‘Rasul Melayu’ dipenjara 10 tahun

Oleh NOOR AZMAH IBRAHIM


Abdul Kahar Ahmad


SHAH ALAM 21 Okt. – Lelaki yang mendakwa dirinya ‘Rasul Melayu’, Abdul Kahar Ahmad dihukum penjara 10 tahun dan sebatan enam kali serta denda RM16,500 selepas mengaku bersalah atas lima tuduhan berhubung penyebaran ajaran sesat yang diasaskannya, empat tahun lalu.

Hakim Abu Zaky Mohammad memerintahkan hukuman penjara berkuat kuasa dari tarikh Abdul Kahar, 59, ditangkap pada 16 September lalu. Dia turut diperintah dihantar ke Pusat Pemurnian Akidah Baitul Iman, Hulu Yam dekat sini untuk tempoh enam bulan terakhir daripada hukuman tersebut.

Hakim tersebut memerintahkan hukuman:

Penjara tiga tahun dan sebatan enam kali bagi tuduhan menyebarkan doktrin palsu mengikut Seksyen 7 Enakmen Jenayah Syariah Negeri Selangor (EJSNS) 1995.

*Penjara dua tahun dan denda RM4,500 atau penjara setahun bagi tuduhan mempersendakan ajaran Islam mengikut Seksyen 10 EJSNS.

*Penjara setahun dan denda RM3,000 atau penjara setahun bagi kesalahan menghina pihak berkuasa agama dengan mengingkari dan melanggar arahan mufti mengikut Seksyen 12 EJSNS.

*Penjara dua tahun dan denda RM4,500 atau penjara setahun atas kesalahan mengaku sebagai rasul.