KUALA TERENGGANU - Keluarga Che Mat Nik, 51, yang mati ditikam anaknya sendiri dalam kejadian penuh tragis pada Rabu lalu kini hilang semangat dan hidup dalam keadaan trauma.
Adik ipar mangsa, Rozali Hassan berkata, kakaknya, Zainun Hassan dan anak saudaranya tidak mampu meneruskan kehidupan seperti biasa kerana masih teringatkan kejadian malang itu.
Rozali berkata, keadaan anak keempat mangsa, Nur Fatimah Idayu, 14, paling serius kerana 99 peratus semangat remaja itu hilang sama sekali berikutan hubungan rapatnya dengan arwah bapanya, Che Mat.
“Dia rapat dengan arwah sebab dia anak perempuan tunggal dalam keluarga, jadi apabila kejadian ini berlaku, keadaannya sangat lemah dan tidak ada kekuatan mahu melakukan sesuatu,” katanya, semalam.
Sehubungan itu katanya, dia berharap agar ada pihak tampil membantu mengembalikan semangat keluarga berkenaan, khususnya dari segi kaunseling agar mereka dapat melupakan tragedi itu dan menjalani kehidupan seperti biasa.
Setakat ini katanya, hanya kaunselor dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bukit Tunggal sahaja yang datang memberikan semangat kepada anak saudaranya dan keadaan remaja itu kini menunjukkan perubahan.
“Ibu mereka (Zainun) juga memerlukan kaunseling kerana dia turut mengalami trauma yang hebat sebab kejadian itu betul-betul berlaku di depan matanya. Dia yang menyaksikannya segalanya," katanya.
Battery Reconditioning
6 years ago