Mohon sah rujuk

Oleh Murni Wan Omar

murni@hmetro.com.my


HULU LANGAT: Keliru dengan tindakan isteri berkahwin dengan lelaki lain ketika masih mempunyai suami, seorang lelaki semalam memfailkan permohonan pengesahan rujuk yang dibuatnya dengan wanita berkenaan di Mahkamah Rendah Syariah di sini, walaupun isterinya sudah meninggal dunia, dua tahun lalu.

Mohamad Fuzi Sulaiman, 60, mendakwa dia dan Noraini Abu Bakar, 53, masih pasangan suami isteri yang sah selepas mereka merujuk semula sehari selepas bercerai pada 1984.

Berikutan itu, Mohamad Fuzi memfailkan permohonan merujuk dengan Allahyarham Noraini pada Mei tahun lalu dan kes itu didengar di mahkamah semalam yang menetapkan 23 November ini untuk keputusan permohonan itu.

Terdahulu dalam prosiding di hadapan Hakim Syarie Mohd Fazil Hasan, peguam syarie Norazmi Mohd Arif yang mewakili Mohamad Fuzi memaklumkan kepada mahkamah bahawa pihaknya memasukkan hujah tambahan berhubung nas undang-undang berkaitan kes sedemikian pada 9 November lalu.

Mohamad Fuzi bernikah dengan Noraini pada 1976 dan dikurniakan empat anak perempuan berusia 26 hingga 32 tahun, sebelum mereka bercerai pada 2 November 1984, tetapi rujuk semula pada keesokan harinya.

Pasangan itu tinggal berasingan pada 2001 walaupun masih bergelar suami isteri.

Bagaimanapun, wanita berkenaan yang bertugas sebagai anggota polis didakwa bernikah kali kedua pada 2001 dengan seorang lelaki lain sebelum meninggal dunia pada 2007.

Mohamad Fuzi mendakwa dia tidak pernah dipanggil ke mana-mana mahkamah untuk mengesahkan lafaz cerai dan terkejut apabila isterinya mempunyai surat perceraian sedangkan mereka rujuk kembali dan hidup sebagai suami isteri sehingga 2001.

Sementara itu, anak sulungnya, Mimi Sophia mendakwa, pihaknya sudah membuat siasatan terhadap surat cerai yang didakwa dimiliki arwah ibunya dan mendapati ia meragukan.

Katanya, ini kerana seorang daripada saksi yang dicatatkan dalam surat cerai itu menafikan dia pernah menandatangani borang berkenaan.

Norazmi ketika ditemui berkata, jika berjaya dalam permohonan itu, pihaknya akan mengemukakan permohonan faraq nikah (membatalkan pernikahan) Noraini dengan suami barunya.