BERPULUH kenderaan yang terperangkap dalam banjir di sebatang jalan di Jeddah semalam.


JEDDAH - Air banjir yang semakin surut mendedahkan bukan sahaja kemusnahan lebih besar tetapi menaikkan angka korban kepada 83 orang semalam apabila semakin banyak mayat mangsa ditemui oleh pasukan mencari dan menyelamat.

Akhbar Al-Watan dan Okaz masing-masing melaporkan 83 kematian manakala akhbar Al-Hayat memberikan angka 84 orang.

Kesemua mangsa ditemui di Jeddah selepas bandar pelabuhan Laut Merah itu dilanda hujan ribut sebegitu dahsyat sehingga ada saksi menyamakan keadaan itu dengan gelombang tsunami.

Ada saksi mendakwa ramai mangsa ditemui lemas di dalam kenderaan termasuk bas selepas mereka terperangkap dalam banjir yang naik mendadak.

Pihak berkuasa Jeddah bagaimanapun menjelaskan kesemua mangsa adalah penduduk tempatan dan tidak melibatkan jemaah haji.