Kak Nor gigih berusaha untuk berdikari




Norhayati Abdullah, 44, anak jati Kampung Gumum, perkampungan orang asli suku kaum Jakun, terletak sekitar 75km dari bandar Diraja Pekan, Pahang gigih mengusahakan produk kraftangan menggunakan pokok rumput air "Kercut" yang tumbuh liar di Tasek Chini. Dengan dibantu anak tirinya, Adam (kanan), Norhayati atau mesra dengan panggilan Kak Nor, menghasilkan produk kraftangan antaranya lampu tidur, bekas telur, buku nota dan penanda buku. -Foto BERNAMA

PEKAN: Sebagai anak Orang Asli yang sering dikaitkan dengan kemunduran, wanita ini menghargai erti pendidikan meskipun semasa di tingkatan tiga, dia hampir mengikut jejak kawan-kawan sekampungnya yang nekad berhenti sekolah.

Dalam usia semuda itu, lazimnya pengaruh kawankawan akan menyebabkan seseorang itu hilang pertimbangan dalam membuat keputusan.

Namun bagi Norhayati Abdullah, 44, yang mesra dengan panggilan Kak Nor, dia bernasib baik kerana ketegasan bapanya yang mahu dia meneruskan persekolahan, menyelamatkan dia daripada 'tercicir'.

"Selepas saya beritahu saya tak mahu balik ke asrama, saya dirotan. Ayah juga membawa saya masuk hutan untuk mencari rotan. Masa nak balik, ayah menyuruh saya mengandar 10 batang rotan, tiap-tiap satu panjangnya sembilan kaki (2.7 meter).

"Memang tak larat nak bawa. Kak Nor buang satu-satu sampai tinggal dua batang. Sampai di rumah, kena marah," katanya dalam wawancara dengan Bernama di rumahnya di Kampung Gumum, perkampungan Orang Asli suku kaum Jakun, kira-kira 75km dari bandar Diraja Pekan.

Perkampungan orang asli ini terletak berhampiran Tasek Cini yang terkenal dengan legenda 'Naga Tasek Cini'.

Menurut Kak Nor, meskipun bapanya tidak pernah bersekolah tetapi dia sering memberi nasihat kepada anak-anaknya supaya jangan mensia-siakan peluang belajar.

Sekumpulan penduduk Kampung Guhum, Pekan tekun membina chalet berhampiran Tasik Cini untuk kemudahan pelancong yang datang melawat kawasan tasik semulajadi kedua terbesar di negara ini.

Kata bapanya: "Kalau hendak hidup senang peganglah pensil, kalau hendak hidup susah peganglah parang."

MAHU BERDIKARI

Pencapaiannya setakat Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM), mungkin boleh dianggap sudah baik, tetapi bagi anak keempat daripada tujuh beradik ini, ia tidak memuaskan.

Dia pernah dipanggil temuduga untuk kemasukan ke ITM (kini UiTM) tetapi tidak berjaya kerana hanya lulus Bahasa Malaysia.

Walaupun Kak Nor pasrah dengan apa yang berlaku tetapi dia tidak mahu semata-mata berserah kepada takdir. Dia berusaha mencari pekerjaan untuk menimba pengalaman dan membantu keluarganya.

Anak jati Kampung Gumum ini pernah bekerja di kedai gunting rambut dan di kilang.

Dia juga pernah menjadi penyelia sebuah chalet yang beroperasi selama beberapa tahun di Kampung Gumum, Tasek Cini.

Apabila operasi chalet dihentikan, Kak Nor bertekad menguruskan sendiri chalet berkenaan dengan bantuan orang kampung tetapi usahanya tidak bertahan lama kerana tidak mampu membayar sewa dan kurang pengunjung.

Kak Nor mungkin boleh menjadi suri rumah sepenuh masa tetapi untuk jaminan masa depan, dia tidak mahu bergantung kepada suami. Dia mahu berdikari untuk menjamin masa depan kehidupannya.

Menurut Kak Nor, wanita Orang Asli yang berkahwin dengan orang Melayu dan memeluk agama Islam sering dikaitkan dengan dua masalah iaitu kemiskinan dan keruntuhan rumah tangga.

NIKMAT PEMBANGUNAN... Penduduk Kampung Gumum kini menikmati pelbagai kemudahan prasarana termasuk rumah yang dibina kekal, jalan tar dan bekalan air paip serta elektrik.

"Kak Nor tak mahu perkara itu berlaku kepada Kak Nor. Bila ada sumber ekonomi, Kak Nor tak perlu bergantung kepada suami dan kalau ada apaapa yang terjadi kepada suami, Kak Nor boleh berdikari.

"Kak Nor juga mahu buka mata mereka yang melemparkan penghinaan, bahawa bukan Islam yang menjadikan kita miskin, semuanya bergantung kepada usaha," demikian luahan hati Kak Nor.

Semangat berdikari ini sebenarnya sudah sebati dalam hidup wanita ini kerana seawal usia tujuh tahun dia sudah tinggal di asrama, berjauhan daripada keluarga kerana bersekolah sehingga ke tingkatan enam.

TIDAK PUTUS ASA

Sememangnya Kak Nor tidak pernah mengenal erti putus asa. Dia membuat pelbagai kerja termasuk menghasilkan minyak herba untuk memastikan dia mempunyai sumber pendapatan tetap.

"Minyak herba ini memang ada sambutan, diperbuat daripada tujuh hingga sembilan herba, yang semuanya diperoleh dari hutan Tasek Cini dan lintah liar," katanya.

Norhayati Abdullah dari Kampung Gumum (perkampungan orang asli suku kaum Jakun), Pekan, Pahang menunjukkan contoh kertas yang dihasilkan daripada pokok rumput air "Kercut". Menurut Norhayati atau mesra dengan panggilan Kak Nor, batang Kercut yang sudah dipotong perlu direndam atau direbus sebelum dikisar dan diproses untuk menghasilkan kertas.

Kak Nor berkata dia turut berpeluang menjalani kursus membuat kertas di Alor Star, Kedah dengan dorongan Dr Khatijah Husin, ketua penyelidik Projek Penyelidikan Tasek Cini di bawah Bio Sains.

Dia mendapat tahu daripada Dr Khatijah, Kercut (nama saintifiknya Lepironia articulata), sejenis pokok rumput air yang banyak terdapat di Tasek Cini, berpotensi dijadikan kertas.

"Saya dibiayai untuk berkursus selama seminggu di Kedah. Semasa kursus, Kak Nor belajar teknik membuat kertas daripada jerami padi. Cikgu yang mengajar melihat Kak Nor belajar bersungguh-sungguh meskipun kerja membuat kertas kotor dan berbau.

"Kertas yang dihasilkan daripada jerami padi memang cantik tetapi kertas daripada tumbuhan Kercut tak tahu lagi hasilnya. Masa itu, Kak Nor cuba buat, tetapi selesai kursus, ia masih belum kering betul. Balik ke kampung Kak Nor cuba lagi," cerita Kak Nor.

Bukan sekali, dua Kak Nor mencuba. Tidak cukup dengan ilmu yang diperoleh sewaktu berkursus, Kak Nor mendapatkan sebuah buku berbahasa Inggeris mengenai cara membuat kertas.

"Kak Nor baca buku dengan merujuk kepada kamus. Pada peringkat awal, Kak Nor rendam daun Kercut yang sudah dipotong kecil selama tiga bulan. Kertas yang dihasilkan hancur dan produk yang dihasilkan tak berkualiti," jelasnya.

TUKAR PROSES

Daripada merendam, Kak Nor bertukar kepada merebus. Dengan cara ini, katanya, proses menghasilkan kertas dapat disingkatkan. Jika merendam mengambil masa tiga bulan, teknik merebus hanya 12 jam.

Selepas potongan Kercut direbus, ia akan dikisar menggunakan alat pengisar. Hasil yang dikisar akan dicuci di mana hanya serat yang liat akan diambil dan ditumbuk pula. Hasil yang ditumbuk sekali lagi dicuci sebelum disimpan.

Daripada 800 gram bahan yang melalui pelbagai proses tadi, Kak Nor dapat menghasilkan antara 20 hingga 30 helai kertas.

Menurut Kak Nor, produk yang dihasilkan pertama kali dipamer dan dijual kepada orang ramai ketika berlangsungnya Pekan Fest pada 2008.

Antara produk kraftangan yang dihasilkan ialah lampu tidur dan bingkai gambar.

Sambutan untuk produk kraftangan daripada Kercut masih tidak menggalakkan, malah menurut Kak Nor, ada pihak yang sememangnya terbabit dengan kraftangan berkata apa yang dilakukkannya tidak komersil.

Beliau juga pernah mempromosi produk kraftangannya di Kuala Lumpur tetapi tidak mendapat sambutan.

PRODUK MESRA ALAM

Meskipun setakat ini usahanya masih belum mendapat hasil lumayan, wanita berjiwa kental ini tidak mudah patah semangat.

"Bagi Kak Nor produk ini produk baru, bukan sahaja di Pekan tetapi juga di seluruh Malaysia. Sebelum ini ada juga usaha buat kertas daripada batang pisang.

Begitu juga produk daripada jerami padi, ia hanya dipasarkan di tempattempat tertentu.

"Kak Nor akan teruskan juga usaha kraftangan ini, walaupun orang tak beli, sekurang-kurangnya ada yang dihasilkan," jelasnya.

Bagaimanapun, Kak Nor berkata dia sekarang memberi fokus kepada tempahan dan dalam hal berkenaan, Kumpulan (Wanita) WI daerah Pekan di bawah naungan Tengku Puan Pahang, banyak membantu.

"Kalau ada program, mereka akan menempah barangan cendera hati termasuk bekas telur," kata Kak Nor.

Beliau masih berharap produk daripada tumbuhan Kercut ini akan dapat menambat hati mereka yang gemar kepada produk mesra alam.

"Kercut ini tumbuhan liar di Tasek Cini dan proses pembuatan kertas ini juga tidak menggunakan sebarang kimia. Kak Nor menggunakan lendir tumbuhan sebagai gam, semuanya bahan asli.

"Pada Kak Nor, ini amat elok untuk penjagaan alam sekitar. Tambahan, untuk pembuatan kertas ini, hanya batang pokok yang dipotong dan batang baru akan tumbuh selepas itu. Ini tidak merosakkan alam semula jadi," kata Kak Nor.

Mereka yang ingin membuat tempahan produk kraftangan daripada tumbuhan Kercut ini boleh menghubungi Kak Nor menerusi telefon 0148349076. BERNAMA