Udang ‘terbang’ bawa tuah buat Tuan Zainal



CHENDERING - Seorang buruh dari Kampung Raja Chendering tidak menyangka pengorbanannya menyiapkan sebuah wau udang yang mengambil masa 14 hari akhirnya berbaloi setelah diumumkan sebagai Juara Wau Kreatif sempena Pesta Wau Chendering 2010.

Tuan Zainal Tuan Ismail, 45, berkata, idea membuat wau udang itu tercetus setelah berbincang dengan rakan yang berkongsi minat sama dan tidak menyangka, idea kreatif itu mampu menarik minat juri dalam pertandingan itu.

“Saya memilih tema binatang kerana ia sangat unik dan jarang kita dapat melihat binatang terbang di angkasa, selain daripada burung dan rama-rama.

“Disebabkan itu, saya merasakan satu keunikan jika memilih binatang hidupan laut sebagai tema dan saya sedaya upaya menghasilkan wau ini agar ia bukan sahaja nampak kreatif, malah dalam masa yang sama boleh terbang,” katanya ketika ditemui sempena Majlis Penutupan dan Penyampaian Hadiah Pesta Wau Chendering 2010.

Tuan Zainal berkata, itu adalah kejayaan pertama dikecapi dalam hidupnya sepanjang hampir 38 tahun terlibat dalam hobi membuat wau.

“Selain wau udang, saya juga pernah mencipta wau kreatif lain seperti wau burung, wau rama-rama dan wau lain yang agak sinonim dengan masyarakat di sini.

“Kejayaan kali ini memberi ilham kepada saya untuk terus mencipta wau yang lebih kreatif dan suatu hari nanti, saya mahu mencipta wau angsa pula,” katanya.

Menurutnya, demi minat dalam dunia pembua�tan wau, dia langsung tidak kisah walaupun terpaksa mengeluarkan modal besar untuk menyiapkan sebuah wau.

“Bagi saya, pengorbanan wang dan masa sepanjang menyiapkan sebuah wau akan terbalas apabila berjaya menyiapkannya dengan sempurna.

“Bagi menyiapkan wau udang ini juga, saya mengeluarkan kos sebanyak RM100 untuk semua perbelanjaan,” katanya.