Pakej bulan madu kedua secara percuma menanti pasangan yang telah berkahwin di Terengganu namun ia hanya ditawarkan kepada pasangan yang sedang berhadapan dengan masalah penceraian sahaja.
Kerajaan negeri akan menanggung semua kos bagi program berkenaan.
Bagaimanapun, pakej bulan madu itu termasuk sesi kaunseling yang akan dijalankan dalam program berkenaan.
Program tersebut diwujudkan bagi membantu pasangan yang mempunyai masalah mencari jalan penyelesaian dalam rumah tangga mereka dan mengurangkan kadar penceraian yang dicatatkan oleh negeri itu.
"Pakej bulan madu tersebut akan dilancarkan pada akhir tahun sebaik sahaja modul-modul khusus mengenainya diwujudkan. Program ini diwujudkan bagi membantu pasangan suami isteri yang ingin bercerai berbaik semula dan mengekalkan perkahwinan masing-masing," kata Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Wanita dan Pembangunan Masyarakat, Ashaari Idris di sini pada Isnin.
Program itu akan dilaksanakan dengan kerjasama kerajaan negeri dan Majlis Pembangunan Keluarga dan Masyarakat.
Menurut Ashaari, kerajaan negeri akan melaksanakan program perintis di mana 25 pasangan akan yang menghadapi masalah dalam perkahwinan akan dipilih untuk menyertai pakej bulan madu berkenaan.
“Bagi program ini kita menawarkan pakej tiga hari dua malam di mana-mana tempat dengan kos di bawah RM1,500 untuk setiap pasangan.
"Setakat ini hasilnya adalah positif," katanya tanpa memberikan butiran mengenai jumlah perkahwinan yang berjaya diselamatkan.
"Bagi pasangan yang berhadapan dengan masalah, khidmat kaunseling akan diberikan. Namun pakej bulan madu kedua ini hanya ditawarkan kepada pasangan yang betul-betul berhadapan dengan masalah dalam perkahwinan dan mereka yang diambang perceraian," katanya.
Ada pasangan yang mempunyai masalah namun perkahwinan mereka dapat kekal sehingga dua puluh, katanya.
"Kami faham jika pasangan yang baru berkahwin mempunyai masalah untuk saling memahami antara satu sama lain. Tapi adalah satu yang pelik bagi pasangan yang telah berkahwin selama dua puluh tahun mahu bercerai, ini satu alasan yang tidak munasabah dan tidak boleh diterima.
"Dengan pakej ini, kita berharap pasangan yang mempunyai masalah ini akan lebih menghargai perkahwinan mereka sekaligus dapat mengelakkan daripada berlakunya perceraian," katanya.