RM36j tukar imej Bandar Al-Muktaffi Billah Shah



KUALA TERENGGANU – Bandar Al-Muktaffi Billah Shah, Dungun yang sebelum ini dikenal sebagai bandar koboi bakal beralih imej apabila Kerajaan Negeri bersetuju membina 12 unit rumah kedai bagi menggantikan unit rumah kedai kayu sedia ada.

Menteri Besar, Datuk Ahmad Said berkata, pembinaan lot rumah kedai baru berkenaan seiring dengan pembangunan bandar itu.

“Bandar Al-Muktaffi Billah Shah bukan bandar koboi untuk kita terus kekalkan bangunan kayu yang sudah lama, kita mahu terus majukan bandar ini. Kita anggarkan projek pembinaan 12 unit rumah kedai ini akan menelan kos sebanyak RM36 juta.

“Projek ini akan kita mulakan apabila mendapat kelulusan ‘Legal Adviser’ (LA) negeri,” katanya kepada pemberita selepas menyaksikan majlis penyerahan zakat Kumpulan Anak Syarikat Ketengah Holding Sdn Bhd dan Rakyat Ketengah Perwira Sdn Bhd (RKP) di Pejabat Menteri Besar, Wisma Darul Iman, di sini, semalam.

Sementara itu, pada majlis berkenaan Kumpulan Syarikat Anak Ketengah Holding Sdn Bhd (syarikat perladangan) menyerahkan zakat perniagaan berjumlah RM386,785 manakala RKP menyerahkan zakat perniagaan berjumlah RM54,440 kepada Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam), Wan Harujan Sulaiman.

Turut hadir pada majlis tersebut Pengurus Besar Kumpulan Anak Syarikat Ketengah Holding Sdn Bhd, Hamzah Ngah.

Ahmad berkata, Maidam menyasarkan memungut zakat perniagaan sebanyak RM60 juta sepanjang tahun ini.

“Meskipun sasaran RM60 juta diletakkan, namun tidak mustahil kutipan zakat pada tahun ini boleh menyamai tahun lalu yang berjumlah RM66 juta melihat kepada kesedaran banyak pihak untuk mengeluarkan zakat perniagaan di negeri ini pada tahun ini walaupun keadaan ekonomi global yang masih belum pulih sepenuhnya.

“Kita dimaklumkan, sehingga jam 10 pagi tadi (semalam) Maidam berjaya memungut sebanyak RM57.5 juta zakat perniagaan,” katanya.

Dalam pada itu, Hamzah berkata, kemungkinan pi-haknya akan mengeluarkan zakat lebih tinggi pada tahun hadapan berdasarkan keuntungan semasa yang diperoleh pihaknya.

Katanya, sehingga Oktober lalu Kumpulan Anak Syarikat Ketengah Holding Sdn Bhd yang mewakili Ketengah Perwira Sdn Bhd, YIT-Ketengah Perwira Sdn Bhd dan Ketengah Jaya Sdn Bhd berjaya mencatat keuntungan semasa sebelum cukai berjumlah RM19.5 juta.