Kanak-kanak sebagai 'harta' dan 'permata'

Oleh FAIZATUL FARHANA FARUSH KHAN


pertandingan congkak, antara permainan tradisional yang diadakan sempena Hari Kanak-Kanak Sedunia Peringkat Kebangsaan 2009.


ANAK adalah anugerah paling berharga yang diamanahkan Allah SWT kepada pasangan suami isteri bagi menyempurnakan sebuah perkahwinan dan sebagai penyambung keturunan.

Sehubungan itu, anak-anak perlu dididik dan dipelihara sebaik mungkin bagi menjadikan mereka 'harta' dan 'permata'.

Pada masa depan, harta dan permata yang ada ini bukan sahaja akan menentukan maruah diri dan keluarga tetapi juga negara.

Justeru, kepentingan golongan kanak-kanak ini sering diberi keutamaan dan ia sudah terbukti sejak dahulu apabila pada tahun 1953, sambutan Hari Kanak-Kanak Sedunia yang pertama diisytiharkan melibatkan penyertaan daripada 40 negara.

Di Malaysia, sambutan yang diraikan sejak 1959 itu dianjurkan Kementerian Perpaduan Negara dan Pembanguan Masyarakat yang kini dikenali Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) secara tahunan pada setiap Oktober atau November.

Tahun ini, Hari Kanak-Kanak Sedunia Peringkat Kebangsaan 2009 disambut besar-besaran pada 7 November lalu di Pusat Aktiviti Kanak-Kanak (PAKK) Taman Putra Perdana, Puchong, Selangor.

Ia dianjurkan bagi memberi pendedahan kepada masyarakat terutama ibu bapa atau penjaga mengenai tanggungjawab terhadap kanak-kanak dan apa sepatutnya atau tidak seharusnya dilakukan dalam mendidik.

Selain menunjukkan penghormatan masyarakat terhadap kanak-kanak, sambutan itu bertujuan menyedarkan mereka mengenai tanggungjawab memelihara hak serta masa depan kanak-kanak.

Bertemakan 'Keluarga Selamat Kanak-Kanak Terpelihara', sambutan tahun ini disertai hampir 5,000 orang terdiri daripada kanak-kanak PAKK seluruh negara, institusi kanak-kanak, ibu bapa, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan masyarakat setempat.

Turut hadir pada sambutan itu ialah Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Senator Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil, Timbalannya, Senator Datin Paduka Chew Mei Fun, Ketua Setiausaha KPWKM, Tan Sri Faizah Mohd. Tahir dan Ketua Pengarah Kebajikan Masyarakat Malaysia, Datuk Meme Zainal Rashid.

Sambutan berkenaan turut mendapat tajaan daripada Nestle Products Sdn. Bhd., KFC Holdings (M) Bhd. dan Colgate-Palmolive (Malaysia) Sdn. Bhd.

Dalam ucapannya, Shahrizat berkata, perhatian serius perlu diberi dalam usaha mewujudkan persekitaran yang kondusif bagi memastikan keselamatan, kebajikan, pendidikan, kesihatan, perkembangan dan pembesaran kanak-kanak adalah sempurna dan terpelihara.

"Setiap kanak-kanak mempunyai hak bersuara, menyertai dan melibatkan diri mengikut keupayaan dalam perkara yang mampu memberi kesan positif kepada mereka.

"Kerajaan sentiasa mempertingkatkan kesedaran masyarakat berhubung kepentingan hak kanak-kanak untuk melahirkan golongan ini yang sihat, cergas, berilmu, inovatif, kreatif, berjati diri, berdaya saing dan bernilai murni," tambahnya.

Sementara itu, Meme dalam ucapannya memberitahu, tema tahun ini bertepatan dengan keadaan semasa dan keperluan yang mana isu keselamatan kanak-kanak menjadi keutamaan kerajaan.

"Dengan sambutan ini, kami memberi kesedaran kepada keluarga dan masyarakat betapa pentingnya memastikan keselamatan dan perlindungan kanak-kanak berada di tahap terbaik.

"Kanak-kanak adalah pewaris negara yang bakal memacu kegemilangannya, jadi mereka perlu diberi perhatian dan pembelaan sewajarnya seiring kemajuan Malaysia," katanya.

Beliau berkata, dalam suasana negara yang makmur dan berjaya, isu penderaan dan penganiayaan terhadap kanak-kanak sepatutnya menjadi sejarah yang seharusnya tidak berulang.

"Sepanjang sambutan hari ini, kami menyediakan puluhan gerai agensi di bawah kerajaan atau NGO termasuk Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) dan Jabatan Penerangan Malaysia bagi memberi pendedahan kepada pengunjung mengenai pendidikan kanak-kanak.

"Pengunjung diberikan penjelasan, risalah dan mendapatkan bahan pengajaran bagi memberi maklumat mengenai kaedah terbaik memahami dan mendidik golongan kanak-kanak," katanya.

Pelbagai aktiviti menarik turut dijalankan pada sambutan itu termasuk peraduan menguji minda, persembahan koir daripada 50 pelajar kurang upaya dari Sekolah Kebangsaan Pendidikan Khas (SKPK) Kementerian Pelajaran dan karaoke