Polis tahan seorang lagi cucu mangsa bunuh



KUALA TERENGGANU - Polis menahan seorang penganggur berumur 43 tahun bagi membantu siasatan pembunuhan kejam warga emas, Muda Mat Zain, 80, yang ditemui mati di rumahnya di Kampung Pak Sabah, Dungun, Isnin lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner Mohd Fauzi Abduri berkata, suspek yang juga cucu mangsa ditahan jam 4.45 petang kelmarin ketika berada di rumahnya berhampiran lokasi kejadian.

“Suspek yang positif dadah kini ditahan reman bagi membantu siasatan polis berhubung kejadian ini,” katanya.

Tangkapan terbaru itu menjadikan dua cucu mangsa ditahan setakat ini.:

Sinar Harian semalam melaporkan mayat Muda dijumpai dalam keadaan menyayat hati oleh anak perempuannya berumur 61 dalam keadaan tertiarap dengan muka terbenam di dalam besen berisi air pada jam 6.40 petang.

Kepala dan beberapa anggota badan mangsa turut cedera dipercayai ditetak menggunakan senjata tajam.

Kejadian itu dipercayai bermotifkan rompakan kerana beberapa barang kemas milik mangsa seperti rantai leher, gelang dan cincin emas didapati hilang.

Berikutan kejadian itu, polis yang menerima laporan jam 8 malam bertindak menahan cucu mangsa berumur 42 tahun di kawasan berhampiran beberapa jam selepas itu.

Suspek yang baru dibebaskan dari lokap kerana kes dadah kini ditahan reman bagi membantu siasatan kejadian dan kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.