‘Hasrat arwah tak sampai’

Oleh Zaid Salim dan Zawawi Mat Ali

am@hmetro.com.my


DUNGUN: “Saya terkilan apabila arwah tidak sempat menonton perlawanan akhir Piala Malaysia antara Kelantan dan Negeri Sembilan Sabtu ini,” kata Salman Mohd Zaki, 28, rakan kepada Wan Shahrihelmi Wan Ahmad, 28, yang maut dalam kemalangan di Kilometer 83.1, Jalan Kuantan-Kuala Terengganu, jam 7.40 pagi, semalam.

Menurutnya, arwah seorang kaki bola dan bercadang bersama beberapa rakan sekerja lain bertandang ke ibu negara bagi menonton perlawanan akhir Piala Malaysia, tetapi hasratnya tidak kesampaian.

“Arwah tidak menunjukkan sebarang perubahan tetapi sejak kebelakangan ini, dia pernah memberitahu kami yang dia tidak lama lagi akan meninggalkan rakan-rakannya dan kami sama sekali tidak menyangka ungkapannya itu petanda arwah akan meninggalkan kami selama-lamanya,” katanya di pekarangan bilik mayat Hospital Dungun (HD), semalam.

Salman berkata, dia juga terkilan apabila tidak dapat melihat arwah yang baru bertunang pada Aidilfitri ketiga lalu naik pelamin dengan tunang tersayang yang kini bekerja di Kuala Lumpur.

Katanya, mangsa seorang kakitangan Petronas di Kerteh terbunuh di tempat kejadian selepas Honda Civic dipandunya bertembung sebuah kereta lain dipandu seorang pensyarah Politeknik Tuanku Mizan Zainal Abidin, di sini, Arfah Ahmad Hasbullah, 25.

Difahamkan ketika kejadian, mangsa yang tinggal di Kerteh dalam perjalanan ke rumah keluarganya di Kampung Gong Mok Som, Besut, manakala pensyarah terbabit dari Taman Delima 2 dalam perjalanan ke tempat kerjanya.

Menurutnya, kemalangan dipercayai berlaku apabila mangsa dikatakan gagal mengawal kenderaannya sebelum bertembung Honda Jazz dipandu pensyarah terbabit sebaik keluar dari simpang taman berkenaan.

Sebelum kejadian, katanya, dia bersama seorang lagi rakan yang memandu kereta berasingan sepakat menemani arwah pulang ke kampung.

“Kami bertiga menaiki kereta berasingan, seorang daripada kami bertolak lebih awal manakala kenderaan saya berada jauh di belakang mangsa dan tidak dapat melihat dengan jelas kejadian itu,” katanya.

Menurutnya, berikutan kejadian itu, bahagian depan kereta mangsa remuk selepas merempuh bahagian tepi tempat duduk pemandu kenderaan pensyarah terbabit.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Dungun , Superintendan Dahlan Mohd Noor berkata, mangsa dipercayai meninggal dunia akibat cedera parah di kepala.

“Jenazahnya diserahkan kepada keluarga selepas selesai dibedah siasat dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Kampung Amir, Besut,” katanya.