KUALA TERENGGANU – Tindakan seorang anak yang menikam bapa dan abang kandungnya sendiri, di Kampung Wan Su, Pulau Duyong, di sini, semalam, dikatakan berpunca daripada dorongan suatu bisi-kan suara ghaib wanita tidak dikenali.
Suspek, anak ketiga daripada lima beradik itu dikatakan terdengar satu bisikan suara wanita yang memperkenalkan diri sebagai ‘Siti Aisyah’ dan menyuruh menikam abang sulungnya, Irwan Affendi Che Mat, 30, yang ketika itu sedang tidur di biliknya di tingkat atas rumah tersebut.
Ibu suspek, Zainun Hassan, 50, mendakwa, ketika kejadian sekitar jam 1 pagi, semua ahli keluarga sedang lena tidur dan terkejut apabila mendengar jeritan Irwan Affendi memanggil nama ayahnya, Che Mat Nik, 51, meminta pertolongan.
“Terkejut dengan jeritan agak kuat itu, ayahnya terus melulu ke bilik Irwan Affendi dan melihat dia terbaring menahan kesakitan akibat ditikam di bahagian dada manakala suspek berada di sebelahnya memegang sebilah pisau.
“Melihat keadaan ini, ayahnya cuba menyelamatkan dan menenangkan suspek dengan meminta pisau pada tangannya. Tapi tanpa diduga, suspek terus bertindak menikam perut ayahnya dengan pisau itu,” katanya kepada media ketika ditemui dirumahnya.
Menurut Zainun, tergamam melihat tindakan drastik suspek, dia terus merampas pisau pada tangan suspek lalu menyimpan di suatu tempat agak jauh dari lokasi keja-dian kerana bimbang suspek bertindak lebih liar.
“Tetapi, saya agak terkejut kerana selepas me-ngambil pisau itu, suspek tidak melawan dan dia hanya terdiam. Dia dilihat seolah-olah baru sedar dari mimpi dan terpinga-pinga melihat abang dan bapanya yang terbaring lesu.
“Dia bertanya kepada saya, apa yang telah dilakukan kepada ayah dan abangnya. Saya hanya mampu menyuruh dia mengucap dan ketika itu, dia hanya mampu menangis,” katanya.
Zainun berkata, suspek seorang anak yang sangat baik dan begitu taat kepada kedua-dua ibu bapa selain sangat rapat dengan abangnya dan disebabkan itulah, dia yakin anaknya bertindak dalam keadaan tidak sedar.
“Jika dalam keadaan normal, pasti dia tidak sanggup untuk melakukan perbuatan tersebut kepada orang yang sememangnya dia sayang dan rapat selama ini,” katanya.
Sementara itu, nenek suspek, Gayah Muda, 65, berkata, dia mengetahui kejadian ini sekitar jam 3 pagi setelah diberitahu oleh menantunya, Zainun yang datang ke rumahnya.
“Jarak antara rumah kami hanya 300 meter sahaja. Mangsa anak sulung daripada sembilan adik-beradik dan dia memang sentiasa datang menjenguk saya di rumah. Setahu saya, hubungan antara dia dan suspek begitu rapat dan suspek juga antara cucu kesayangannya.
“Suspek seorang budak baik dan tidak pernah sekali melawan cakap bukan hanya ibu bapanya, malah saya sendiri neneknya dilayan dengan baik. Dia seorang yang sangat senang dididik dan bukan suka berkawan tidak tentu arah,” katanya.
:Akibat kejadian ini, bapa suspek maut di tempat kejadian manakala abangnya menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Sultanah NurZahirah (HSNZ) Kuala Terengganu dan dalam keadaan kritikal.
Battery Reconditioning
6 years ago