Jemaah haji berisiko tinggi sebar H1N1



LONDON - Penganut Islam yang bakal menunaikan ibadat haji dijangka menyebarkan virus Influenza A (H1N1) ke seluruh dunia, kata pakar.

Saintis Amerika Syarikat (AS) dan pegawai kerajaan Arab Saudi dalam jurnal Science mendakwa tiada rantau di dunia yang akan bebas daripada risiko virus tersebut.

Jemaah haji yang dijadualkan menunaikan ibadat itu pada minggu akhir bulan depan berisiko menjadi penyebar H1N1 yang dipindahkan menerusi cecair badan dan sentuhan fizikal.

Saintis dari Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit AS, Shahul Ebrahim berkata, kepadatan jemaah, sifat ibadat dan sentuhan badan sepanjang melakukan ibadat haji adalah situasi 'sempurna' yang menyebabkan penularan wabak berkenaan.

Kira-kira tiga juta penganut Islam dari lebih 160 negara seluruh dunia menunaikan haji di Mekah setiap tahun dan lebih dua juta jemaah adalah dari negara luar.

Pegawai kanan Kementerian Kesihatan Arab Saudi, Ziad Memish berkata, terdapat sekitar 45,000 jemaah dari Eropah dan lebih 15,000 dari Amerika Utara berisiko menyebarkan H1N1 sebaik saja ibadat tersebut selesai.

Penularan H1N1 melalui jemaah haji yang pulang ke negara masing-masing dijangka berpotensi menjadi gelombang awal jangkitan wabak tersebut di seluruh dunia.

Shahul berkata, kajian terdahulu menunjukkan sekurang-kurangnya 30 hingga 35 peratus penularan jangkitan respirasi berlaku pada musim haji.


MARAN: Seorang suri rumah merupakan antara yang ditahan kerana dipercayai mengedar dadah dalam beberapa serbuan di gugusan Felda Jengka di sini pada Sabtu dan Selasa lepas.

Ketua Polis Daerah Maran DSP Ahmad Johari Shahabudin berkata wanita berusia 35 tahun dari Felda Jengka 16 itu ditahan di rumahnya bersama 200 paket plastik lutsinar berisi serbuk dan ketulan dipercayai dadah jenis Heroin dianggarkan seberat 400 gram yang disorok di belakang almari bilik tidurnya.

Beliau berkata ibu kepada lima anak itu ditahan dalam serbuan diketuai Cif Inspektor Azli Mohd Noor pada 11.30 pagi, Selasa lepas.

"Polis percaya wanita ini aktif mengedar dadah sejak dua hingga tiga bulan yang lalu di kawasan Felda Jengka," katanya dalam satu sidang akhbar di sini, hari ini.

Katanya suami wanita berkenaan berusia 40an yang tiada di rumah ketika serbuan turut ditahan pada hari sama bagi membantu siasatan.

Beliau berkata polis juga menahan seorang lelaki berusia 33 tahun bersama 100 paket dadah dipercayai Heroin dianggarkan seberat 200 gram dalam serbuan pada 3.15 petang, Sabtu lepas di hadapan sebuah rumah di Felda Jengka 10.

Ahmad Johari berkata lelaki tersebut yang berada di dalam sebuah kereta cuba melarikan diri selepas menyedari kehadiran polis, namun berjaya ditangkap setelah berlaku sedikit pergelutan.

Susulan penahanan itu, katanya polis menangkap dua lagi lelaki berusia 20 dan 24 tahun, berasal dari Pelabuhan Klang serta merampas 150 paket dadah jenis Heroin dianggarkan seberat 300 gram, dua telefon bimbit dan wang tunai berjumlah RM1,500 pada 11 pagi, Selasa lepas.

Katanya kesemua dadah yang dianggarkan bernilai RM67,500 itu dipercayai diperolehi dari negeri jiran untuk dibekalkan kepada penagihpenagih di daerah Maran.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Kontinjen Pahang Supt Yap Toon Khuan berkata sebanyak 628 kes dan 662 tangkapan berkaitan dadah dilaporkan dari Januari sehingga kini di daerah Maran.

Katanya daripada jumlah itu, sebanyak 49 kes dan 52 tangkapan adalah melibatkan kes berkaitan bekalan yang disiasat mengikut Seksyen 39b, 39A (2) dan 39A (1) Akta Dadah Berbahaya. BERNAMA


Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor melihat 'Kolam 1Malaysia' ketika hadir pada Majlis Makan Malam anjuran Gabungan Dewan Perniagaan dan Perindustrian India Malaysia (MAICCI) yang bertemakan 'Unity In Diversity' di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini,semalam. Turut hadir Presiden MAICCI, Datuk K. K. Eswaran (dua, kiri). -foto Bernama

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata kira-kira 2,220 permohonan daripada 3,335 pemohon kalangan kaum India untuk mendapatkan kewarganegaraan dan taraf penduduk tetap Malaysia telah diluluskan oleh Kementerian dalam Negeri.

Permohonan itu diluluskan memandangkan pemohon menunjukkan taat setia mereka kepada negara ini, dan ada di antara mereka yang telah pun menunggu selama bertahun-tahun untuk menjadi rakyat Malaysia, katanya pada majlis jamuan malam anjuran Gabungan Dewan Perniagaan dan Perindustrian India Malaysia (MAICCI) di sini malam tadi.

Najib berkata mereka juga telah bekerja keras untuk mencari rezeki di negara ini dan oleh itu, mereka banyak memberikan sumbangan kepada pembangunan negara.

Beliau turut menggesa Kementerian Dalam Negeri supaya mempercepatkan proses meluluskan permohonan yang tertunggak oleh kaum India bagi mendapatkan status penduduk tetap dan warga negara.

"Saya telah meminta kementerian supaya meneliti masalah yang mempunyai kaitan dengan permohonan mendapatkan kewarganegaraan bagi penduduk tetap dan masalah lewat pendaftaran yang dihadapai oleh kaum India," jelasnya.

Beliau berkata kementerian berkenaan perlu menyelesaikan keskes tertunggak, dan perlu sentiasa mengumumkan keputusan yang dibuat berhubung perkara itu dari semasa ke semasa. BERNAMA

Awas puting bayi!



PENGGUNAAN puting bayi perlu dielakkan sejak peringkat awal lagi.


ADAKAH anak anda menggunakan puting bayi? Jika ya, anda mungkin perlu menghadapi kenyataan yang pahit hasil penemuan terkini bidang perubatan.

Kanak-kanak yang menggunakan puting bayi sebenarnya berisiko tiga kali ganda menghadapi kesukaran bercakap ketika usia mereka menjelang dewasa kelak.

Kajian saintis mendapati kanak-kanak prasekolah yang menggunakan puting bayi sekurang-kurangnya selama tiga tahun lebih cenderung mempunyai kesukaran membuat ucapan berbanding kanak-kanak yang langsung tidak menggunakan alat tersebut.

Penyelidikan tersebut turut membuktikan kanak-kanak yang menghisap jari juga menghadapi risiko lambat bercakap.

Kajian yang dijalankan sebelum ini oleh The American and Chilean adalah bagi mengetahui hubung kait antara tabiat suka menghisap ibu jari, penyusuan ibu dan penggunaan puting bayi bagi menenangkan bayi terhadap 128 orang kanak-kanak yang berumur antara tiga hingga lima tahun.

Mereka juga menggunakan ujian linguistik bagi mengenal pasti tahap normal perkembangan kebolehan bertutur dalam kalangan kanak-kanak tersebut terutama yang melibatkan sebutan dan bunyi huruf.

Menurut ketua penyelidik dari Universiti Washington, Dr. Clarita Barbosa, kanak-kanak yang menghisap jari, ibu jari atau puting bayi untuk tempoh sekurang-kurangnya selama tiga tahun akan mengalami gangguan dari segi perkembangan bahasa dan pertuturan sehingga tiga kali ganda.


BOTOL susu juga berupaya mengganggu perkembangan kanak-kanak.


Berbanding kanak-kanak yang diberi susu ibu sehingga mencecah usia sembilan bulan dan langsung tidak menggunakan botol susu, risiko terhadap mereka amat rendah.

"Hasil ujian ini menjelaskan bahawa lebih lama penggunaan puting bayi, kesukaran untuk bertutur akan semakin meningkat," jelas Barbosa.

Tambahnya, walaupun keputusan ini memerlukan bukti yang lebih mendalam terutama melibatkan jangka masa penyusuan ibu, orang ramai harus melihatnya sebagai langkah berjaga-jaga.

Perdebatan mengenai penggunaan puting bayi tersebut telah lama merunsingkan ibu bapa kerana sesetengah kanak-kanak amat selesa menggunakan puting tersebut bagi menenangkannya.

Doktor gigi bagaimanapun berkata, penggunaan puting bayi pada keadaan tertentu berupaya mengubah pembentukan gigi apabila digunakan terlalu lama.

Kajian itu dilakukan oleh sebuah pasukan dari de Rehabilitacion Club De Leones Cruz del Sur dan Universiti Washington. Ia diterbitkan dalam jurnal BMC Paediatrics.


AMALAN menggunakan puting bayi boleh mengakibatkan gejala kerosakan gigi pada kanak-kanak. - Gambar hiasan


Penggunaan secara berlebihan

Penggunaan puting bayi secara berlebihan, secara salah atau terlalu lama sehingga melangkaui zaman persekolahan boleh membawa kepada masalah mulut dan gigi.

Gejala-gejalanya ialah:

* Gigi beralih posisi - Gigi tertolak ke depan menyebabkan gigi bawah dan atas bahagian depan tidak bertemu dengan baik.

* Kerosakan gigi (bahagian depan) - Berlaku jika puting bayi dicelup ke dalam bahan manis sebelum dihisap.

* Bernafas melalui mulut - Anak anda mungkin akan lebih cenderung untuk bernafas melalui mulut berbanding hidung. Keadaan ini boleh menyebabkan anak mengalami masalah air liur meleleh berpanjangan.

* Masalah pertuturan dan bahasa - Anak anda mungkin tidak dapat menggunakan sepenuhnya pergerakan lidah yang diperlukan untuk menghasilkan semua sebutan dan peluang mereka mungkin lebih tipis untuk menggunakan bunyi bagi tujuan berkomunikasi.

* Menggalakkan anak berhenti menggunakannya - Kebanyakan kanak-kanak berhenti menghisap puting bayi, jari atau ibu jari pada umur antara dua dan empat tahun. Bagaimanapun, menghisapnya terlalu lama melebihi enam atau tujuh tahun (ketika gigi kekal sedang tumbuh) boleh mengakibatkan masalah gigi dan mulut.


Mantera cinta tak jadi


Oleh Mohd Jamilul Anbia Md Denin
anbia@hmetro.com.my

KUALA LUMPUR: Hajat di hati mahukan gadis pujaan yang menghilangkan diri pulang semula ke pangkuan, namun seorang kerani akhirnya termasuk jerat penipuan seorang ‘pawang cinta’ yang mengarahkannya membayar lebih RM2,000 hanya untuk mempelajari jampi mantera dan ayat pengasih.

Lelaki itu mendakwa, dia diarah menghafal pelbagai jampi mantera aneh yang menyimpang daripada ajaran Islam serta berunsur khurafat oleh pawang wanita berusia 50-an terbabit yang turut didakwa terkenal di kalangan artis dan golongan kenamaan.

Dia akhirnya tidak mempunyai pilihan kecuali membuat laporan di ibu pejabat Polis Daerah Sentul di sini, berikutan diugut bomoh terbabit dan pembantunya kerana mempertikaikan kaedah perubatan yang menyeleweng selain mendakwa ia langsung tidak memberi kesan.

Mangsa mendakwa, jampi mantera yang ‘ditauliahkan’ kepadanya gagal mencairkan hati teman wanitanya yang beralih arah kepada lelaki lain.

Lelaki berkenaan yang hanya mahu dikenali sebagai Roslan, 30, berkata dia menjadi mangsa tipu muslihat bomoh terbabit yang beroperasi di Jalan Chow Kit di sini, selepas diberitahu rakannya yang pernah mendengar ‘kehebatan’ bomoh berkenaan.

Menurutnya, dia sebelum ini menghadapi masalah cinta dengan teman wanitanya yang tiba-tiba ingin memutuskan hubungan tanpa alasan kukuh selepas sekian lama terjalin.

“Teman wanita, ‘L’ yang tinggal di Pulau Pinang seolah-olah membenci, namun saya tidak mudah putus asa lalu bertanya punca kemarahannya,” katanya.

Menurutnya, kerana sayang dan tidak mahu kehilangan buah hati, dia mengambil keputusan berjumpa pawang wanita terbabit yang kerap dikaitkan dengan personaliti terkenal dan artis tanah air.

“Pada pertemuan pertama dengan wanita berkenaan yang mesra dipanggil ‘ibu’, saya menceritakan masalah dihadapi sambil dia mengangguk-angguk bagaikan mengerti gelodak jiwa yang saya alami.

“Selepas beberapa minit menyatakan hajat, ‘ibu’ akhirnya mendakwa boleh menyelesaikan kemelut itu dengan syarat saya datang sekali lagi dan membawa sekeping gambar kekasih bersama kain dan pisau lipat,” katanya.

Menurutnya, dia menemui semula bomoh berkenaan beberapa hari kemudian dengan membawa bersama barangan diminta selain wang pengeras RM175 seperti diarahkan warga emas terbabit.

“Sebaik menyerahkan semua barangan itu, saya diarah menjalani upacara mandi bunga sebelum ‘ibu’ membaca mantera untuk menaikkan seri wajah selain mengembalikan semangat yang hilang sebelum ini.

“Proses ‘berubat’ itu berlanjutan beberapa hari kemudian apabila saya diminta datang bertemu pawang terbabit untuk menerima ‘anugerah’ ayat-ayat jampi dan mantera yang perlu dihafal dan diamalkan,” katanya.

Menurutnya, dalam pertemuan kali kedua itu dia disyaratkan menyerahkan RM300 sebelum diarah menyalin jampi mantera didakwa ayat pengasih di atas sehelai kertas disediakan sambil dia membacakan mantera berkenaan.

“Saya diarah menghafal mantera yang dipercayai mengandungi bahasa kuno selain perkataan berunsur tahyul. Malah, jampi mentera berkenaan seolah-olah seperti memuja jin dan makhluk ghaib lebih daripada mempercayai kuasa Allah.

“Walaupun sangsi, saya mengamalkan mantera berkenaan kerana termakan pujukan ‘ibu’ yang mendakwa ramai individu yang menghadapi masalah sama kini hidup bahagia,” katanya.

Menurutnya, dia berulang kali bertemu bomoh terbabit dalam tempoh dua bulan lalu dan menghabiskan lebih RM2,000 untuk diberikan kepada wanita berkenaan seperti disyaratkan.

“Ibu pernah berjanji teman wanita saya akan melutut dan tunduk kepada saya selewat-lewatnya sebelum Aidilfitri lalu. Namun, selepas sekian lama mengamalkan apa yang disarankan ternyata ia satu pembohongan apabila L sebaliknya makin menjauhi saya.

“Saya cuba mempersoalkan keberkesanan ilmu ‘ibu’ dan pembantunya, namun kedua-dua mereka bagaikan tidak mahu melayan pertanyaan saya.

Menurutnya, tindakannya itu bagaimanapun mencetus kemarahan ‘ibu’ yang akhirnya mengugut akan melakukan sesuatu jika dia terus mengganggu aktivitinya.

“Malah, pembantu lelaki bomoh berkenaan turut mengeluarkan kata-kata berbentuk ugutan termasuk menghantar ‘benda’ dipercayai sihir jika saya masih enggan menutup mulut.

“Tindakan berbentuk ancaman itu menyebabkan saya membuat laporan polis kerana bimbang keselamatan saya terancam.

“Kejadian ini satu pengajaran berguna dan seharusnya dijadikan peringatan kepada orang ramai supaya tidak terpedaya dan percaya perkara tahyul melebihi kuasa Allah,” katanya.

Oleh Mohd Fadly Samsudin

fadly@hmetro.com.my

SERAMAI 26,000 jemaah haji Malaysia akan memulakan ‘pengembaraan’ mereka bersama jutaan umat Islam di seluruh dunia bagi mengerjakan rukun Islam kelima tahun ini.

Sebagai tetamu Allah, ia adalah satu perjalanan yang begitu hebat. Di sana umat Islam tanpa mengira pangkat, kedudukan dan status akan bersama-sama memulakan ‘misi’ penting melakukan satu persatu ibadat tertentu bagi membuktikan mereka hamba yang kerdil kepada pencipta-Nya.

Firman Allah s.w.t yang bermaksud: “Menjadi suatu kewajipan ke atas setiap manusia (orang-orang mukmin) mengerjakan haji ke Baitullah, iaitu bagi mereka yang mempunyai kemampuan. Barangsiapa yang kufur (ingkar), maka ketahuilah bahawa sesungguhnya Allah Maha Kaya (tidak memerlukan sesuatu pun) daripada pihak lain (alam).”

Keberangkatan ke Tanah Suci sudah pasti memberi keinsafan tersendiri apatah lagi bagi jemaah yang mungkin pengalaman pertama.

Selama 44 hari di tanah suci pelbagai pengorbanan perlu dilalui tetamu Allah termasuk wang ringgit, meninggalkan keluarga, pekerjaan selain memastikan kesihatan di tahap terbaik.

Dengan iringan doa, setiap tetamu 'jemputan' Allah ini berharap mereka dapat menunaikan ibadat wajib berkenaan dengan sempurna dan pulang dengan haji mabrur.

Mengikut sejarah awal, ibadat haji ini dibawa junjungan besar kita Nabi Muhammad s.a.w sebagai satu usaha menyambung ajaran Nabi Ibrahim. Mengerjakan haji ini mula diwajibkan ke atas umat Islam pada tahun ke-6 Hijrah.

Allah berfirman yang bermaksud: “Dan Allah s.w.t mewajibkan manusia mengerjakan ibadat haji dengan mengunjungi Baitullah iaitu sesiapa yang mampu dan berkuasa sampai kepada-Nya dan sesiapa yang kufur dan ingkar kewajipan haji itu, maka sesungguhnya Allah Maha Kaya dan tidak berhajatkan sesuatu pun daripada sekalian makhluk.”

Pada permulaan ibadat itu, Rasulullah s.a.w bersama kira-kira 1,500 umat Islam berangkat ke Makkah tetapi gagal mengerjakannya kerana dihalang kaum Quraisy sehingga termeterai Perjanjian Hudaibiah yang membuka jalan bagi mengembangkan Islam.

Selepas perjanjian itu, pada tahun berikutnya, tahun ke-7 Hijrah, 2,000 umat Islam mengerjakan umrah bersama-sama Nabi Muhamad s.a.w.

Namun, haji yang sempurna hanya dapat dilakukan pada tahun ke-9 Hijrah apabila Rasulullah s.a.w mengarahkan Saidina Abu Bakar Al-Siddiq mengepalai 300 umat Islam mengerjakan haji.

Sepanjang hayat Nabi Muhammad s.a.w, baginda menunaikan fardhu haji sekali saja. Haji itu dinamakan ‘Hijjatul Wada’, Hijjatul Balagh dan Hijjatul Islam atau Hijjatuttamam Wal Kamal kerana selepas haji berkenaan baginda wafat.

Rasulullah berangkat ke Madinah pada hari Sabtu, 25 Zulkaedah tahun 10 Hijrah bersama isteri dan sahabat seramai lebih 90,000 orang.

Baginda melakukan amalan seperti sunat ihram, memakai ihram dan berniat ihram di Zulhulaifah, sekarang dikenali dengan nama Bir Ali iaitu 10km dari Madinah.

Rasulullah sampai di Makkah pada 4 Zulhijjah selepas melakukan perjalanan selama 9 hari. Kemudian baginda berangkat ke Mina pada 8 Zulhijjah dan bermalam di situ.

Pada 9 Zulhijjah Rasulullah berwukuf di Arafah yang pada hari itu jatuh pada hari Jumaat dan merayakan Aidiladha di sana.

Rasulullah s.a.w menyempurnakan semua rukun dan wajib haji hingga 13 Zulhijjah. Pada hari terakhir pada 14 Zulhijjah, baginda meninggalkan Makkah pulang ke Madinah.

Oleh Nazdy Harun

am@hmetro.com.my

KUALA TERENGGANU: Seorang lelaki bernafsu syaitan sanggup menyamar penguat kuasa Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Terengganu (JHEAT) sebelum memperkosa seorang pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) di pantai Tok Jembal, dekat sini, awal pagi kelmarin.


Sebelum kejadian kira-kira jam 10 malam, mangsa yang berusia 20 tahun bersama teman lelakinya menaiki kereta dan berhenti di Pantai Teluk Ketapang di sini sebelum didatangi tiga lelaki yang memperkenalkan diri pegawai penguat kuasa JHEAT.

Difahamkan, suspek mengarahkan mangsa keluar dari kereta sebelum dibawa ke tepi pantai untuk melakukan rundingan konon bagi mengelak tindakan diambil terhadapnya dan pasangan.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner Mohd Fauzi Abduri, berkata ketika itu, suspek memberitahu mangsa jika tidak mahu berunding, tindakan tegas akan diambil terhadapnya termasuk didenda sehingga RM6,000 jika didakwa di mahkamah.

Menurutnya, suspek menawarkan untuk mengadakan hubungan seks dengan pelajar perempuan terbabit sebagai balasan untuk tidak dikenakan tindakan.

Disebabkan terlalu bimbang, mangsa yang ketakutan bersetuju dengan tawaran suspek.

Katanya, melihatkan pelajar itu ketakutan dan bersetuju dengan tawaran itu, suspek membawa mangsa menaiki motosikal menuju Pantai Tok Jembal di sini, kira-kira tiga kilometer dari tempat kejadian.

Mohd Fauzi berkata, sebaik tiba di pantai itu, suspek membawa mangsa ke dalam semak berhampiran lalu merogolnya sebelum melarikan diri.

“Berikutan kejadian itu, pelajar itu membuat aduan di Balai Polis Kuala Terengganu kira-kira jam 4.15 pagi dan bertindak atas maklumat mangsa, sepasukan pegawai dan anggota polis menahan seorang lelaki yang dipercayai terbabit kejadian itu.

“Suspek berusia 41 tahun berasal dari Kampung Telaga Batin, Seberang Takir di sini yang juga peniaga buku ditahan di sekitar kawasan kejadian kira-kira jam 5.45 pagi,” katanya.

Menurutnya, mangsa dihantar ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) untuk pemeriksaan lanjut dan polis masih menunggu hasil ujian perubatan manakala suspek kini direman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan kerana kesalahan merogol.

Katanya, polis masih menjejaki dua lagi rakan suspek yang dipercayai turut terbabit kejadian itu.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Penerangan negeri, Khazan Che Mat, kesal dengan perbuatan suspek yang dikenal pasti sebagai bekas seorang penguat kuasa agama sukarela yang dilantik kerajaan kerana sanggup merogol mangsa.

Menurutnya, sebagai bekas pegawai pencegah maksiat, suspek tidak sepatutnya melakukan perbuatan keji itu.

Beliau berkata, kad kuasa diberikan kepada suspek sudah lama ditarik balik JHEAT dan lelaki itu sudah tiada kuasa untuk menahan pasangan yang disyaki berkhalwat atau melakukan maksiat.

“Saya memberi amaran kepada pegawai sukarela atau pegawai tetap yang didapati membuat rundingan atau menerima sogokan wang daripada pasangan yang melakukan maksiat termasuk khalwat, tindakan tegas termasuk dibuang kerja akan diambil terhadap mereka jika didapati bersalah,” katanya.


Hadith :

Abu Said al-Khudri menerangkan bahawasanya Nabi SAW pada suatu hari duduk di atas mimbar dan kami duduk di sekitarnya.

Maka nabi SAW bersabda: “Sesungguhnya di antara yang aku takut terhadap diri mu sesudah wafat ku ialah kemewahan yang diberikan kepada mu. Iaitu kemewahan dunia dan hiasannya.

Maka seorang lelaki berkata: “Ya Rasulullah! Apakah kebaikan itu mendatangkan kejahatan?

Maka nabi berdiam diri. Kerana itu seseorang berkata kepada orang tersebut : “Mengapa kamu? Apa urusan mu? Engkau bertanya kepada nabi, baginda tidak mahu menjawab.

Kemudian kami melihat bahawasanya nabi sedang diturunkan wahyu kepadanya.

Abu Said berkata; “ Maka nabi menyapu peluh pada dirinya dan nabi bertanya: “Mana si penanya?” seolah-olah nabi memuji orang tersebut.

Kemudian nabi bersabda: “Sesungguhnya kebaikan itu tidak mendatangkan kejahatan. Dan sesungguhnya di antara yang ditumbuhkan musim bunga, ada yang memusnahkan binatang lantaran kekenyangan atau hampir-hampir membinasakannya kecuali binatang yang memakan sayur-sayuran. Dia memakan umpan hingga apabila telah buncit lambungnya, maka dia pun menatang matahari lalu dia mengeluarkan kotoran dan kencing serta pergi ke padang penggembalaan. Dan sesungguhnya harta itu indah lagi sedap. Maka sebaik-baik harta orang Muslim ialah yang diberikan sebahagiannya kepada orang miskin, anak yatim dan ibnu sabil. Atau sebagaimana nabi pernah sabdakan. Dan bahawasanya orang yang mengambil harta dengan bukan haknya adalah sebagai orang yang memakan dan tidak merasa kenyang. Dan jadilah harta itu saksi atas dirinya di hari kiamat.” (al-Bukhari dan Muslim)

Huraian:

Allah melarang kita daripada bersifat tamak dan suka mengumpulkan harta akan tetapi tidak suka bersedekah dan menafkahkan harta tersebut ke jalan Allah.

Sedangkan orang yang banyak bersedekah adalah orang yang melaburkan saham untuk kepentingan akhirat.

Hakikatnya harta itu adalah fitnah seumpama binatang yang hidup di padang ternakan.

Ada yang mati akibat terlalu banyak makan dan ada yang mengeluarkannya kembali sehingga tidak membuncitkan perutnya.

Perumpamaan ini adalah bagi orang yang membelanjakan hartanya di jalan-jalan kebajikan. Justeru dalam mencari harta kita perlu bersederhana jangan terlalu tamak hingga mengundang mudarat.

Sumber : Jabatan Kemajuan Islam Malaysia

KEAJAIBAN MAHA PENCIPTA ... Seorang peneroka di Rancangan Tanah Felda Aring Satu, Gua Musang, Mustapha Zakaria menunjukkan ikan toman bunga peliharaannya yang tertera kalimah Allah pada badan ikan itu. Mustapa memelihara ikan itu lebih setahun lalu apabila rakannya memberi ikan tersebut yang dipancing di Sungai Kampung Rasa, Pasir Puteh. Kalimah Allah itu kelihatan lebih jelas menjelang malam ekoran badan ikan yang lebih bercahaya. -Foto BERNAMA

SEORANG peneroka di Rancangan Tanah Felda Aring Satu, Gua Musang, Mustapha Zakaria, 53, tidak sangka ikan toman bunga yang dipelihara lebih setahun lalu ada tulisan kalimah Allah di kedua-dua belah badannya.

Semasa ditemui di rumahnya baru-baru ini, beliau menyedari mengenai perkara itu apabila diberitahu oleh imam rancangan tanah berkenaan, Nordin Ariffin, yang mengunjungi rumahnya ternampak tulisan itu.

"Saya pada mulanya tidak percaya ada tulisan kalimah Allah tetapi selepas saya amati ikan yang saya pelihara di dalam akuarium itu, ternyata ia adalah benar.

"Mungkin ada hikmah di sebalik kejadian itu dan saya tidak bercadang untuk menjualnya walaupun ada peneroka menawarkan harga RM300," katanya.

Mustapha berkata dia memperolehi ikan toman itu daripada rakannya di Kampung Rasa, Pasir Puteh, selepas rakannya memancing di sungai kampung terbabit.

Beliau berkata semasa membawa balik ikan toman itu lebih setahun lalu saiznya lebih kecil dalam sekitar setengah kilogram sahaja tetapi sekarang bertambah besar hingga mencapai lebih satu kilogram.

"Memang pada mulanya saya tidak berniat untuk memelihara lebih lama kerana sebelum ini saya pernah memelihara ikan jenis serupa dan menjualnya kepada orang lain," katanya.

Namun, tambah beliau kali ini dia akan terus menjaga dengan baik ikan toman berkenaan yang semakin bercahaya dan semakin ramai peneroka rancangan tanah terbabit datang melihatnya setiap hari.

"Menjadi hobi saya memelihara ikan dalam akuarium sejak usia remaja lagi tetapi ini adalah pertama kali ikan yang saya pelihara ditemui ada tulisan kalimah Allah.

"Ikan toman ini lebih bercahaya pada waktu malam hingga tulisan kalimah jelas kelihatan," katanya. BERNAMA


WARNA, bentuk, orang di sekeliling dan suasana yang berbeza lebih mudah merangsang fungsi otak anak-anak.


SIAPA yang tidak mahu melihat anak yang sedang membesar menjadi individu yang bijak dan boleh menggunakan setiap bahagian otaknya dengan baik.

Selain boleh berlari, ibu bapa juga pasti mahu melihat anak mereka boleh mengimbangi sesuatu yang bersifat rasional dan emosi.

Sehubungan itu, berikut beberapa tip untuk melahirkan anak yang memiliki minda cerdas.

Makanan

Anak-anak yang kekurangan gizi secara umumnya memiliki otak yang kurang berkembang. Pengambilan makanan seperti ikan, vitamin dan mineral secukupnya merupakan cara terbaik untuk perkembangan otak.

Pergaulan

Semakin besar pergaulan hidup anak anda, semakin baik perkembangan otaknya. Warna, bentuk, orang di sekeliling dan suasana yang berbeza lebih mudah merangsang fungsi otak berbanding anak-anak yang hidup bersendiri.

Pengalaman emosional

Anak-anak sangat peka terhadap rangsangan dan pengalaman emosi. Semua pengalaman emosi yang berlaku dalam lingkungan awal usia mempengaruhi proses pembentukan jalinan antara sel saraf.

Pada usia tersebut, ciri-ciri seperti kawalan diri, kesabaran, kerjasama, empati dan sebagainya lebih mudah dilatih dan tertanam kuat dalam otak berbanding kemahiran mengira, membaca atau kegiatan-kegiatan lain.

Stimulasi rasional

Perkara-perkara baru lebih cepat mempengaruhi otak. Justeru, anda harus memperkenalkan perkataan-perkataan, teknik dan tugasan baru kepada anak-anak setiap hari.

Origami iaitu seni melipat kertas adalah salah satu cara memperbanyak hubungan sel saraf. Minta anak untuk memerhatikan alur, warna, bentuk dan ciri-ciri lain yang tidak jelas jika hanya dilihat sepintas lalu.

Perhatian ke atas perkara-perkara kecil seperti bentuk dan warna boleh membuatkan cabang saraf bertambah banyak.

Aktiviti fizikal

Aktiviti fizikal mempengaruhi otak dengan tiga cara iaitu meningkatkan pengedaran darah ke otak, mempengaruhi pengeluaran hormon NGF (faktor pertumbuhan saraf) dan merangsang penghasilan dopamin.

Anda disarankan melatih emosi anak lebih dulu.

Kematangan emosi memerlukan waktu tertentu untuk berkembang, sedangkan kecerdasan rasional dapat ditingkatkan pada bila-bila sahaja.



KANAGAM (dua dari kanan) meraung dan terpaksa ditenangkan oleh saudara-maranya selepas mengecam mayat anaknya, Divyahshree di Hospital Kampar semalam.





KAMPAR - Suasana pilu menyelubungi keluarga M. Darapharshini, 11, dan V. Divyahshree, 12, apabila mayat kedua-dua budak yang hilang dihanyut arus deras Sungai Kampar Isnin lalu ditemui.

Ibu bapa Darapharshini, K. Mageswaran, 46, dan R. Nagaratana, 41, bagaikan tidak dapat menerima hakikat apabila mayat anak keempat daripada lima beradik itu sampai di rumah mereka pada pukul 8 pagi.

Mayat Darapharshini ditemui pada pukul 11.30 malam kelmarin.

Sambil memeluk erat keranda anaknya, Nagaratana tidak putus-putus menyatakan kekesalan membenarkan anak perempuan tunggalnya menyertai aktiviti Perkhemahan 1Malaysia tersebut.

"Saya bagaikan bermimpi apabila dimaklumkan mayat Darapharshini telah dijumpai lewat malam semalam (kelmarin).

"Apabila keranda membawa mayatnya sampai rumah, saya seolah-olah hilang nyawa menyedari satu-satu anak perempuan saya telah tiada," katanya ketika ditemui di rumahnya di Taman Di Awan, Mambang Di Awan dekat sini semalam.

Mageswaran berkata, dia pada mulanya tidak mengetahui Darapharshini turut menyertai perkhemahan anjuran Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) Kinta Selatan itu bersama-sama anak lelaki ketiganya, M. Sarweswaran, 12.

Kos baru untuk kenderaan lama

-Hampir dua juta kenderaan lama wajib jalani pemeriksaan Puspakom


SEORANG peniaga di Kuala Terengganu, Mansor Chik mengeluh kerana terpaksa berbelanja lebih untuk pemeriksaan di Puspakom tahun depan walaupun kereta Proton Saga keluaran 1992 miliknya didakwa masih dalam keadaan baik.


KUALA LUMPUR - Berkuat kuasa 1 Januari 2010, semua kenderaan persendirian berusia 15 tahun atau lebih diwajibkan menjalani pemeriksaan komprehensif tahunan ekoran kajian semula Dasar Automotif Nasional (DAN) yang diumumkan semalam.

Ia mensyaratkan kelulusan daripada Puspakom Sdn. Bhd. sebelum pemilik boleh memperbaharui cukai jalan.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Mustapa Mohamed berkata, tindakan tersebut adalah langkah awal pelaksanaan sepenuhnya Dasar Tempoh Jangka Hayat (ELV).

Menurut beliau, pelan ELV akan dirangka oleh Kementerian Pengangkutan.

Apabila dilaksanakan kelak, ia dijangka membabitkan hampir dua juta kenderaan yang berusia lebih 15 tahun.

Mengikut rekod Jabatan Pengangkutan Jalan, jumlah kenderaan persendirian yang berdaftar dan berusia 10 tahun ke atas ialah sebanyak 2.7 juta buah.

"Kita telah berunding dengan pelbagai pihak dalam industri automotif sebelum menguatkuasakan peraturan ini," katanya pada sidang media yang turut dihadiri timbalannya, Datuk Mukhriz Mahathir dan Ketua Setiausaha kementerian itu, Tan Sri Abdul Rahman Mamat semalam.

Hadith :

Rasulullah s.a.w bersabda: "Akan keluar satu batang leher dari Neraka pada hari kiamat, dengan dua mata yang melihat, dan dua telinga yang mendengar, serta lidah yang bercakap, lalu berkata: "Aku diberi kuasa menyiksa tiap-tiap seorang dari tiga jenis manusia: Tiap-tiap orang yang kejam dan keras hati, lagi degil tidak menerima kebenaran yang diketahuinya; tiap-tiap orang yang mempersekutukan sesuatu yang lain dengan Allah, dan orang-orang yang membuat gambar".

Abu Hurairah r.a

Sumber : Jabatan Kemajuan Islam Malaysia


KUANTAN: Seorang surirumah dijatuhi hukuman penjara 20 bulan oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini selepas mengaku bersalah atas dua pertuduhan mendera dua anak tirinya pada 16 dan 22 Oktober lepas.

Majistret Nor Zaihan Mohamad Ali mengarahkan hukuman ke atas Noraini Yusoff, 40, bermula dari tarikh tangkap pada 22 Oktober lepas.

Noraini didakwa menganiaya seorang kanak-kanak perempuan yang juga anak tirinya berusia 11 tahun dengan cara memukul, mencubit dan menggigit hingga mendatangkan kecederaan fizikal di sebuah rumah beralamat di 8B/2468, Batu 8, Jalan Gambang di sini kira-kira 3 petang, 16 Oktober lepas.

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa melakukan kesalahan sama terhadap seorang kanakkanak lelaki berusia sembilan tahun di tempat sama kira-kira 8 pagi, 22 Oktober lepas.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 31 (1) (a) Akta Kanak-kanak 2001 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 31 akta sama yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM20,000 atau penjara maksimum 10 tahun.

Dalam rayuannya, Noraini yang tidak diwakili peguam memohon mahkamah untuk tidak memenjarakannya atas alasan perlu menjaga anaknya yang berusia lima tahun, hasil perkahwinan bersama bapa keduadua mangsa selain memaklumkan tindakannya itu didorong tekanan serta masalah rumahtangga.

Nor Zaihan bagaimanapun mencelah dan bertanyakan bagaimana tertuduh mahu menjaga anaknya sendiri sedangkan menunjukkan contoh tidak baik apabila memukul dan mendera anak tirinya.

Terdahulu, Timbalan Pendakwaraya Mahadi Abdul Jumaat memohon mahkamah menjatuhkan hukuman yang setimpal berikutan kesalahan yang dilakukan tertuduh adalah serius dan berat. BERNAMA



SEJUMLAH wanita Bosnia memasuki Mahkamah Jenayah Antarabangsa Untuk Negara Bekas Yugoslavia bagi mendengar perbicaraan Karadzic di The Hague kelmarin.



KARADZIC


THE HAGUE - Bekas pemimpin Serb Bosnia, Radovan Karadzic bercita-cita mahu menghapuskan umat Islam dari muka bumi, demikian hujah pendakwa raya Mahkamah Jenayah Antarabangsa Untuk Negara Bekas Yugoslavia di sini, Belanda kelmarin.

Dalam hujah itu, pendakwa raya cuba memberi gambaran terhadap kempen pembersihan etnik yang diketuai Karadzic semasa Perang Bosnia pada 1992-1995.

Namun, kenyataan pendakwa raya itu disampaikan tanpa kehadiran Karadzic setelah bekas pemimpin itu memboikot perbicaraan.

Karadzic, 64, yang ditahan tahun lalu selepas 13 tahun hidup dalam buruan mendesak diberikan lebih banyak masa untuk menyediakan bahan pembelaan berikutan pendakwa raya mengemukakan lebih satu juta muka dokumen.

Pendakwa raya berkata Karadzic ialah individu penting yang menggerakkan penghapusan etnik di bandar-bandar dan kampung-kampung bagi merealisasikan konsep negara Serb Bosnia asli.

Tindakan itu menyebabkan lebih 8,000 lelaki Islam dewasa dan kanak-kanak Bosnia dibunuh beramai-ramai di Srebrenica pada 1995.

Pendakwa raya itu memetik kenyataan Karadzic 43 bulan sebelum peperangan itu berlaku iaitu:

"Sarajevo akan menjadi kawah hitam tempat umat Islam akan mati. Mereka akan lenyap dari muka bumi."

Berpuluh-puluh mangsa perang yang terselamat memenuhi galeri awam dan beberapa bilik khas mendengar perbicaraan dengan teliti.

Ketua hakim, O-Gon Kwon berkata, beliau kesal kerana Karadzic tidak hadir dan bersedia untuk melantik peguam bagi mewakilinya jika dia terus enggan hadir. - Agensi


Senario penyakit jantung di Malaysia

Oleh NOOR FAZRINA KAMAL


Set V-Patch yang membantu mengesan rentak degupan jantung tidak normal.


PENYAKIT koronari jantung (CHD) atau penyakit jantung kronik antara punca kematian terbesar di kalangan penduduk di negara ini. Ia turut menjadi ancaman maut di negara-negara besar lain seperti Rusia, Amerika Selatan dan Utara, Australia, New Zealand dan Eropah.

Bahkan diramalkan ia bakal menjadi 'pembunuh dalam senyap' utama seluruh benua di dunia menjelang tahun 2020.

Mengikut perangkaan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada tahun 2002, satu pertiga daripada kematian manusia di seluruh dunia adalah disebabkan oleh serangan jantung.

Daripada jumlah tersebut sebanyak 40 hingga 75 peratus pesakit yang terkena serangan jantung meninggal dunia sebelum sempat mendapatkan rawatan di hospital.

Persoalannya berapa ramaikah rakyat di negara ini mengetahui dengan jelas mengenai CHD) dan siapakah golongan berisiko menghidapi penyakit berbahaya ini?

"Jawapannya mudah sesiapa pun berisiko untuk diserang CHD kerana penyakit ini banyak berkait rapat dengan gaya hidup seseorang," kata Perunding Kardiologi dari Pusat Perubatan Tropicana, Kota Damansara, Selangor, Dr. Haizal Haron Kamar.

Beliau berkata demikian pada satu ceramah sempena majlis memeteri perjanjian pengedaran V-Patch, sistem penganalisis degupan jantung terbaru, antara V-Patch Medical Systems Pty. Ltd. dengan OGAWA World Berhad, di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Menjelaskan lebih lanjut mengenai CHD, Dr. Haizal berkata, secara mudah ia dirujuk sebagai serangan jantung berpunca daripada penyumbatan pada pembuluh darah yang sepatutnya berfungsi membawa bekalan darah dan oksigen ke jantung.

Menurutnya, senario penyakit jantung di Malaysia cenderung menunjukkan dua jenis faktor penyebab iaitu faktor boleh diubah dan tidak boleh diubah.

Faktor tidak boleh diubah berkaitan dengan aspek umur, sejarah keluarga, jantina dan etnik pesakit, manakala boleh diubah adalah serangan jantung yang berpunca daripada penyakit-penyakit lain sedia dihidapi pesakit seperti diabetis, darah tinggi, kandungan kolesterol tinggi, obesiti dan amalan gaya hidup tidak sihat.

"Secara umum penyakit diabetis memang boleh menjadi punca penyakit-penyakit lain seperti kegagalan buah pinggang, neuropati strok, masalah penglihatan dan seterusnya serangan jantung atau CHD.

"Senario di Malaysia ketika ini menunjukkan sebanyak 14.9 peratus orang dewasa berusia 30 tahun ke atas menghidap diabetis.

"Dari situ kita sudah boleh meramal potensi serangan CHD di kalangan rakyat negara ini. Itu belum lagi melihat golongan yang menghidap penyakit darah tinggi dan yang turut berisiko diserang sakit jantung," ujarnya.

Menurut Dr. Haizal, mengikut perangkaan sebanyak 4.8 juta rakyat Malaysia menghidapi penyakit darah tinggi dan 64 peratus daripada jumlah tersebut tidak sedar bahawa mereka menghidap penyakit tersebut.

Kandungan kolesterol yang tinggi juga boleh menjadi punca kepada serangan jantung. Keadaan ini berlaku apabila kolesterol yang terkumpul menyumbat pembuluh darah yang membekalkan darah dan oksigen ke jantung.

"Kandungan kolesterol berkait rapat dengan makanan yang kita ambil. Sebab itu pada awal tadi saya sudah nyatakan bahawa serangan jantung sedikit sebanyak ada kena mengena dengan gaya hidup seseorang.

"Begitu juga dengan faktor obesiti yang menjadi salah satu punca utama serangan jantung di negara ini.

"Mengikut perangkaan yang dikeluarkan oleh Malaysian Noncommunicable Disease Surveillance 2005/2006, sebanyak 48.6 peratus orang dewasa di Malaysia mempunyai berat badan berlebihan atau obes kerana tidak bersenam.

"Lebih membimbangkan apabila jumlah rakyat negara ini yang mengalami obesiti meningkat lima kali ganda melibatkan golongan yang berusia 40 hingga 49 tahun," katanya.

Dr. Haizal berkata, obesiti sangat berkait rapat dengan penyakit jantung kerana lemak badan yang berlebihan akan terkumpul di sekeliling jantung dan mengganggu salur darah.

Satu lagi faktor punca serangan jantung yang tidak boleh dipandang ringan ialah tabiat merokok.

"Sebanyak 25.5 peratus rakyat Malaysia merokok dan ini meningkatkan lagi risiko serangan jantung di kalangan mereka," jelasnya

Menjelaskan mengenai simptom serangan jantung, menurut Dr. Haizal, ia boleh dikenal pasti melalui beberapa simptom yang jelas namun ada kalanya juga serangan berlaku tanpa sebarang simptom.

Antara simptom yang biasa berlaku ialah rasa sakit atau tidak selesa terutama dari bahagian tengah dada hingga ke leher dan lengan tangan kiri. Rasa sakit turut disertai dengan berpeluh yang banyak serta rasa terumbang ambing.

Kesakitan itu berlaku disebabkan ketika itu jantung tidak mendapat bekalan darah atau oksigen yang mencukupi.

Pesakit mungkin berasa seperti dada mereka ditekan atau jantung seperti diramas orang.

"Bagaimanapun perlu diingatkan tidak semua serangan jantung datang dengan cara begini. Jadi cara yang terbaik untuk mendiagnosis CHD ialah seperti melalui ujian Elektro Cardio Gram (ECG), ujian tekanan senaman, echo kardiogram, koronari angiogram dan imbasan MRI.

Rawatan CHD

Dr. Haizal berkata, setakat ini salah satu rawatan terhadap pesakit CHD ialah dengan pengambilan ubat-ubatan berdasarkan kepada arahan doktor.

"Kaedah kedua ialah dengan pembedahan pintasan (bypass) iaitu urat di bahagian kaki akan dipotong dan disambung pada arteri di bahagian jantung yang tersumbat.

"Satu lagi teknik ialah dinamakan angioplasty, iaitu teknik teknik di mana ruang dalam arteri yang sempit dibuka dengan menggunakan sejenis tiub khas yang boleh meregang bagi pengaliran darah dan oksigen yang lebih baik," katanya.

Beliau juga menyarankan pesakit yang telah disahkan menghidap penyakit jantung agar mengubah gaya hidup kepada yang lebih sihat.

Pertamanya, boleh dimulakan dengan bersenam setiap hari, makan secara sihat dan seimbang.

"Bagi yang merokok sebaiknya hentikan tabiat itu serta merta dan kurangkan tekanan dalam kehidupan harian.

"Jika mereka masih tidak mempunyai insurans kesihatan, saya sarankan cepat dapatkan insurans yang baik dan akhir sekali mestilah berjumpa dengan doktor," katanya.

Dalam pada itu pengesanan awal terhadap degupan jantung tidak normal boleh mengurangkan implikasi lebih tragik terhadap pesakit jantung.

Justeru pengenalan V-Patch Medical Systems (V-Patch) sebagai penganalisis degupan jantung dianggap lembaran baru bagi membantu pesakit jantung.

Pengasasnya, Peter Taylor berkata, penciptaan V-Patch membolehkan pakar perubatan membuat pengesanan awal dan diagnosis yang lebih baik untuk pesakit mereka.

"Sistem ini telah dibangunkan dan diuji di beberapa buah negara di dunia. Bukan itu sahaja, rangkaian telefon selular yang digunakan dalam sistem pengesanan V-Patch ini juga telah diuji di sembilan buah negara di seluruh dunia," jelasnya yang bertanggung jawab menzahirkan idea penghasilan V-Patch tersebut.

Menurut Taylor V-Patch ini amat peka dan dapat mengesan serta mengenalpasti rentak degupan jantung si pemakai.

"Apa sebenarnya yang dilakukan oleh V-Patch ialah merekod masa sebenar rentak degup jantung sekali gus menentukan sama ada pemeriksaan lanjut diperlukan.

"Jadi, mereka yang memakai V-Patch ini mempunyai pilihan untuk mendapatkan rawatan yang terbaik untuk diri mereka," jelasnya pada majlis yang sama.

Sementara itu pengarah eksekutif V-Patch Medical System Pty. Ltd., Luke Whelan menerangkan bahawa alat tersebut merangkumi tiga peralatan iaitu pelekat yang dilekatkan di bahagian dada (V-Patch), sejenis alat pengesan yang juga dilekat ke dada (V-Pod), alat transmisi bersaiz umpama telefon bimbit (V-Cell) dan maklumat disalurkan ke internet menerusi V-Central.

"Doktor akan mendapat pesanan menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS) atau emel dari sistem V-Sentral dia boleh melihat graf yang menunjukkan degupan jantung pesakit mereka.

"Alat ini berguna untuk sesiapa sahaja yang pernah pengsan, rasa tidak stabil, terhuyung hayang, sesak nafas, degupan jantung amat kuat, degupan jantung tidak sekata, degupan jantung laju atau perlahan," katanya.

Dengan adanya alat tersebut beliau percaya pesakit akan lebih proaktif dengan doktor mereka kerana ternyata mencegah lebih baik daripada merawat.


SHAH ALAM 26 Okt. - Janda seorang ahli perniagaan bergelar Datuk hari ini mengemukakan tuntutan supaya bekas suaminya membayar tunggakan mas kahwin berupa pembelian sebuah banglo dan kereta mewah Mercedes Benz C200.

Aishah Abu Bakar, 33, pramugari di sebuah syarikat penerbangan tempatan membuat tuntutan itu selepas Saidi @ Ramli Suari, 55, didakwa gagal menyediakan banglo tersebut dan membayar ansuran pinjaman kereta yang mencecah RM144,000.

Wanita itu selaku pemohon memfailkan saman dan pernyataan tuntutannya pada 31 April tahun lalu di Mahkamah Tinggi Syariah di sini selepas bercerai secara rasmi dengan Saidi pada 18 Februari 2008.

Aishah yang sepatutnya memberikan keterangan di hadapan Hakim Syarie, Abu Bakar Mohd. Daud bagaimanapun terpaksa akur dengan prosedur mahkamah yang tidak berpuas hati dengan dokumen pengesahan pemastautin dirinya.

Ini kerana menurut hakim, terdapat keraguan berhubung tempat tinggal pemohon yang menjurus kepada isu bidang kuasa mahkamah.

Abu Bakar dengan itu, menangguhkan perbicaraan sehingga 21 Mac tahun depan.

Pemohon dalam tuntutannya mendakwa, dia bernikah menurut hukum syarak pada 4 Februari 2005 di Islamic Shariah Council United Kingdom, England sebagai isteri keempat dengan mas kahwin 1,000 pound sterling (RM7,154.44), muqaddam dan sebuah kediaman.

Atas desakan ibu bapa yang ingin melihat majlis ijab dan kabul dijalankan di Malaysia, pemohon mendakwa, dia dan Saidi yang dinamakan sebagai defendan telah bersetuju sekali lagi menjalani majlis pernikahan di Melaka.

Pernikahan berwalikan bapanya berlangsung pada 1 Julai 2005 dengan mas kahwin RM40, belanja hantaran RM15,000 dan pemberian lain iaitu sebuah kereta Mercedes Benz bernombor pendaftaran WMY 75.

Pemohon mendakwa, mereka bagaimanapun bercerai dengan kebenaran mahkamah setelah defendan meninggalkannya selama setahun tujuh bulan.

Aishah menyatakan, defendan enggan, gagal atau mengabaikan untuk memberi sebuah kediaman, seperti yang termaktub dalam sijil nikah sehingga kini.

Defendan juga dakwa pemohon telah gagal membayar ansuran kereta sejak Disember 2007. Jumlah bayaran yang diperlukan untuk menebus harga pembelian (pinjaman) kereta tersebut adalah RM144,000 setakat Februari 2008.


Mega: Membaca isu-isu yang dibangkitkan dalam Laporan Kedua Audit Negara itu pastinya melibatkan soal akhlak, moral dan integriti. Boleh Dr. jelaskan ketiga-tiganya?

DR. AMINI: Akhlak adalah sumber tindak tanduk manusia yang membawa ke arah kesejahteraan di dunia dan akhirat menuju keredaan Allah SWT. Untuk mencapai hakikat ini, ilmu akhlak perlu dipelajari dan dipraktikkan.

Imam al-Ghazali dalam bukunya Ihya' Ulumuddin merumuskan, sesungguhnya semua sifat yang ada dalam hati akan lahir pengaruhnya (tandanya) pada anggota sehingga tidak ada sesuatu melainkan sesuai dengan sifat itu.

Moral mengikut Kamus Dewan pula didefinisi sebagai ajaran atau pegangan tentang buruk baik sesuatu perbuatan, sikap atau cara berkelakuan yang berasakan atau yang diukur daripada segi baik atau buruk sesuatu akhlak. Moral dikatakan subjektif sifatnya kerana ia berbeza dalam sesuatu budaya atau tamadun.

Integriti pula adalah nilai pegangan, maruah, etika baik dalam melaksanakan sesuatu yang sahih dan benar.

Ia juga berkait rapat dengan kejujuran, kebolehpercayaan, keadilan, kawalan diri, nilai moral positif, kekuatan akidah dan rohani.

Islam tidak melarang umatnya mencari kekayaan. Tetapi apa pula hukumnya bagi mereka yang mencari kekayaan melalui cara yang salah?

DR. AMINI: Memang benar Islam menggalakkan umatnya mencari kekayaan. Sebabnya kita perlu kepada wang untuk menyempurnakan ibadat seperti haji dan zakat. Waima untuk solat pun kita memerlukan pakaian yang menutupi aurat sebagai syarat sah solat.

Pendek kata, tanpa wang sukar bagi kita melaksanakan ibadat tersebut dengan sempurna. Tanpa wang juga hidup kita akan menjadi gundah-gulana, lebih-lebih lagi bagi mereka yang tinggal di bandar besar dan kota metropolitan seperti di Kuala Lumpur.

Cuma dalam Islam, mencari kekayaan itu mestilah berpaksikan kepada jalan yang halal.

Ini ditegaskan oleh Allah dalam firman-Nya yang bermaksud: Wahai orang yang beriman, janganlah kamu makan (gunakan) harta-harta kamu sesama kamu dengan jalan yang salah (tipu, judi dan sebagainya) kecuali dengan jalan perniagaan yang dilakukan secara suka sama suka di antara kamu...(an-Nisa': 29)

Ini bermakna, Islam meletakkan sifat amanah dan integriti kepada umatnya. Dalam al-Quran ada banyak ayat suci yang menuntut setiap Muslim bersifat amanah.

Firman Allah yang bermaksud: Sesungguhnya Allah menyuruh kamu supaya menyerahkan segala jenis amanah kepada ahlinya (yang berhak menerimanya) dan apabila kamu menjalankan hukum di antara manusia, (Allah menyuruh) kamu menghukum dengan adil. Sesungguhnya Allah dengan (suruhan-Nya) itu memberi pengajaran yang sebaik-baiknya kepada kamu. Sesungguhnya Allah itu sentiasa Maha Mendengar lagi sentiasa Maha Melihat.(al-Nisa': ayat 58)

Ini diperkukuhkan dengan sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: Bahawa sifat amanah itu bertunjang di hati sanubari manusia, kemudian al-Quran diturunkan maka hatinya yang bertunjangkan amanah itu akan mempelajari al-Quran dan al-Sunnah. (riwayat Muslim)

Umum mengetahui bahawa rasuah itu haram tetapi ia semacam amat sukar dielak. Tetapi bila disebut babi itu haram, umat Islam boleh mematuhinya. Di mana silapnya?

DR. AMINI: Dalam hal ini, kita perlu memberi tumpuan kepada mendidik. Ia perlu dilakukan di peringkat kanak-kanak lagi. Jika boleh di peringkat prasekolah dan diteruskan ke sekolah rendah dan menengah.

Pemahaman tentang rasuah dan kesan buruknya terhadap ekonomi dan sosial masyarakat perlu disebar melalui subjek sivik dan moral. Barulah masyarakat boleh melihat pengharaman rasuah itu sama dengan Islam mengharamkan umatnya makan babi.

Dengan lain perkataan, kita perlu menggubal kurikulum tentang bahaya rasuah ini supaya memberi kesedaran kepada generasi akan datang tentang bahaya perbuatan tersebut.

Di peringkat institusi pengajian tinggi pula, ia boleh dibincangkan menerusi subjek Kenegaraan Malaysia. Tumpuan perlu diberi kepada soal integriti dan amanah yang dikaitkan dengan unsur-unsur patriotisme.

Islam tidak membenarkan matlamat menghalalkan cara. Kita tidak mahu budaya Robin Hood yang merompak untuk didermakan kepada orang miskin dan memerlukan.

Kita juga perlu ingat sabda Nabi SAW yang bermaksud, "Setiap daging yang tumbuh daripada benda haram, maka nerakalah yang layak baginya".

Saya juga mencadangkan supaya SPRM diberi kuasa yang lebih tinggi seperti Suruhanjaya Diraja bagi memastikan usaha membanteras rasuah dan salah guna kuasa dapat dilakukan dengan lebih berkesan.

Pada masa yang sama, ada baiknya kita menubuhkan Institut Etika Perniagaan sebagai mana yang ada di United Kingdom.

Ini boleh membantu dalam meningkatkan integriti di kalangan para peniaga kita.

Ada yang berpendapat, kalau tidak bagi rasuah susah hendak dapat projek, kontrak dan sebagainya. Apakah yang sepatutnya menjadi pegangan orang beriman dalam hal ini?

DR. AMINI: Orang beriman mesti terima qada dan qadar Allah. Pada masa yang sama, perlu bersaing dengan cara yang sihat. Bukannya amalkan tumbuk rusuk atau under counter.

Sebaliknya, jika mempunyai maklumat tentang perlakuan rasuah hendaklah kita melaporkannya kepada pihak berkuasa terutama SPRM.

Lagipun, bukan hanya melalui tender atau projek, kita boleh mencari kekayaan. Ada lagi cabang lain dalam ekonomi termasuklah pertanian dan perladangan.

Mereka yang diberi kuasa dan amanah pula hendaklah berlaku adil dan telus dalam menjalankan tugas. Sebabnya, amalan kronisme akan merosakkan ekonomi negara.

Bagi mereka yang terpaksa 'berjuang' mempertahankan sifat amanah dan integriti walaupun mempunyai peluang menerima habuan atau rasuah, mereka ini berada pada makam yang tinggi di sisi agama.

Ini dijelaskan menerusi firman Allah yang bermaksud: Dialah yang telah mentakdirkan adanya mati dan hidup (kamu) untuk menguji dan menzahirkan keadaan kamu, siapakah di antara kamu yang lebih baik amalnya dan Ia Maha Kuasa (membalas amal kamu), lagi Maha Pengampun (bagi orang yang bertaubat). (al-Mulk: 2)

Ramai yang jadikan orang lebih kaya sebagai perbandingan dalam bab kemewahan menyebabkan kita sering berlumba-lumba cuba mengatasi satu sama lain. Benarkah demikian?

DR. AMINI: Kalau berlumba-lumba dan bersaing secara sihat dan halal, itu bagus dan digalakkan oleh Islam. Tetapi kalau berlumba-lumba kejar kekayaan melalui cara rasuah maka nantikanlah balasannya iaitu neraka Allah kelak.

Allah berfirman yang maksud-Nya: Dan carilah apa yang telah dianugerahkan Allah kepadamu (kebahagiaan) negeri akhirat, dan janganlah kamu melupakan kehidupan dari (kenikmatan) duniawi...(al-Qasas: 77)

Sebaiknya, kita perlu tawaduk (merendah diri) sama ada jika kita diberi kekayaan ataupun jika kita diuji dengan kesusahan.

Dalam Islam, bukan banyaknya rezeki yang menjadi keutamaan tetapi keberkatan rezeki itu walaupun sedikit. Boleh Dr. jelaskan?

DR. AMINI: Kadang-kadang kita tidak dapat lihat kesan keberkatan rezeki itu sekarang. Tetapi masa anak cucu kita akan datang.

Keberkatan rezeki adalah penting kerana dengannya kita akan sentiasa dicukupkan oleh Allah dari segi keperluan.

Keberkatan juga boleh berlaku dalam bentuk kejayaan anak-anak dalam pelajaran serta dihindari daripada bala dan musibah dalam hidup.

Kalau kita lihat sumpahan Allah, ia boleh kena pada aset atau harta, diri, keluarga atau anak cucu kita di masa depan.

Oleh SITI AINIZA KAMSARI


raja Ahmad Aminullah (dua dari kanan) diberi penerangan oleh Osman Akbar mengenai hasil lukisannya pada Pameran Khatat Nuansa Khat Seni Moden bersempena dengan Majlis Tilawah al-Quran peringkat Antarabangsa lalu.


HIDUPNYA cukup pasrah, tidak ada keluhan jauh sekali penyesalan. Baginya mengabdikan diri pada seni tetap diteruskan. Walaupun berat dugaannya, kini Abdul Wafaf Abdul Ghani, artis tanah air tersohor menderita masalah buang pinggang sehingga menyebabkan beliau terpaksa menjalani rawatan cuci darah (hemodialisis).

Bertambah parah, Abdul Wafaf turut mengalami masalah penglihatan apabila matanya semakin kabur. Sedangkan tangannya ingin terus berkarya dek minat terhadap seni yang tidak pernah mati.

Penggiat seni kontemporari khat seperti Abdul Wafaf ini sememangnya seorang yang sangat hebat berkarya. Entah sudah beratus karya telah dihasilkan termasuk bagi karya untuk judul Basmallah (Dengan Nama Allah) sahaja telah dihasilkan sebanyak 800 buah.

Di samping menjadi koleksi peribadi, karya-karya Abdul Wafaf dikatakan telah jauh berada di serata galeri dan muzium di banyak tempat di dunia ini untuk menjadi tatapan umum dan peminat seni.

"Saya berkarya sebagai satu ibadah dan kecintaan saya terhadap Allah. Allah yang sukakan kecantikan dan diberinya saya bakat dan kemahiran maka saya kembalikan semua itu agar kita semua juga semakin mendekati-Nya walaupun atas nama seni!," kata Abdul Wafaf.

Bakat sahaja mungkin tidak memadai kerana beliau mahu mendapatkan keberkatan dari Allah maka seni yang dihasilkan mesti melalui proses yang suci dan bersih.

"Setiap kali saya berkarya, saya mesti dalam keadaan berwuduk, mengarah kiblat dan sambil berzikir terhadap-Nya. Penggunaan air untuk melukis saya pastikan sama ada menggunakan air zam zam ataupun air dari bacaan surah Yasin," ujarnya lagi.

Hasilnya, karya seni Abdul Wafaf memang luar biasa indahnya. Jika yang dihasilkannya hanyalah tulisan-tulisan khat tetapi ia cukup berbeza indahnya berbanding tulisan khat yang lazimnya dibingkaikan dan digantung pada dinding.

Dengan tajuk 'Fatihah Untuk Ibu' karya Shamsuddin Muhammad menyebabkan ramai tersentak. Namun mereka semua mengagumi daya kreatif dan imaginasi tinggi si pelukis.

"Saya tidak mempunyai niat lain ketika menghasilkan karya ini semata-mata dedikasi saya sebagai seorang anak terhadap ibu tercinta. Gambaran ibu saya bersama-sama ayat-ayat dari surah al-Fatihah ini seolah-olah surah itu sentiasa dibacakan buat ibu dan buat penemannya di alam roh itu," katanya.

harmoni

Lukisan kanvas menggunakan cat akrilik karya Shamsuddin ini begitu harmoni apabila paduan latar rona coklat dengan tulisan khat putih yang sekali gus mencetuskan pandangan yang nostalgik terutama mengenangkan zaman seorang anak dibesarkan oleh ibu tercinta.

Jika Shamsuddin berkarya sebagai mengenangkan si ibu tercinta sementara seorang lagi artis terkemuka negara Osman Akhbar mengabadikan zaman lampau yang penuh kenangan di atas lakaran kanvas lukisan bertajuk 'Pedoman' yang benar-benar sarat dengan pelbagai pengajaran.

Namun ramai yang memuji daripada aspek kemahiran Osman yang melukiskan kitab al- Quran yang beralaskan kayu rehal itu seolah-olah 'hidup'. Beliau sendiri mengakui cabaran lukisan ini apabila beliau terpaksa memastikan tulisan ayat-ayat pada halaman kitab al-Quran yang dibuka itu adalah seperti kedudukan yang sebenar.

"Saya perlu mengukur dengan tepat termasuk menulis ayat-ayat tersebut dengan kedudukan yang serong menuju ke tengah muka surat tersebut," katanya.

Segala-galanya dari lukisan itu adalah juga untuk mengangkat keagungan elemen-elemen kebudayaan Melayu dan Islam yang kebanyakannya mungkin telah luput dek telan zaman.

Penggunaan tikar yang dianyam daripada mengkuang yang menjadi alas lantai papan sebuah rumah tradisional Melayu ini dan elemen seperti sejadah, telekung, kopiah putih, rantai tasbih dan sebagainya dari lukisan itu benar-benar mewakili sebuah budaya Melayu berteraskan Islam.

"Sengaja saya menciptakan satu sudut atau ruang Kemelayuan pada lukisan ini kerana tidak dinafikan pada ruang seperti itu kita tidak sahaja menimba kasih sayang.

"Malah kita juga pernah dirotan kerana guru yang mengajar mengaji tidak puas hati dengan prestasi yang ditunjukkan oleh anak muridnya!" kata Osman.

Nama-nama seperti Abdul Wafaf, Shamsuddin dan Ahmad Khalid adalah segelintir yang mewakili banyak lagi nama besar dalam seni kontemporari Khat atau bagi pihak Galeri R A Fine Arts memberikan istilah 'Khatat Nuansa Khat Seni Moden' ketika mempamerkan hasil-hasil karya sedemikian rupa di premis mereka di Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Nama-nama seperti Syed Ahmad Jamal (Datuk), Shaarifah Zuriah Al Jeffri, Yusuf Bakar, Aris Atan, Mohammad Din Mohammad, Monair Nazir, Maamor Jantan dan ramai lagi merupakan mereka yang tahu menjadikan bakat dan karya seni untuk mencambahkan lagi rasa kecintaan terhadap Allah.

Kreativiti dalam bidang seni lukis yang mereka tonjolkan memberikan lagi sudut-sudut keunikan dan keindahan Islam dan sekali gus kasih terhadap Allah semakin mendalam. Ia tidak semata-mata mengeksploitasikan bakat sekadar untuk mencuba pada sudut-sudut seni yang berlainan.

Menurut pemilik atau Pengarah Galeri R A Fine Arts, Raja Ahmad Aminullah, lazimnya orang ramai atau peminat seni melihat hasil seni lukisan berunsur dan bercirikan Islam dalam bentuk yang agak tradisional.

ciri-ciri keislaman

"Kini dengan mengekalkan ciri-ciri keislaman itu terutama pada tulisan-tulisan khat, tinggal lagi kini ramai pelukis telah keluar dari corak yang tradisional kepada lanskap-lanskap baru yang lebih moden dan kontemporari.

"Sama ada dari karyawan lama mahupun baru, masing-masing cuba memberi nafas baru pada setiap karya yang dihasilkan supaya ia setanding dengan karya-karya seni berunsurkan kontemporari yang lain," jelasnya.

Peluang berkarya seperti ini perlu digalakkan kata Raja Ahmad Aminullah terutama bagi golongan pengkarya muda yang mungkin masih tercari-cari medium seni yang sesuai untuk mereka terus berkarya.

"Jika sambutan diberi kepada penghasilan karya kontemporari Islam seperti ini maka kita akan mempunyai lebih ramai anak muda yang berkecimpung dalam dunia seni yang dapat diterima oleh semua pihak terutama agama itu sendiri.

"Perkembangan seperti ini harus mendapat galakan kerana seni tidak pernah terpisah dari manusia sebagaimana ia ada peranan yang penting dalam membina tamadun manusia," katanya.

Beliau mengutip kata-kata tokoh Islam terkemuka Pak Hamka yang menyebut, "pembinaan tamadun itu tidak cukup dengan hanya pembinaan kota-kota batu tetapi harus diisi jiwa-jiwa yang ada itu".

Walaupun Islam secara tegas mengharamkan objek-objek hidup termasuk manusia dan haiwan menjadi subjek dalam lukisan namun Raja Ahmad Aminuddin percaya perkara itu telah jelas di kalangan para pengkarya.

"Pengharaman adalah jelas jika lukisan benda-benda hidup itu untuk tujuan penyembahan dan pemujaan kerana itu membawa syirik Allah.

"Sedangkan jika objek itu dilukiskan pada satu dimensi sahaja atau tidak sepenuhnya tiga dimensi di tambah lagi untuk tujuan pendidikan dan mengangkat pelbagai falsafah agama itu sendiri saya rasa seni kontemporari Islam mampu menjadi medium dakwah yang paling berkesan," katanya.

Ini kerana kata Raja Ahmad Aminullah, mereka yang dapat melihat atau menafsirkan sesuatu di sebalik yang tersurat seperti lukisan sering memberi kesan kepada minda dan rohani seseorang itu.

Bagi karya seni lukis Islam yang bertunjangkan khat, malah khat yang lebih 'berani' atau lari daripada kebiasaan, beliau yakin masih lagi terpelihara dari segala peraturan dan hukum penulisan apatah lagi yang membabitkan ayat-ayat suci al-Quran.

"Khat dalam bahasa Arab bererti garis. Tapi dalam pengertian khusus ia difahami sebagai tulisan yang baik dan indah (alkitabul jamilah).

"Jadi kita mesti memberikan pelbagai manifestasi baru terhadap khat, agar tulisan yang seindah itu mampu meletakkan martabat Islam pada kedudukan yang paling tinggi pada kaca mata dan minda manusia," katanya.