Susun strategi ceburi perniagaan konsep Islam



KUALA TERENGGANU - Dewan Perdagangan Islam Malaysia cawangan Terengganu (DPIMT) kini rancak menyusun strategi menggalakkan lebih ramai masyarakat di negeri ini menceburkan diri dalam bidang perniagaan berkonsepkan Islam.

Pengerusinya, Datuk Dr Abdul Latiff Awang berkata, pihaknya dengan kerjasama beberapa agensi berwajib lain sentiasa mencari peluang mendekati golongan sasaran melalui program kesedaran kerana yakin dengan cara itu dapat merangsang minat mereka menjadi usahawan.

Menurutnya, ini sebab masih terdapat segelintir masyarakat yang buntu dan tidak tahu hala tuju mereka, termasuk juga jenis perniagaan sesuai untuk diceburi mengikut kemampuan diri.

Beliau berkata, menyedari kepesatan bidang berkenaan semakin berkembang pada era masa kini, menjadi tanggungjawab pihaknya membantu mana-mana usahawan Islam, sama ada baru bermula ataupun sudah berjaya agar lebih maju ke depan.

“Menceburi bidang perniagaan mempunyai banyak kelebihan, apatah lagi Islam sendiri menggalakkan umatnya supaya berniaga.

“Cuma yang paling penting, kesungguhan dan niat mereka untuk mencari sumber rezeki, tidak kiralah perniagaan diusahakan itu secara kecil-kecilan sahaja,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis hari raya DPIMT yang dihadiri lebih 100 usahawan tempatan di Hotel Permai Inn, di sini, semalam.

Dr Abdul Latiff berkata, pihaknya juga akan terus memantau dan memikirkan kaedah yang lebih sesuai dengan keperluan usahawan ke arah meneruskan jihad bertunjangkan syiar Islam.

“Saya harap, setiap usahawan Islam di negeri ini akan terus berjaya dalam lapangan cabang masing-masing, selain berusaha meningkatkan kualiti produk agar dapat diketengahkan pada peringkat lebih tinggi,” katanya.