KUANTAN: Seorang surirumah dijatuhi hukuman penjara 20 bulan oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini selepas mengaku bersalah atas dua pertuduhan mendera dua anak tirinya pada 16 dan 22 Oktober lepas. Majistret Nor Zaihan Mohamad Ali mengarahkan hukuman ke atas Noraini Yusoff, 40, bermula dari tarikh tangkap pada 22 Oktober lepas. Noraini didakwa menganiaya seorang kanak-kanak perempuan yang juga anak tirinya berusia 11 tahun dengan cara memukul, mencubit dan menggigit hingga mendatangkan kecederaan fizikal di sebuah rumah beralamat di 8B/2468, Batu 8, Jalan Gambang di sini kira-kira 3 petang, 16 Oktober lepas. Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa melakukan kesalahan sama terhadap seorang kanakkanak lelaki berusia sembilan tahun di tempat sama kira-kira 8 pagi, 22 Oktober lepas. Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 31 (1) (a) Akta Kanak-kanak 2001 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 31 akta sama yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM20,000 atau penjara maksimum 10 tahun. Dalam rayuannya, Noraini yang tidak diwakili peguam memohon mahkamah untuk tidak memenjarakannya atas alasan perlu menjaga anaknya yang berusia lima tahun, hasil perkahwinan bersama bapa keduadua mangsa selain memaklumkan tindakannya itu didorong tekanan serta masalah rumahtangga. Nor Zaihan bagaimanapun mencelah dan bertanyakan bagaimana tertuduh mahu menjaga anaknya sendiri sedangkan menunjukkan contoh tidak baik apabila memukul dan mendera anak tirinya. Terdahulu, Timbalan Pendakwaraya Mahadi Abdul Jumaat memohon mahkamah menjatuhkan hukuman yang setimpal berikutan kesalahan yang dilakukan tertuduh adalah serius dan berat. BERNAMA
Battery Reconditioning
6 years ago