Malang berganda



BESUT – Ketika ribut kuat melanda Besut, Rabu lalu, bumbung rumah Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT), milik Nik Mohamad Deraman, 45, di Kampung Gong Tengah dekat Beris Baru hampir diterbangkan angin namun terselamat selepas dia melaungkan azan.

Bagaimanapun, tujuh hari selepas kejadian itu, rumahnya tidak dapat diselamatkan lagi apabila ia musnah terbakar menyebabkan Nik Mohamad, isteri dan enam anaknya tinggal sehelai sepinggang, kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 2.15 petang itu, kebakaran memusnahkan rumah berkenaan yang dihuni lapan sekeluarga termasuk Nik Mohamad.

Menurutnya, dia mengetahui mengenai kebakaran itu selepas dihubungi jirannya yang memaklumkan rumahnya terbakar dan ketika kejadian, tidak ada orang di rumah.

“Ketika kejadian, isteri, Noriha Mat Jali, 40, bekerja di kedai makan, anak saya ada belum pulang dari sekolah, sementara yang lain selepas pulang sekolah pergi ke rumah nenek tidak jauh dari situ.

“Kejadian menyebabkan semua harta benda musnah termasuk buku dan pakaian sekolah lima daripada enam anak,” katanya.

Enam anak Nik Mohamad yang tinggal bersamanya berumur antara 6 hingga 20 tahun.

Bagaimanapun, Nik Mohamad bersyukur kerana semua keluarganya terselamat.

“Buat sementara ini, Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) kampung ini menawarkan saya tinggal sementara di rumah saudaranya yang kosong, terletak berhampiran rumah saya,” katanya yang turut menerima lawatan Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Perpaduan dan Hal Ehwal negeri, Dr A Rahman Mokthar merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Besut.

Dalam lawatan berkenaan, A Rahman melahirkan rasa simpati atas kejadian menimpa Nik Mohamad dan turut menyampaikan sumbangan wang.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Besut, Mohamad Zamri Awang Long berkata, pihaknya menerima panggilan jam 2.27 petang dan segera menghantar pasukan ke tempat kejadian.

“Seramai lima anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Besut bersama satu jentera bomba serta enam anggota juga bersama sebuah jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Jertih bergegas ke tempat kejadian,” katanya.