solat pada pukul 5.55 petang, pelajar itu menyedari dompet miliknya yang disimpan dalam beg tangan hilang sebelum dia membuat laporan di balai polis berhampiran," kata beliau di sini semalam.

Menurut beliau, polis yang menjalankan siasatan telah menahan pasangan itu yang dilihat mencurigakan ketika berada berhampiran kawasan surau itu.

"Ketika ditahan, polis menemui lima buah telefon bimbit yang dipercayai dicuri daripada jemaah lain di surau sama pada hari tersebut," kata beliau.