AMPANG JAYA 13 Nov. - Hanya kerana dikatakan cemburu terhadap teman wanitanya, seorang lelaki bersenjatakan sepucuk pistol mengamuk serta melepaskan tiga das tembakan ke arah dinding dan siling sebuah salon. Lebih mencemaskan, suspek turut menahan teman wanitanya itu sebagai tebusan selama lima minit di salon kecantikan milik wanita itu di Ampang Waterfront, di sini hari ini. Insiden kira-kira pukul 12.50 tengah hari itu bagaimanapun berakhir tanpa sebarang kejadian tidak diingini apabila suspek berusia 23 tahun menyerah diri kepada polis. Selain hubungan kekasih, suspek juga bekerja sebagai penjaga di salon teman wanitanya itu. Sebelum kejadian, suspek dikatakan telah menunggu kira-kira dua jam di bawah premis terbabit dalam sebuah kereta jenis Nissan Failady untuk menyelesaikan masalah mereka yang dipercayai berkaitan hubungan dan kewangan. Namun setelah puas menunggu, suspek yang mula hilang sabar naik ke salon terbabit sebelum terjadinya pergaduhan. Dua lagi pekerja wanita yang turut berada di tempat kejadian kemudiannya beredar bagi memberi ruang untuk kedua-duanya berbincang. Menurut seorang pekerja kedai perabot di tingkat bawah, pada mulanya dia mendengar bunyi bising akibat pergaduhan namun tidak lama dikejutkan dengan bunyi tiga das tembakan. Difahamkan, tiga das tembakan itu dilepaskan ke arah siling dan dinding salon berkenaan. Timbalan Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Supritendan Amiruddin Jamaluddin berkata, sepasukan polis bergegas ke tempat kejadian sejurus menerima laporan pada pukul 12.54 tengah hari. Menurutnya, sejurus tiba, pihaknya mendapati mangsa berusia 35 tahun sedang ditahan suspek yang bersenjatakan sepucuk pistol jenis Walter di tingkat atas. "Ekoran itu, kami menghantar seorang pegawai perunding, Asisten Supritendan Kamal Khan Mohd. Shariff untuk berbincang dengan suspek. Akhirnya suspek bersetuju untuk melepaskan tebusan dan menyerah diri kira-kira lima minit kemudian. "Saya kira ini merupakan kejayaan polis yang membanggakan kerana kes tebusan itu dapat diselesaikan tanpa mendatangkan kecederaan kepada mana-mana pihak," katanya kepada pemberita di tempat kejadian di sini hari ini. Beliau memberitahu, suspek kini ditahan untuk disiasat di bawah Seksyen 3 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971. Sementara itu, Kamal Khan ketika ditemui pemberita memberitahu, beliau menggunakan pendekatan bertegas untuk mempengaruhi suspek supaya menyerah diri. "Menerusi perbualan telefon, saya telah memberi amaran agar dia menyerah diri dalam tempoh lima minit atau tindakan susulan terpaksa diambil. "Lima minit kemudian, saya hubunginya semula dan dia bersetuju menyerah diri dan menurut arahan polis dengan meninggalkan senjatanya serta mengangkat kedua-dua belah tangan di hadapan pintu masuk salon," jelasnya.Oleh TAN MING WAI
Battery Reconditioning
6 years ago