Kejadian pelik petanda dunia akhir zaman



KAMPUNG BUTUT - Pelbagai kejadian pelik yang berlaku dalam masyarakat akhir-akhir ini bukan sahaja satu petanda dunia sudah akhir zaman, tetapi ia berkemungkinan dicetuskan individu tertentu menggunakan ilmu dunia untuk menarik perhatian ramai bagi mendapatkan publisiti atau sanjungan.

Imam Masjid Baru Kampung Butut, Salleh Taib berkata, dunia penuh cabaran sekarang mendorong ramai pihak melakukan perkara di luar batasan untuk terus hidup, sehinggakan tindakan itu melanggar hukum agama dan menyebabkan khurafat.

“Andainya sesuatu perkara pelik yang berlaku itu benar, ia adalah kebesaran Allah SWT, dan sebagai hamba-Nya kita wajib mengakui hakikat itu sebab akhirat akan tiba juga dengan izin-Nya.

“Namun, tidak dinafikan di sebalik kejadian pelik itu, ada perkara direka individu tertentu bagi mendapat perhatian ramai,” katanya.

Menurutnya, kejadian pelik yang berlaku sekarang tidak harus menjadikan kita taksub kepada duniawi sahaja sehingga sanggup menjadikan ia sebagai ‘penawar’ mengubati sesuatu penyakit.

“Tidak mustahil peristiwa sejadah berdiri juga adalah disebabkan perlakuan individu tidak bertanggungjawab. Namun, sekiranya benar, sesungguhnya ia adalah kuasa Allah,” katanya.

Salleh berkata demikian diminta mengulas peristiwa sejadah berdiri sendiri yang berlaku di Sekolah Kebangsaan (SK) Tok Sangkut, Repek, Pasir Mas Kelantan dengan bentuknya didakwa kelihatan seolah-olah lelaki dan wanita sedang menunaikan solat.

Selain di Kelantan, kejadian serupa juga heboh dikatakan berlaku di beberapa negeri lain, dan terbaru, di Utara tanah air kelmarin, beberapa helai sejadah berdiri dirakam penduduk yang mendakwa melihat sejadah itu seolah-olah solat, dengan sehelai daripadanya berada pada tempat imam.