Dilamar kekasih lama

Soalan: SAYA adalah seorang wanita yang berjaya dalam kerjaya. Saya memang tidak memerlukan suami untuk menyara keperluan harian saya. Namun demikian, hati saya telah diketuk semula oleh kekasih lama yang telah pun berkeluarga.

Dia telah melamar saya dan isterinya telah memberi izin ke atas perkahwinan ini atas sebab-sebab tertentu. Saya mendapat tahu bahawa seorang lelaki yang berhasrat untuk berpoligami perlu membuktikan kepada mahkamah bahawa dia perlu berlaku adil kepada isteri-isterinya. Bolehkah SIS menjelaskan apakah yang dimaksudkan keadilan itu? Bagaimanakah saya boleh melindungi kepentingan saya dalam perkahwinan poligami?

Katrina Abdullah,

Bangsar, Kuala Lumpur.

Jawapan:

Secara dasarnya, poligami merupakan amalan turun-temurun masyarakat Arab sejak sebelum kedatangan Islam lagi. Dengan datangnya Islam, poligami dihadkan kepada empat sahaja berbanding dengan poligami tanpa had yang diamalkan sebelumnya . Seterusnya, bagi memastikan amalan poligami secara yang lebih adil dan menjamin kesejahteraan hidup, Islam juga telah menetapkan syarat-syarat tertentu dan mengambil jalan pertengahan yang lebih wajar. Syariat Islam menetapkan bahawa seorang lelaki boleh berkahwin dengan lebih dari seorang perempuan tetapi tidak melebihi empat orang.

Amalan poligami lebih dilihat kepada satu tanggungjawab dan sekatan untuk memastikan keadilan terhadap anak-anak yatim. Tetapi, adakah poligami yang dibenarkan sekarang adalah lebih merupakan untuk memenuhi keperluan seksual lelaki daripada melindungi anak-anak yatim? Ayat di atas jelas menunjukkan al-Quran tidak menggalakkan poligami sebagai satu hak tanpa syarat, tetapi ia adalah untuk memastikan nasib balu dan anak yatim terbela.

Dalam perundangan di Malaysia, poligami dibenarkan tetapi ia hendaklah mendapat kebenaran mahkamah syariah terlebih dahulu. Ini diperuntukkan dalam seksyen 23(1) Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Kuala Lumpur) 1984.

Menurut seksyen 23(3) dan (4) Akta, dalam memberikan keizinan, mahkamah akan mempertimbangkan beberapa perkara dan antaranya ialah mengapa perkahwinan poligami ini patut atau perlu, keadaan kewangan suami, sama ada suami boleh berlaku adil terhadap isteri-isteri, sama ada izin atau pandangan isteri atau isteri-isteri telah diperoleh dan perkahwinan tersebut tidak akan mengakibatkan darar syarie kepada isteri sedia ada.

Persoalan sama ada keempat-empat syarat di atas perlu dipenuhi kesemuanya dalam satu-satu permohonan telah diputuskan dalam kes Aishah lwn Wan Mohd Yusof, [1990] 3 MLJ 1x dan [1991] JH VII, yang dibicarakan dalam Jawatan Kuasa Rayuan Mahkamah Syariah Selangor. Hakim membuat keputusan bahawa keempat-empat syarat yang disebut di bawah Sek. 23(4) Enakmen Undang-undang Keluarga Islam Selangor adalah sama pentingnya dan hendaklah dibuktikan berasingan oleh pihak suami.

Undang-undang dibuat untuk melindungi hak-hak isteri sedia ada dan juga bakal isteri. Menurut Sek. 123 akta tersebut, memperuntukkan bahawa seorang suami yang tidak memberi keadilan yang sewajarnya kepada isteri telah melakukan satu kesalahan dan boleh didenda tidak lebih daripada satu ribu ringgit atau penjara tidak lebih daripada enam bulan atau kedua-duanya sekali.

Syarat yang ketat ditetapkan dalam undang-undang keluarga Islam bukan bertujuan mengharamkan poligami. Ia dirangka bagi menjaga ketenteraman rumah tangga dan mengelak dari penindasan serta kezaliman suami terhadap isteri.

Di Malaysia, Sek. 22(1) akta tersebut membenarkan pendaftaran taklik tambahan di dalam sijil perkahwinan. Walaubagaimanapun, amalan ini tidak selalu dilakukan. Kebanyakan kita tidak menyedari bahawa kita boleh memasukkan syarat ini ke dalam perjanjian perkahwinan. Bagi mereka tahu mengenainya, ramai wanita masih teragak-agak untuk meminta syarat ini dimasukkan kerana mereka merasa tindakan ini sebagai mencabar undang-undang dan kepercayaan terhadap suami.

Dengan itu, antara cara yang boleh melindungi saudari dalam perkahwinan poligami adalah taklik tambahan. Ia juga demi menjaga kepentingan semua pihak, saudari dan juga isteri pertama boleh menetapkan syarat-syarat yang perlu suami turuti supaya kerukunan kedua-dua rumah tangga dapat dipelihara.