Udang ‘terbang’ bawa tuah buat Tuan Zainal



CHENDERING - Seorang buruh dari Kampung Raja Chendering tidak menyangka pengorbanannya menyiapkan sebuah wau udang yang mengambil masa 14 hari akhirnya berbaloi setelah diumumkan sebagai Juara Wau Kreatif sempena Pesta Wau Chendering 2010.

Tuan Zainal Tuan Ismail, 45, berkata, idea membuat wau udang itu tercetus setelah berbincang dengan rakan yang berkongsi minat sama dan tidak menyangka, idea kreatif itu mampu menarik minat juri dalam pertandingan itu.

“Saya memilih tema binatang kerana ia sangat unik dan jarang kita dapat melihat binatang terbang di angkasa, selain daripada burung dan rama-rama.

“Disebabkan itu, saya merasakan satu keunikan jika memilih binatang hidupan laut sebagai tema dan saya sedaya upaya menghasilkan wau ini agar ia bukan sahaja nampak kreatif, malah dalam masa yang sama boleh terbang,” katanya ketika ditemui sempena Majlis Penutupan dan Penyampaian Hadiah Pesta Wau Chendering 2010.

Tuan Zainal berkata, itu adalah kejayaan pertama dikecapi dalam hidupnya sepanjang hampir 38 tahun terlibat dalam hobi membuat wau.

“Selain wau udang, saya juga pernah mencipta wau kreatif lain seperti wau burung, wau rama-rama dan wau lain yang agak sinonim dengan masyarakat di sini.

“Kejayaan kali ini memberi ilham kepada saya untuk terus mencipta wau yang lebih kreatif dan suatu hari nanti, saya mahu mencipta wau angsa pula,” katanya.

Menurutnya, demi minat dalam dunia pembua�tan wau, dia langsung tidak kisah walaupun terpaksa mengeluarkan modal besar untuk menyiapkan sebuah wau.

“Bagi saya, pengorbanan wang dan masa sepanjang menyiapkan sebuah wau akan terbalas apabila berjaya menyiapkannya dengan sempurna.

“Bagi menyiapkan wau udang ini juga, saya mengeluarkan kos sebanyak RM100 untuk semua perbelanjaan,” katanya.



KUALA TERENGGANU – Kerajaan Negeri menerusi Lembaga Muzium Negeri telah merangka 10 program baru untuk menarik kedatangan pengunjung ke Terengganu bagi meningkatkan jumlah pelawat yang sebelum ini hanya 155,000 kepada sekali ganda lagi.

Pengerusi Lembaga Muzium Negeri, Datuk Mazlan Ngah berkata, antara program yang boleh menarik kedatangan pelancong luar ke negeri ini adalah Festival Gamelan Sedunia yang bakal diadakan pada 23 hingga 26 Julai ini.

“Sebelum ini festival itu telah dianjurkan iaitu pada 2008 tetapi pada tahun lalu ia dihentikan sementara dan untuk kalendar aktiviti 2010, penganjurannya dimasukkan semula disebabkan mendapat permintaan daripada penyertaan luar negara,” katanya.

Menurutnya, untuk menarik kunjungan pelawat ke muzium memang sukar sejak akhir-akhir ini disebabkan ramai beranggapan ia hanya memaparkan bahan lama dan tidak sesuai dengan jiwa mereka.

“Perkara ini tidak boleh dibiarkan begitu sahaja kerana bimbang identiti ini akan hilang sedikit demi sedikit sehinggakan masyarakat tidak mengenal sejarah dan asal-usul setempat,” katanya.

Mazlan berkata, peranan agensi kerajaan dan swasta untuk menghebahkan fungsi sebenar muzium sangat perlu dan dengan adanya kalendar pelancongan, ia sekali gus memudahkan pelancong mengetahui aktiviti yang dijalankan setiap bulan.

“Dalam kalendar aktiviti untuk tahun ini, program yang akan diberi penekanan adalah rampai budaya, seminar batu bersurat, pasar keris, pertandingan lukisan citra Terengganu dan sebagainya.

“Selain itu, mengikut statistik yang dikeluarkan pihak muzium sepanjang tiga hari cuti perayaan Tahun Baru Cina lalu, sambutan daripada pelawat sangat menggalakkan iaitu kira-kira 11,000 pengunjung," katanya.

Situasi ini katanya telah menunjukkan satu perkembangan positif dan diharapkan ia boleh menjadi salah satu tempat pelancongan terbaik di negeri ini.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan kalendar aktiviti muzium sepanjang tahun ini di Dewan Mandalika, Muzium negeri Terengganu.

Sementara itu, Mazlan berkata, layanan baik kepada pengunjung luar juga sangat penting bagi menjamin keselesaan sepanjang bercuti ke negeri ini.

“Masyarakat terutama peniaga tidak boleh sewenang-wenangnya mengambil kesempatan dengan meletakkan harga makanan, minuman, dan barangan yang dijual pada harga terlalu tinggi sehingga memberi kesan kepada pengunjung.

“Untuk mendapat keuntungan dalam jangka masa singkat sangat mudah, tetapi kesan jangka nyapanjang kebanyakan peniaga akan rugi kerana pengunjung tidak akan datang lagi ke negeri ini,” katanya.


KUALA LUMPUR 18 Feb. - Petronas Gas Bhd. (Petronas Gas) telah mencatatkan keuntungan sebelum cukai belum diaudit berjumlah RM966. 28 juta bagi tempoh sembilan bulan pertama yang berakhir pada 31 Disember 2009.

Ia mewakili peningkatan sebanyak RM81.718 juta berbanding RM884.5 juta dalam tempoh yang sama tahun lalu.

Petronas Gas dalam kenyataannya kepada Bursa Malaysia di sini hari ini berkata, perolehan syarikat dalam tempoh sembilan bulan pertama, menguncup sedikit kepada RM2.41 bilion berbanding RM2.47 bilion dalam tempoh yang sama tahun lalu.

Manakala pendapatan asas sesaham syarikat itu adalah sebanyak 37.37 sen.

Jumlah dividen keseluruhan yang dibayar pula adalah sebanyak RM963.9 juta dalam tempoh sembilan bulan tahun ini berbanding RM840.9 juta dalam tempoh yang sama tahun lalu.

"Perolehan syarikat untuk suku ketiga yang berakhir 31 Disember 2009 adalah RM810.9 juta berbanding RM832.9 juta untuk tempoh yang sama tahun lalu,'' kata kenyataan tersebut.

Keuntungan sebelum cukai untuk suku ketiga Petronas Gas pula adalah sebanyak RM343.3 juta berbanding RM222.2 juta dalam tempoh yang sama tahun lalu.

Petronas Gas memberitahu, peningkatan keuntungan itu didorong oleh kos perolehan yang lebih rendah.

Mengulas prospek perniagaan pada tahun ini, Petronas Gas berkata, walaupun prospek perolehan untuk kegiatan pemerosesan dan transmisi perniagaan bergantung kepada permintaan gas, tetapi ia tidak menjejaskan keuntungan.

Prospek untuk perniagaan utiliti pula bergantung kepada pemulihan ekonomi.

"Sebarang perubahan harga gas akan memberi kesan kepada harga yang ditawarkan kepada para pelanggan,'' ujarnya.

TINGKATKAN kesabaran dalam berdepan kemelut hubungan kerana sikap baran boleh menyebabkan pasangan anda menjauhkan diri.


KEMARAHAN adalah emosi semula jadi manusia untuk menangkis persepsi, ancaman atau serangan terhadap diri. Ia juga adalah sebagai refleksi pertahanan seseorang terhadap sesuatu prinsip yang diyakininya.

Namun, masalah sering terjadi apabila kemarahan itu disalah urus dan lebih teruk sekiranya ia kekal menjadi tabiat yang dilabelkan sebagai ciri peribadinya.

Sikap baran boleh menjadi penyebab utama berlakunya konflik dalam kehidupan peribadi dan perhubungan profesional.

Tidak hairanlah hari ini, kemarahan yang melampau itu sering dizahirkan dalam perbuatan seperti keganasan domestik, sikap buruk di jalan raya, konfrontasi di pejabat hinggalah kepada perlakuan yang menjejaskan ikatan suami isteri.

Dalam soal cinta, adakah anda seorang yang berjaya mengawal emosi? Bagi setiap perselisihan pendapat yang berlaku, adakah penyelesaian akan diiringi dengan cara mengherdik atau menengking? Mungkin lebih dahsyat, bagi yang tidak dapat mengawal perasaan, kemarahan itu disertai dengan keganasan fizikal.

Sebagai langkah menghadapi situasi seperti itu, adalah disyorkan agar seseorang itu meningkatkan paras kesabarannya. Selain berfikir secara rasional, berikan peluang untuk komunikasi dua hala berlangsung.

Apabila seseorang sedang bercakap, seorang lagi perlu mendengar. Peluang untuk memberi penjelasan hendaklah diberi secara saksama. Berikut adalah antara tip untuk membimbing mereka yang mempunyai pasangan yang panas baran.

Berdiam diri

Api tidak boleh dilawan dengan api. Maka, apabila salah seorang sedang dalam keadaan marah, hendaklah pasangannya berdiam diri dan cuba mendengar butir bicara itu sebagai input penyelesaian. Setelah habis kemarahan itu dilepaskan, berikannya 'masa tambahan' untuk meredakan perasaan. Tunggu sehingga waktu yang sesuai untuk berkata-kata.

Menjauhkan diri buat seketika

Dalam tempoh yang diberikan kepada orang yang panas baran untuk meredakan kemarahannya, jangan cuba melakukan sesuatu yang mengganggu ruang privasinya.

Ini termasuklah gangguan keselesaan persekitaran dari aspek bunyi, ruang dan pandangan. Orang yang panas baran sentiasa akan mencari sebab untuk menyalahkan orang lain jika sesuatu faktor itu diterjemah sebagai masalah buatnya.

Berikan masa untuk reda

Orang yang panas baran lazimnya akan malu sendiri akan perbuatannya. Waktu yang diberikan kepadanya tanpa diganggu akan membuatkan si baran itu memikirkan semula apa yang telah dilakukannya.

Sama ada kemarahan itu kerana dia di pihak yang benar ataupun tidak, dia akan kembali kepada pasangannya untuk sesi penyelesaian yang lebih terhormat.

Memilih corak percakapan

Berhati-hati dengan pemilihan perkataan anda. Jika anda tersilap menuturkan sesuatu, lebih-lebih lagi ketika kemarahannya belum reda, ia boleh memburukkan lagi keadaan.

Keras lawannya lembut. Maka, lenggok bahasa yang santun boleh memujuk hati pasangan yang baran. Meskipun berlembut, itu tidak bermakna prinsip dan kebenaran tidak boleh disampaikan secara efektif.

Terapi minda dan fizikal

Kaedah bertenang yang paling ringkas dan mudah adalah dengan mengambil nafas panjang dan dalam. Bayangan visual yang menenangkan dari dalam ingatan atau imaginasi juga boleh membantu meredakan rasa marah. Banyak buku dan majalah yang boleh membimbing seseorang yang sedang marah atau bagi mereka yang menghadapi orang yang sedang marah.

Bagi mereka yang mengakui memiliki tabiat pemarah, boleh mencuba teknik ini. Tarik nafas panjang dan bayangkan udara memenuhi diafragma. Kemudian lepaskannya semula dengan perlahan dan pujuk diri secara psikologi dengan memikirkan perkataan seperti bertenang atau anggap mudah.

Bagi menambah kekuatan diri dalam menghadapi situasi tegang itu, seseorang boleh mencuba teknik regangan seperti dalam riadah yoga ataupun rutin ibadah sembahyang. Dalam berdepan dengan ujian perhubungan itu, kita masih perlu berharap dan berdoa

Oleh SAHARUDIN MUSTHAFA


KEHIDUPAN Khadijah (lakonan Sheila Rusly) dalam telemovie Dunia Batinku memaparkan kehidupan serba sukar wanita itu.


MENINGKATKAN ketakwaan kepada Allah SWT dengan penuh keyakinan dan keikhlasan merupakan tuntutan dalam hidup. Tuntutan yang diseru oleh Allah itu bermatlamat untuk menjadikan kita insan yang bertakwa dan beriman serta selamat di dunia dan selamat di akhirat.

Harus diingat bahawa setiap yang bernyawa tetap akan mati. Begitu juga dengan manusia yang asal usulnya dijadikan daripada tanah, maka kepada tanahlah juga ianya akan dikembalikan.

Firman Allah dalam surah Thaahaaayat 55 yang membawa maksud: "Dari bumi Kami ciptakan kamu dan ke dalamnya Kami kembalikan kamu. Daripadanya pula, Kami akan mengeluarkan kamu sekali lagi" jelas menterjemahkan manusia harus sentiasa mengingatkan diri mengenai kematian.

Bahkan, hakikat mengenai kematian juga sudah diterjemahkan dalam surah Ali Imran ayat 180 yang menjelaskan: "Tiap-tiap yang bernyawa pasti akan merasai mati".

Bertitik tolak daripada ingatan sedemikian, pelakon dan penerbit, Sheila Rusly terpanggil untuk meneruskan kelangsungan usaha syarikat produksinya, JS Pictures Sdn. Bhd. dalam menghasilkan karya-karya bermesej.

Usaha atau tanggungjawab yang dirintis oleh Shiela dan suaminya, Azman Yahya atau Jinggo menerusi drama-drama terbitan mereka bukan hanya untuk tujuan hiburan semata-mata.

Sebaliknya, pasangan itu sepakat bahawa mereka harus mengingatkan penonton-penonton mereka terhadap sebuah sisi kehidupan lain - kematian!

Lalu, drama-drama yang bertemakan keagamaan menjadi pilihan syarikat itu.

Terbaru, Sheila dan Jinggo memerah tenaga bersama-sama dengan penulis skrip Rozie Rashid untuk menghasilkan Dunia Batinku, sebuah lagi drama yang sarat dengan mesej kemanusiaan, kasih sayang dan kematian.

"Gabungan ketiga-tiga elemen itu kami lakukan semata-mata untuk mengajak rakyat Malaysia khususnya yang beragama Islam terhadap makna sebenar kehidupan," kata Sheila memulakan perbualan mengenai Dunia Batinku, sebuah telemovie yang bakal ditayangkan di TV3 menerusi slot Cerekarama malam esok.

Jalan cerita Dunia Batinku memberi fokus kepada perihal keluarga, naluri kasih dan sayang seorang ibu dan anak-anaknya.

Bahkan, aspek pengorbanan yang dikupas dalam telemovie itu juga diharapkan Sheila akan dapat menjentik emosi penonton mengenai maksud kehidupan yang menuntut kita melakukan kebajikan.

"Hati saya sentiasa terjentik bila melihat moral segelintir daripada orang kita yang tercalar dengan kisah yang melampau daripada batasan kemanusiaan.

"Dan saya tidak boleh berdiam diri lalu mengajak suami untuk menggandakan lagi karya yang boleh membimbing masyarakat ke arah melakukan kebaikan," Sheila menjelaskan kecenderungan JS Pictures menerbitkan drama-drama berteraskan elemen agama dan pendidikan moral itu sejak kebelakangan ini.

Bertuah Sheila kerana Jinggo katanya, memiliki aspirasi yang serupa sepertinya terhadap usaha pembentukan masyarakat yang bertamadun.

Kelegaan itu tambah menggembirakan Sheila apabila dia mendapat kerjasama yang baik daripada team produksi serta pelakon-pelakon yang diundang menjayakan drama terbitan mereka.

Penghasilan Dunia Batinku ujarnya, sudah cukup memberi motivasi dan kekuatan buatnya untuk merancakkan lagi usaha yang sama pada masa depan.

Telemovie Dunia Batinku bagi Sheila, wajar dijadikan sebuah drama tontonan keluarga.

"Ini kisah mengenai maruah keluarga. Kisah bagaimana peritnya seorang wanita bergelar ibu mengharungi kepayahan bila kematian suami," Sheila rancak menyambung perbualan.

Sheila yang turut berlakon sama dalam filem itu dengan memegang watak sebagai wanita malang bernama Khadijah digambarkan hidupnya penuh dengan kepayahan.

Lebih memeritkan bila anak lelaki tunggal yang sedang membesar mencetuskan satu demi satu masalah.

Mujur dalam mengharungi kesukaran hidup, Khadijah ditemani ibu mertua yang banyak memberikannya kekuatan.

Mendengar sinopsis itu ia saling tidak ubah akan membawa ingatan pembaca akhbar ini dan tentunya juga penonton drama Melayu bahawa jalan ceritanya berbaur klise.

Ia seperti idea yang dikitar semula dalam drama Melayu. Apa pandangan Sheila terhadap isu ini?

Dalam hal ini, Sheila tidak menafikan akan ada sebilangan besar daripada kita yang mempunyai pandangan sedemikian.

Namun, Sheila ada rasionalnya sendiri apabila memilih untuk membawa naskhah Dunia Batinku ke layar TV.

"Jalan cerita mungkin dianggap klise. Kerana itu, kami pastikan pendekatan penceritaan serta lakonan menyuntik elemen-elemen yang boleh mengundang kesedaran dalam diri penonton," kata Sheila menceritakan pendekatan suaminya ketika menerajui karya Dunia Batinku.

Berkali-kali penerbit kental ini mengingatkan, Dunia Batinku mengangkat harga kasih sayang yang tidak mampu untuk disamakan dengan wang ringgit.

Dunia Batinku turut menampilkan pelakon-pelakon lain seperti Syafiee Naswip, Normah Damanhuri, Fizz Fairuz, Memey dan ramai lagi.

Pengalaman dikafan

Seperti yang dijelaskan di awal perenggan tadi, Dunia Batinku juga akan memberi pemahaman baru kepada penonton kelak mengenai buah tangan terbaru JS Pictures ini.

Isu kematian menjadi sebahagian daripada intipati penting dalam naskhah yang ditayangkan sempena dengan sambutan Maulidur Rasul yang akan disambut pada 26 Februari ini.

Justeru, Sheila tanpa ragu-ragu bersedia melakonkan watak dia 'dikafankan' bagi memastikan jalan cerita Dunia Batinku dapat menjentik keinsafan dalam diri penonton.

Sesuatu yang Sheila sendiri bagaikan tidak percaya ialah bila dia sendiri menawarkan diri untuk disolek dan dipakaikan kain kafan seperti jenazah.

"Saya sentiasa mengingatkan diri bahawa setiap manusia pasti akan melalui kematian. Jadi, mengingatkan perkara itu membuatkan hati saya tergerak untuk 'dikafankan'.

"Tidak ada sebab lain yang mendorong saya melakonkan adegan itu selain daripada mengingati mati," jelas Sheila dalam nada yang sebak kala mengingatkan kembali proses penggambaran adegan-adegan itu.

Rumusannya, Sheila mahu mengajak semua penonton agar sentiasa beringat bahawa kematian adalah urusan Yang Maha Esa seperti mana yang sudah difirmankan oleh Allah.

Dan karya Dunia Batinku setidak-tidaknya mahu dijadikan oleh Sheila sebagai instrumen untuk dia menterjemahkan hal-hal yang berkaitan dengan kehidupan hari esok dalam bentuk drama.

"Karya ini diterbitkan oleh saya dan suami kerana Allah. Doa kami, mesejnya sampai kepada audiens kelak.

"Saya pernah melalui zaman jahil dan bersyukur kerana Tuhan membuka pintu hati saya ketika saya masih sihat dan muda untuk melakukan kerja-kerja ini (berkarya). Moga semua orang akan sama-sama mengambil iktibar daripada pengajaran cerita ini," kata Sheila sambil mengharapkan penonton akan merebut peluang menonton naskhah Dunia Batinku.

Oleh THOMAS CHONG

PUTRAJAYA 18 Feb. – Perjalanan Datuk Solah Mat Hassan dari kampungnya di Kota Bahru ke Kuala Lumpur semalam digunakan sepenuhnya oleh Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) itu untuk mengintip pergerakan pemandu-pemandu yang biadab.

Dengan menggunakan kamera digital sambil dibantu anak perempuannya, beliau berjaya mengesan dan menangkap gambar 93 kenderaan yang melanggar kesalahan lalu lintas.

Tegas Solah, semua pemilik kenderaan berkenaan akan dipanggil untuk proses temu siasat sebelum dikeluarkan saman.

‘‘Saya terserempak dengan pemandu kenderaan persendirian yang bersifat seperti orang yang tidak berpendidikan dengan memotong barisan, menggunakan lorong kecemasan, menggunakan telefon bimbit, tidak mematuhi lampu isyarat dan menggunakan cermin gelap.

“Saya menangkap gambar mereka menggunakan kamera digital untuk dijadikan bukti, banyak gambar telah diambil sehingga kad memori kamera penuh,” katanya pada sidang akhbar mengenai Ops Sikap sempena Tahun Baru Cina di sini hari ini.

Solah berkata, tingkah laku sesetengah pemandu yang biadab menyebabkan beliau hilang sabar lalu menelefon pegawainya untuk menjejak kereta berkenaan dengan serta-merta.

“Dalam perjalanan dari Gua Musang ke Kuala Krai, saya terserempak dengan sebuah kereta Perodua Kancil yang memotong di garisan berkembar sebanyak 10 kali,” katanya.

Solah berkata, selain 93 pemandu biadab yang dikesan beliau sendiri, sebanyak 2,875 kenderaan lain juga didapati melakukan kesalahan trafik oleh JPJ sepanjang Ops Sikap Ke-21 yang bermula pada 7 Februari lalu.

“Mereka dikesan melakukan kesalahan oleh orang ramai dan kakitangan JPJ termasuk pegawai yang menyamar.

“Kesemua mereka akan dipanggil untuk temu siasat, kegagalan mereka untuk tampil diri dalam tempoh dua minggu akan menyebabkan nama mereka disenarai hitam oleh JPJ,” katanya.

Dalam pada itu, beliau mengajak orang ramai membantu JPJ melakukan penguatkuasaan dengan menangkap gambar kenderaan pesalah trafik dan menghantarnya menggunakan e-mel ke aduan@jpj.gov.my.

“E-mel perlu disediakan dengan maklumat berkaitan seperti tempat dan masa gambar diambil serta kesalahan yang dilakukan pemandu.

‘‘Kami hanya menerima 48 aduan daripada orang ramai yang melaporkan kesalahan trafik pemandu lain, kerjasama daripada orang ramai perlu diperkuatkan,” katanya.

Sementara itu, Solah berkata, sejumlah 4,682 saman telah dikeluarkan JPJ dalam tempoh 10 hari pertama Ops Sikap.

‘‘Dalam pemeriksaan di terminal bas dan tempat terpilih, 11 bas didapati mempunyai masalah tayar manakala dua pemandu bas ditahan kerana positif dadah.

‘‘Tiga buah lori pula disita kerana menggunakan lebuh raya ketika tempoh larangan pada 12 dan 13 Februari,” katanya.

SUREKHA YADAV membuktikan kepada ramai betapa wanita India tidak semestinya dilahirkan untuk bekerja di dapur sahaja.


DALAM persalinan sari putih kekuningan dan sepasang anting-anting, Surekha Yadav mungkin boleh menjadi mana-mana wanita yang baru sahaja turun dari kereta api di stesen kereta api utama di Mumbai, India.

Namun hakikatnya, wanita berusia 44 tahun dan ibu kepada dua cahaya mata itu bukan sekadar mengembara menaiki kereta api. Kelibatnya di celah ribuan penumpang yang ada di platform Chhatrapati Shivaji Terminus (CST) adalah kerana dia yang memandu pengangkutan awam tersebut.

Yadav merupakan pemandu kereta api penumpang wanita pertama di Stesen Kereta Api Pusat Mumbai dan kerjayanya itu menjadikanya berjaya memecah tradisi dalam industri yang sering dikuasai kaum lelaki tersebut.

Sejak kali pertama dia menceburi bidang tersebut hampir sedekad lalu, dia telah menarik perhatian ramai. Itu tidak termasuk seorang lagi motorwoman atau wanita motor yang menyertai kerjaya itu bersama dua lagi wanita yang bertindak sebagai pembantu pemandu.

Selain itu, terdapat juga pemandu kereta api wanita di rangkaian Western Railway yang membawa lebih enam juta penumpang yang menggunakan perkhidmatan pengangkutan awam itu setiap hari.

Yadav yang mengakui tidak berminat dengan kereta api sebelum memohon jawatan sebagai pembantu pemandu pada 1989 berkata, dirinya tidak memiliki kemahiran melainkan sokongan daripada rakan-rakan sekerja lelaki.

"Mereka memberi galakan, membantu dan memberi tunjuk ajar kepada saya dengan baik," ujarnya sambil menambah bahawa dia menjalani latihan istimewa untuk menjadi pemandu kereta api wanita pertama ghat loco iaitu kereta api penumpang dua enjin yang melalui laluan berbukit di barat Maharashtra.

"Memandangkan saya wanita, mereka bimbang sama ada saya mampu buat tugasan itu atau tidak," katanya.

Apa yang pasti, ramai wanita seperti Yadav boleh ditemui dalam lipatan sejarah India. Daripada ratu pahlawan seperti Rani Lakshmibai, ahli-ahli pergerakan yang menuntut kemerdekaan pertama, hinggalah kepada satu-satunya Perdana Menteri wanita, Indira Gandhi.

Prathiba Patil, presiden ketika ini merupakan wanita pertama yang memegang jawatan tersebut, malah ramai wanita sudah mendominasi jawatan penting syarikat-syarikat gergasi di negara Asia Selatan itu.

Penderaan


GANGGUAN seksual terhadap penumpang wanita di dalam kereta api sering berlaku dan ia menjadi antara cabaran tugas yang perlu diatasi Surekha.


Namun, meskipun perlembagaan India menjamin hak persamaan wanita, perbezaan layanan jantina masih wujud terutamanya di kawasan pedalaman. Ini dilihat jelas dari aspek pendidikan, penjagaan kesihatan dan makanan.

Hanya satu pertiga wanita di India yang berusia antara 15 hingga 49 tahun berkata mereka mempunyai pengalaman didera dalam keganasan rumah tangga. Statistik ini berdasarkan laporan Tinjauan Kesihatan Keluarga Kebangsaan 2007.

Keseluruhan kes keganasan yang berlaku atas wanita meningkat hampir 25 peratus antara tahun 2003 hingga 2007, berdasarkan statistik terbaru yang dikeluarkan kerajaan. Peningkatan tertinggi melebihi 30 peratus direkod untuk kes penculikan dan penderaan.

Madhu Purnima Kishwar dari Pusat Kajian dan Pembangunan Masyarakat di New Delhi, merangkap pengasas kumpulan hak asasi Manushi Sangathan berkata, pembahagian jantina dalam bekerja bukan halangan untuk berjaya, malah menjadikan wanita lebih kuat.

"Di India, wanita yang membuktikan bahawa mereka lebih kuat berbanding lelaki biasanya mampu membuatkan lelaki tersungkur di tapak kaki mereka," jelasnya sambil mengaitkan tentang penyembahan terhadap tuhan wanita dalam agama Hindu.


TUGAS Yadav sebagai pemandu kereta api membuatkannya lebih berani dalam dunia kerjaya yang dimonopoli kaum lelaki.


Selain daripada menjadi pemandu kereta api wanita pertama, Yadav juga menjadi sebahagian daripada usaha untuk menyelesaikan masalah gangguan seksual di negara itu.

Menteri Pengangkutan Kereta Api, Mamata Banerjee memperkenalkan kereta api khas untuk wanita atau Ladies Special di bandar tersebut semata-mata untuk meningkatkan keselamatan dalam kalangan penumpang wanita.

Bagi Yadav, dia sentiasa positif terhadap peluang kerjayanya. Penat lelah keluarganya menanggung kos kursus diploma dalam pengajian kejuruteraan elektrikal dianggap berbaloi dengan apa yang diperolehnya kini.

"Semua orang diberi peluang untuk mengejar impian dan apa sahaja yang ingin dilakukan. Kita mempunyai kebebasan untuk mendapat pendidikan dan menggunakan ia sebaik mungkin. Kami amat bertuah.

"Ibu saya tidak pernah berkata bahawa menjadi wanita akan menyebabkan saya terpaksa duduk di rumah dan memasak. Sebaliknya, dia menyuruh saya belajar terlebih dahulu dan lihat apa yang akan berlaku seterusnya," luah Yadav sambil tersenyum.

Namun begitu, wanita itu mengakui cabaran besar yang terpaksa dihadapi dalam menjalankan tanggungjawab tersebut.

Tugas itu menuntut pengorbanan yang tinggi kerana dia perlu pandai membahagikan masa untuk anak-anak lelaki dan suaminya yang bekerja sebagai pegawai polis.

Bekerja dalam persekitaran yang dipenuhi lelaki sejak menamatkan zaman belajar, membuatkan Yadav terputus hubungan dalam kehidupan sosial.

"Saya rindukan persahabatan dengan wanita sejak 23 tahun lalu. Kini, saya sendiri malu dan kekok untuk bercakap dengan perempuan," ungkapnya penuh makna. - AFP

Oleh MARTIN KAHAR


PEKERJA asing menjadi pilihan pengusaha restoran mamak disebabkan sikap rakyat tempatan yang memilih kerja. - Gambar Hiasan.


KUALA LUMPUR - Rakyat tempatan tidak sepatutnya menyalahkan pengusaha restoran mamak jika mereka terpaksa menggaji ramai warga asing untuk bekerja di situ.

Ini kerana daripada 25,000 tawaran kerja kosong yang diiklankan oleh rangkaian restoran mamak yang menjadi ahli Persatuan Pengusaha Restoran Muslim Malaysia (Presma), hanya kira-kira 60 rakyat tempahan mengemukakan permohonan.

Presiden Presma, Noorul Hassan Saul Hameed berkata, jumlah permohonan yang amat rendah itu diperoleh selepas tiga minggu kekosongan itu diiklankan dalam media massa.

"Kita telah adakan pameran bergerak di seluruh negara dan kami juga telah membuat kempen iklan dalam media.

"Namun sambutannya mengecewakan kerana hanya 60 permohonan diterima, itupun hanya melalui panggilan telefon,'' katanya sewaktu ditemui pemberita pada majlis dialog Presma bersama ahli-ahlinya di sini semalam.


Guru tidak boleh merotan murid



DUNGUN - Guru mesti mematuhi arahan pekeliling seperti yang dikeluarkan Jabatan Pelajaran Negeri berkaitan pelaksanaan peraturan di sekolah.

Itu tegas Pegawai Pelajaran Daerah Dungun, Zakariah Ali yang mengulas kes sekumpulan murid di salah sebuah sekolah rendah di Dungun dirotan gurunya, tengah hari semalam.

Menurutnya, kejadian itu amat dikesali pihaknya.

“Tugas sebenar guru adalah mendidik, bukannya menghukum. Tindakan menghukum murid sehingga mendatangkan kecederaan fizikal adalah bertentangan dengan arahan peraturan yang dikeluarkan dan ia sesuatu amat dikesali, apatah lagi membabitkan murid.

“Bagaimanapun, kami akan menyiasat perkara ini untuk melihat secara terperinci apakah punca kejadian dan kebenaran dakwaan berkenaan,” katanya.

Zakariah difahamkan, kes berkenaan adalah di bawah siasatan polis dan pihaknya menyerahkan kepada pihak berkuasa menjalankan tanggungjawab serta mengambil tindakan undang-undang terhadap guru terbabit, sekiranya dia terbukti melakukan kesalahan berkenaan.

Bagi pihak Jabatan Pelajaran pula, beliau akan merujuk kes itu melalui Unit Tatatertib sebelum sebarang tindakan dikenakan ke atas guru berkenaan.

“Saya masih menunggu laporan terperinci daripada guru besar sekolah rendah terbabit. Bagaimanapun, tindakan yang akan kita ambil mestilah memberi keadilan kepada semua pihak.

“Saya akan mengadakan perjumpaan dengan ibu bapa murid terbabit dan pihak Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah dalam masa terdekat sebagai tanda keprihatinan terhadap mangsa ‘deraan’ guru yang dianggap melanggar nilai murni itu,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Yang Dipertua PIBG sekolah berkenaan, Tengku Rosdi Tengku Hamzah berkata, beliau kesal dengan apa yang berlaku di sekolah itu dan menyifatkan tindakan guru terbabit sebagai keterlaluan sehingga melanggar batas kemanusiaan.

“Sejak enam tahun memegang jawatan sebagai Yang Dipertua PIBG sekolah, inilah kejadian pertama berlaku di sini. Saya yang ketika itu secara kebetulan berada di lokasi kejadian terkejut apabila mendapat tahu sekumpulan murid menangis selepas mengalami kecederaan akibat dirotan guru.

“Saya harap ibu bapa murid terbabit dapat menyelesaikan kemelut ini dengan baik bersama guru berkenaan dan juga pihak sekolah tanpa mewujudkan sebarang ketegangan sehingga menjejaskan hubungan baik antara kedua-dua pihak yang telah terjalin sejak sekian lama,” katanya.



KUALA TERENGGANU – Masyarakat Cina khususnya di negeri ini dilarang sama sekali menggunakan mercun atau bunga api sepanjang musim perayaan Tahun Baru Cina.

Ketua Polis Terengganu, Senior Asisten Komisioner I Datuk Mohd Shukri Dahlan bagaimanapun berkata, larangan itu tidak termasuk dua jenis mercun yang diluluskan iaitu ‘Pop-pop’ dan ‘Happy Boom’.

Menurutnya, jika mendapati ada pihak ataupun individu melanggar arahan, pihaknya tidak akan teragak-agak mengambil tindakan termasuk mereka yang membekalkan bahan larangan itu.

“Dalam tempoh perayaan ini, kami tidak benarkan penggunaan mercun dilarang dan hanya membenarkan yang diluluskan. Kita minta supaya masyarakat Cina akur terutama pembekal mercun.

“Sekiranya kami mengesan kegiatan ini, kami akan mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak yang ingkar,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di pejabatnya, semalam.

Oleh HAZLINDA HAMZAH

Ia mungkin kedengaran seperti kurang enak kerana gula dikurangkan di dalam minuman. Namun percayalah apabila ‘racun manis’ itu dikurangkan di dalam minuman bikarbonat ia satu khabar yang sihat.


ISMAIL SABRI (tengah) melancarkan logo baru F&N baru-baru ini.


MINUMAN ringan biasa atau bikarbonat sering dikaitkan dengan kandungan gula yang tinggi. Apa jua perisa yang dicampurkan rasanya yang manis, memang sedap diminum sebagai penghilang dahaga.

Fraser and Neave Holdings Berhad atau F&N Malaysia sudah sinonim dengan minuman ringan daripada yang bikarbonat, isotonik hinggalah kepada perisa buah-buahan sejak beroperasi selama 13 dekad di Malaysia.

Yang menariknya bila harga gula meningkat, syarikat itu tidak menaikkan harga minuman keluarannya, tetapi mengurangkan kandungan gula.

"Langkah ini sebagai memenuhi kehendak pengguna yang kini lebih prihatin dan mengambil berat tentang penjagaan kesihatan diri," kata Ketua Pegawai Eksekutif Syarikat Fraser & Neave Holdings Bhd., Tan Ang Meng.

"Setakat ini penggunaan gula untuk minuman keluaran syarikat kami semakin menurun, pada satu jumlah yang boleh dianggap besar iaitu sebanyak 7.5 peratus pengurangannya, sejak lima tahun lepas.

"Minuman isotonik 100 Plus adalah antara versi kurang manis yang kami keluarkan. Ini sesuatu yang amat dialu-alukan pengguna," kata Ang Meng.

Tidak naik harga

Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob tersenyum mendengar inisiatif mengurangkan gula yang dilakukan pengeluar minuman ringan itu yang sudah dikenali pengguna sejak 1883 lagi.

"Ini berita baik. Walaupun harga gula dinaikkan 20 sen baru-baru ini, pihak F&N tidak menaikkan harga minuman ringan keluaran mereka, sebaliknya mengawal penggunaan gula di dalamnya," katanya pada pelancaran imej baru F&N baru-baru ini.

Berkuat kuasa 1 Januari lalu, harga gula tempatan naik dari RM1.45 kepada RM1.65 sekilogram.

Langkah F&N kata beliau bukan sahaja mempromosikan cara hidup sihat tetapi pada masa yang sama membantu pengguna daripada tertekan dek kenaikan harga gula.

Imej baru

F&N turut menjenamakan semula imej korporatnya supaya apabila kontrak F&N dengan The Coca Cola Company tamat pada bulan September tahun 2011, ia akan dikenali sebagai F&N Beverages Marketing Sdn. Bhd., dan F&N Beverages Manufacturing Sdn. Bhd.

Ang Meng menjelaskan bahawa imej baru F&N yang dibahagikan kepada dua itu amat sesuai dengan fungsi masing-masing yang berbeza.


100 Plus minuman isotonik yang dikeluarkan oleh F&N antara produk yang tidak dinaikkan harga.


"Penjenamaan ini akan memberikan satu semangat baru yang lebih bertenaga kepada F&N untuk menjadi pembekal produk yang pelbagai.

"Ia turut dianggap satu kepulangan atau homecomingkerana identiti ini akan memberikan F&N satu eksklusiviti dalam industri minuman ringan. Selain menghasilkannya, F&N turut memasarkannya secara serentak," kata Ang Meng.

Tambahnya F&N tidak pernah leka apabila produk minumannya menjadi pilihan pengguna, sebaliknya terus membuat penyelidikan dan kajian untuk melakukan inovasi terhadap minuman ringan yang dikeluarkannya dari semasa ke semasa.

Tukar ramuan

Bermula awal tahun ini, ramuan yang bakal dipersembah dan dipasarkan kepada warga Malaysia akan lebih mengikut cita rasa ramai.

F&N merancang 50 produk baru yang akan dihasilkan dalam jangka masa 24 bulan ini di bawah jenama minuman ringannya yang pelbagai iaitu F&N, 100 Plus, Seasons dan Fruit Tree.

Minuman bikarbonat Ice Cream Soda yang sememangnya popular sejak sekian lama di Malaysia kini menjadi asas untuk dicampurkan menjadi minuman perisa lain seperti sirap bandung soda.

Pada majlis pelancaran itu F&N turut memperkenal minuman campuran baru, jus nenas dengan Ice Cream Soda kepada tetamu.

Imej baru yang diketengahkan kini bertujuan memaksimumkan cita rasa pengguna ke arah pilihan produk lebih sihat untuk memberikan pengguna kepuasan yang diingini di samping meluaskan portfolio produk halalnya ke seluruh dunia.

Setakat penghujung tahun 2009, unit minuman ringan syarikat itu menyumbang 35 peratus atau RM1.3 bilion kepada pendapatan keseluruhan kumpulan F&N.

Empat buah kilang pengeluarannya kini mengisi ruang di seluruh negara, dengan kemudahan ibu pejabat yang serba canggih di Shah Alam. - Bernama

Oleh NORUTUL ILHAM

Antara barisan tenaga pengajar AF8. Foto THE STAR Oleh SIA HONG KIAU.

SEGALA teka-teki tentang Pengetua Akademi Fantasia musim kelapan (AF8) akhirnya terjawab.

Pengetua baru AF8 kini disandang oleh Norman Abdul Halim (KRU). Tentu pihak Astro lebih arif kenapa memilih Norman.

Nama Norman diumumkan di sebuah sidang media majlis pengumuman rasmi pengacara, tenaga pengajar dan pengetua AF8, bertempat di Hotel Hilton, Kuala Lumpur, malam tadi.

Hos baru AF8 juga turut menepati ramalan iaitu Sarimah Ibrahim dan Jimmy Shanley. Kedua mereka berjaya mengambil-alih tempat dan kedudukan AC Mizal yang menjadi AF selama dua musim.

Pemilihan Sarimah dan Jimmy ini diharap memberi sentuhan baru kepada program realiti ini. Sarimah akan mengemudikan program Debaran AF8 manakala Jimmy pula menjadi hos Diari AF8.

Gandingan pengetua, Norman dan Sarimah selaku pengacara AF8.

Sementara itu, kedua-dua mereka akan bergandingan pada hari konsert yang akan diadakan setiap Sabtu. Konsert pertama akan mula bersiaran pada 13 Mac depan melalui saluran ASTRO RIA.

Menurut Pengarah Eksekutif ASTRO Entertainment, Zainir Aminullah, "buat pertama kalinya AF memilih pasangan pengacara bukan untuk meniru rancangan lain.

"Tetapi mempunyai matlamat supaya dapat memantapkan lagi rancangan tersebut disamping membahagikan tugas seperti mengendalikan Diari AF, Konsert AF, dan Debaran AF," katanya semasa sidang media semalam.

Menurutnya lagi, pembaharuan untuk musim ke lapan ini adalah memilih hari Sabtu sebagai hari untuk peserta membuat persembahan, manakala hari Ahad pula hari 'Debaran' di mana peserta akan disingkirkan.

Pada musim ini, para penonton dan peminat AF akan diberi lebih masa dan peluang untuk menilai prestasi persembahan peserta kegemaran masing-masing sebelum menghantar undi.

Manakala penyingkiran peserta pula akan hanya dilakukan pada hari Ahad melalui program siaran langsung Debaran AF.

Selain itu, AF8 juga, turut menampilkan muka baru iaitu pelakon berbakat, Que Haidar selaku jurulatih drama. Untuk musim baru ini, pihak ASTRO masih mengekalkan barisan tenaga pengajarnya yang terdiri daripada Siti Hajar (Guru Vokal Teknikal), Linda Jasmine (Guru Tari), Adnan Abu Hassan (Guru Vokal Persembahan), Fatimah Abu Bakar (Kaunselor dan Guru Bahasa Inggeris).

SISA buah-buahan dan sayuran yang dicampur dengan gula perang dan air mampu menghasilkan bahan pewangi yang menjimatkan dan bersifat semula jadi.





TAHUKAH bahawa anda mampu menghasilkan penyegar udara sendiri dengan menggunakan sisa buah-buahan dan sayuran dari dapur rumah?

Ia bukan sahaja satu langkah penjimatan kerana tidak perlu membeli semburan penyegar di kedai, malah penyediaannya tidak melibatkan kos yang mahal. Anda hanya perlu menunggu tiga bulan untuk mendapatkan hasilnya.

Sekumpulan pelajar Kolej Taylor's yang terlibat dalam demonstrasi membuat ekoenzim sempena mingguGo Green memberitahu, untuk menyediakan ekoenzim seseorang itu hanya memerlukan sisa buah-buahan atau sayuran, gula perang dan air.

Menurut Akmal Arif, 19, ekoenzim merupakan satu larutan kompleks yang dihasilkan melalui proses pemeraman antara campuran sisa dapur yang segar seperti buah-buahan dan sayuran, gula serta air.

"Enzim ini mudah dihasilkan dan boleh disediakan sendiri oleh setiap isi rumah. Apa yang perlu dilakukan ialah campurkan 10 bahagian air, satu bahagian gula dan tiga bahagian sisa dapur ke dalam bekas kedap udara.

"Bekas itu kemudian perlu ditutup ketat dan disimpan selama tiga bulan, tetapi penutupnya perlu dibuka atau dilonggarkan setiap hari untuk melepaskan gas," katanya ketika menerangkan kaedah penyediaan ekoenzim.

Sementara itu, rakan sekumpulannya, Nasrul Yusof, 19, menerangkan bahawa kaedah menjadikan ekoenzim berbau wangi adalah dengan menggunakan sisa buangan buah-buahan sitrus.

"Selain dijadikan semburan penyegar udara, ekoenzim juga boleh digunakan untuk mencuci lantai, melembutkan fabrik, baja organik serta boleh digunakan untuk membasuh baju.

"Apa yang perlu dilakukan adalah mencampurkan satu penutup botol ekoenzim dengan air, kemudian ia boleh digunakan dalam cucian," jelasnya.

Projek ekoenzim sempena kempen hijau itu melibatkan empat pelajar yang lain iaitu Zi Chuen, Rebecca, Michele dan Mohd. Amin Md. Daud.

Kumpulan pelajar tersebut tampil dengan idea itu bagi mendedahkan kepada masyarakat khususnya kepada rakan sekelas mereka mengenai kebaikan ekoenzim. Pada masa yang sama, mereka membawa mesej penjagaan alam sekitar. - NURUL IZZA ROSLY


Oleh DIYANA ROSE KAMALLUDEEN


Bagai pinang dibelah dua, Md. Izuddin dan Qistina sememangnya sama kacak dan sama cantik.


MAJLIS yang cukup indah menyempurnakan permulaan hidup bagi pasangan sehati sejiwa, Md. Izuddin Salleh dan Qistina Mohamad Nazri atau lebih dikenali sebagai pasukan QD dalam fenomenaPeraduan Gerbang Cinta MEGA-Utusan Malaysia.

Pasangan naib juara Izuddin dan Qistina, 26, cocok sekali digelar 'raja sehari' dengan persalinan serba anggun rekaan dan tajaan Hayati Muslim dari T&T Boutique berwarna putih sedondon.

Busana potongan kebaya labuh pengantin perempuan membuatkannya tampil bak puteri kayangan dengan ratusan labuci dan manik merah jambu berkilauan menaburi perincian baju sehingga ke hujung kaki layah.

Tambah ayu dengan solekan daripada jurusolek Afidah Khamis yang terkenal dengan kerjanya yang begitu halus dan teliti.

Keduanya tersenyum bahagia sambil berpegangan tangan tatkala melepasi gerbang perkahwinan, cetusan gabungan idea pengantin perempuan dan penaja yang direka khas berkonsepkan keunikan elemen taman fantasi ala Alice In Wonderland, dikelilingi 'awan' gebu berwarna putih dan merah jambu.

Foyer Dewan D, Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS), Serdang, Selangor yang merupakan lokasi tajaan buat naib juara Peraduan Gerbang Cinta itu ditransformasikan dengan cukup sempurna oleh Orked Bridal, termasuklah kehadiran 10 tiang Roman (Roman pillar) yang didatangkan khas untuk majlis tersebut.

Gangguan teknikal

Bagaimanapun, sedikit masalah teknikal merencatkan hasrat pasangan pengantin untuk masuk berarak menaiki kenderaan vintaj Volkswagen pada awal majlis persandingan malam itu.

Petang persiapan majlis, kenderaan turut dikenali sebagai 'VW bug' berwarna ungu metalik dan perak itu kelihatan cukup berseri dan comel dengan lilitan reben merah jambu serta gubahan bunga.

Namun ini tidak sedikit pun menghalang para penaja meneruskan majlis resepsi dengan penuh gilang-gemilang dan sudah pastinya tidak dapat dilupakan oleh pasangan pengantin sehingga ke akhir hayat mereka.

Terbukti para penaja menunjukkan komitmen tinggi dengan memastikan setiap perincian majlis disempurnakan dengan lancar termasuklah persiapan makanan yang bersesuaian dengan selera setiap tetamu sehingga kepada rekaan pelamin serta dekorasi dewan.

Tidak ketinggalan sistem pembesar suara dan celoteh oleh juruacara yang memeriahkan majlis, Ahmad Ridzuan Ahmad Baijuri yang ditaja oleh D'Sayang Entertainment.

D'Sayang Entertainment yang diketuai oleh Adiezie Aziz turut menyediakan kelengkapan bagi persembahan slide yang mengimbas tentang latar belakang pasangan pengantin.

Seketika pengantin berasakan seperti selebriti popular apabila 'dihujani' kilauan cahaya kamera kumpulan jurugambar daripada Picture Elements diketuai Azmin Ngah Ibrahim dan rakaman video oleh Rumah Acara.

Sumbangan penaja

Menurut perancang perkahwinan Orked Bridal, Azmy Osman, pelamin lima panel itu merupakan trend terkini yang dihasilkan oleh pasukan reka bentuk dalamannya mengikut acuan tersendiri.

"Agar kelihatan mewah dan gah bersesuaian dengan majlis di dalam dewan, kami cuba menyesuaikan bajet dengan kehendak pengantin yang impikan perkahwinan bak kayangan.

"Latar belakangnya direka untuk menonjolkan pantulan penataan cahaya dengan hiasan bersesuaian seperti lampu gantung putih dan bantal merah jambu gebu yang diletakkan pada kaki meja menempatkan pasu bunga besar di kiri dan kanan pelamin," jelasnya.

Selain itu bebola rotan sebagai platform gubahan bunga menambah keunikan rekaan pelamin tersebut.

Pemilik Mastar Catering, Mastar Muni yang menaja hidangan para tetamu dan santapan istimewa meja beradab mengakui amat berpuas hati serta terharu dengan sambutan hadirin terhadap pilihan lauk pauk disediakan.

"Walaupun penat tapi (kami) cukup seronok. Kami sudah anggap pengantin sebagai anak sendiri apatah lagi banyak mengenali mereka sepanjang pertandingan (Gerbang Cinta) dan sama-sama membuat persiapan majlis," ujarnya tersenyum.

Dibantu Pengurus Pemasarannya, Mohd. Faizal Mohd. Ali dan lebih 30 kakitangan, Mastar Catering menyediakan enam jenis lauk pauk termasuk sambal sotong, acar buah-buahan, filet ikan (resipi sendiri rasa seperti tempura), ayam masak merah dan nasi minyak selain pencuci mulut bubur kacang, tapai daun getah dan teh panas.

Untuk meja beradab, udang, ayam golek, ikan siakap, krim karamel dan anggur sebagai pencuci mulut raja sehari dan tetamu kenamaan, Tengku Laksamana Kelantan, Tengku Abdul Halim Sultan Ibrahim yang hadir menyerikan majlis.

Turut hadir pada malam persandingan Naib Juara Gerbang Cinta, Timbalan Ketua Pengarang Kumpulan Utusan, Othman Mohamad, Penolong Ketua Pengarang II Kumpulan Utusan, Ahmad Abdul Hamid dan Ketua Pegawai Eksekutif MAEPS, Datuk Arif Osman.

Bapa pengantin perempuan, Mohamad Nazri Mohamad Yusof, 54, pula amat berterima kasih dan bersyukur dengan segala usaha yang dicurahkan pihak penaja selain anak menantunya sendiri bagi menjayakan majlis perkahwinan tersebut.

"Pada awalnya kami bercadang mengadakan majlis sederhana untuk anak perempuan sulung kami ini tetapi lain pula halnya setelah bergelar Naib Juara Gerbang Cinta.

"Alhamdulillah segalanya berjalan lancar dan mempelai juga selesai diijab kabulkan. Kami mendoakan kesejahteraan untuk kedua-dua pengantin," ujarnya.

Tentunya bukan sahaja pengantin malah kedua pihak keluarga dan lebih 1,200 tetamu yang memeriahkan majlis gilang-gemilang Sabtu lalu amat berpuas hati dengan kelancaran setiap aturcara majlis yang disusun.

Itu termasuk nyanyian istimewa menyentuh perasaan oleh adik bongsu pengantin, Syaza Sofia, 18, yang mendendangkan lagu Sampai Menutup Mata dan I Will Always Love You atas permintaan Qistina sebagai lambang cinta sejatinya terhadap Izuddin.

"Kakak yang meminta saya menyanyikan dua lagu tersebut khas buat majlis persandingannya," katanya yang mempunyai suara cukup lunak dan matang untuk gadis seusianya.

Sementara itu, wakil keluarga mempelai, Haris Harun, sempat 'mengusik' pasangan pengantin dengan mengimbau kembali pertemuan kali pertama antara keduanya tidak sampai setahun lalu di gerai ikan bakar Jalan Ampang.

Dari saat itu Qistina dan Izuddin seperti tidak dapat dipisahkan lagi seolah-olah tahu takdir jodoh antara mereka.

Haris turut menyentuh sedikit sebanyak perwatakan yang cukup berbeza antara Qistina dan Izuddin.

Izuddin digambarkan sebagai lelaki yang pendiam sebaliknya Qistina lebih terbuka dan tidak teragak-agak meluahkan pandangannya.

Sebaik tamat majlis, kedua-dua mempelai mengiringi tetamu kehormat keluar dewan sambil disambut rakan-rakan dan sanak saudara mendoakan kebahagiaan kedua mempelai.

Dalam pada itu turut menjadi penaja bagi Peraduan Gerbang Cinta ini ialah CJ Print, syokkahwin.com dan Kampung Pengantin