KUALA TERENGGANU - Seorang wanita warga emas berumur 80 tahun dijumpai mati dalam keadaan menyayat hati, dipercayai dibunuh di rumahnya di Kampung Pak Sabah, Dungun, kelmarin.
Mayat mangsa, Muda Mat Zain ditemui anak perempuannya yang berumur 61 dalam keadaan tertiarap dengan muka terbenam di dalam besen berisi air, jam 6.40 petang.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asistan Komisioner Mohd Fauzi Abduri berkata, kepala dan beberapa anggota badan mangsa turut cedera, dipercayai ditetak menggunakan senjata tajam.
“Kejadian ini dipercayai bermotifkan rompakan kerana beberapa barang kemas milik mangsa seperti rantai leher, gelang dan cincin emas didapati hilang.
“Polis yakin mangsa dibunuh orang terdekat kerana kita tidak menemui sebarang kesan pecah masuk di dalam rumahnya,” katanya ketika ditemui di pejabatnya, semalam.
Menurutnya, kejadian malang itu disedari anak perempuan mangsa yang tinggal tidak berapa jauh dari rumah berkenaan.
Disebabkan hairan melihat keadaan rumah ibunya bertutup sejak pagi, anak perempuan mangsa menyuruh anak lelakinya memanjat tingkap untuk membuka pintu bagi melihat keadaan ibunya di rumah itu.
“Sebaik masuk ke dalam rumah, dia terkejut apabila mendapati ibunya sudah tidak bernyawa dalam keadaan berlumuran darah dan mukanya dibenamkan di dalam besen berisi air.
“Hasil bedah siasat mendapati punca kematian mangsa akibat lemas,” katanya.
Melalui siasatan awal, suspek dipercayai menetak belakang kepala mangsa dengan menggunakan objek tajam dan wanita malang yang tidak bermaya telah dicekik sebelum mukanya direndam di dalam besen berisi air.
Berikutan kejadian itu, ohd Fauzi berkata, polis yang menerima laporan jam 8 malam telah menahan cucu mangsa yang berumur 42 tahun di kawasan berhampiran beberapa jam selepas itu.
Menurutnya, suspek yang baru dibebaskan dari lokap kerana kes dadah kini ditahan reman bagi membantu siasatan kejadian dan kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
Battery Reconditioning
6 years ago