Meniup kaca kristal

Oleh KHADIJAH MOHAMAD NOR




CAHAYA api yang keluar dari muncung penunu bunsen itu amat menyilaukan mata terutama bagi mereka yang tidak biasa dengan situasi tersebut.

Namun dengan memakai kaca mata hitam, tiga pekerja di Kompleks Rembau Crystal Sdn. Bhd. tekun menyiapkan tugas mereka.

Masing-masing lincah melakukan kerja-kerja menganyam kristal menggunakan api yang dicucuh pada rod kaca bagi menghasilkan bentuk kristal yang diingini. Walaupun suhu api yang menyala garang itu mencecah 1,000 darjah Celsius, tetapi mereka langsung tidak menghiraukan bahang yang dirasai.

Bak kata pepatah alah bisa tegal biasa begitulah keadaan pekerja yang ada di kompleks tersebut.

"Sejak lebih setahun bekerja sebagai pelatih di Rembau Crystal ini, saya sudah lali dengan kepanasan ketika melakukan kerja-kerja menganyam kristal. Cuma, jika dibandingkan dengan pekerja di bahagian pembuatan kristal solid, keadaan di sini adalah lebih baik," ujar seorang pekerja wanita, Suhaiza Nordin.

Menurut Suhaiza, teknik anyaman kristal sebenarnya satu tugas yang rumit kerana ia memerlukan kesabaran yang tinggi dalam diri seseorang pekerja.

"Pada mulanya saya sendiri tidak yakin melakukan tugas ini. Namun, selepas diberi tunjuk ajar hampir setahun oleh tenaga pengajar mahir yang digaji oleh pihak pengurusan Rembau Crystal, barulah saya dapat menguasai teknik ini dengan baik.

"Selain menuntut kesabaran, tugas ini juga harus dibuat dengan teliti bagi menghasilkan produk kristal yang berkualiti," jelas Suhaiza.

Kemahiran


TEKNIK anyaman kristal memerlukan ketelitian dan kesabaran yang tinggi.


Selain Suhaiza, terdapat 24 lagi pekerja yang dikhususkan dalam penghasilan produk kristal berbentuk anyaman dan pembuatan kristal solid yang menggunakan teknik tiupan.

Menurut Pengurus Rembau Crystal Sdn. Bhd., Hanif Maulud sehingga kini pihaknya telah berjaya melatih 25 remaja lepasan sekolah dalam kemahiran pembuatan kristal.

"Semua pelajar telah dilatih hampir setahun oleh tiga pakar yang berpengalaman dalam pembuatan produk kristal. Mereka terdiri daripada anak tempatan yang mempelajari kemahiran membuat kristal di Ireland.

"Ternyata hasilnya amat membanggakan kerana semua pelajar mampu menguasai teknik pembuatan kristal dengan baik sekali gus menghasilkan produk yang berkualiti untuk dipasarkan," kata Hanif dalam satu pertemuan dengan Kosmo! di Rembau baru-baru ini.

Tambah Hanif, golongan remaja yang dilatih itu terdiri daripada mereka yang gagal untuk meneruskan pelajaran ke institusi pengajian tinggi (IPT) di dalam negara.

"Justeru, kewujudan Rembau Crystal secara tidak langsung membuka peluang kepada mereka untuk mempelajari kemahiran ini sekali gus memberi pekerjaan kepada anak-anak tempatan," tegasnya.

Secara keseluruhan, terdapat empat teknik pembuatan kristal yang dipraktikkan di kompleks tersebut iaitu seni ukir kaca atau lebih dikenali sebagai anyaman kristal, meniup gelas, solid kristal danquilling.

Menurut Pengurus Operasi Rembau Crystal Sdn. Bhd., Zalian Mustapha Al-Bakri, 41, setiap teknik dikhususkan untuk pekerja tertentu bagi melancarkan proses penghasilan produk.


PEKERJA yang meniup kaca perlu menggunakan kekuatan paru-paru untuk menghasilkan kristal yang berkualiti.


Apakah yang paling sukar dalam menghasilkan produk kristal? Zalian berkata: "Secara peribadi, saya boleh katakan bahawa teknik meniup kaca paling susah. Ini kerana, pekerja di bahagian ini perlu menggunakan kekuatan fizikal dan paru-paru untuk meniup batang besi panas bagi menghasilkan kristal solid.

"Selain itu, mereka juga terpaksa bekerja dalam suasana yang sangat panas kerana perlu membakar kristal palet untuk dicairkan sebelum dibentuk menjadi sesuatu objek mengikut tempahan. Disebabkan itulah semua pekerja di sini semuanya lelaki."

Dari segi bahan pula, syarikat itu menggunakan bahan mentah yang diimport dari luar negara seperti Belanda, Jepun dan Jerman. Antara bahan yang digunakan ialah rod kaca kristal, silika, kristal palet dan sebagainya.

Kaca cair

Bagi Mohd. Nazri Yazid yang bekerja di bahagian pembuatan kristal melalui teknik meniup gelas, dia ada cerita menarik yang mahu dikongsinya.

Kata remaja berusia 19 tahun itu, situasi paling mencabar dihadapinya sewaktu ingin mengambil kaca yang telah cair dan dia perlu mengawal bahan tersebut agar tidak jatuh.


SET kristal yang sesuai digayakan di ruang tamu.


"Sudahlah berhadapan dengan bahang api yang panas, kemudian saya perlu tahu menyelenggarakan bahan itu agar tidak jatuh ke lantai dengan cara memusing-musingkan batang besi yang dipegang. Ketika awal-awal dahulu, memang saya selalu gagal hingga saya hampir berputus asa.

"Namun, berkat semangat yang gigih saya berjaya mengatasi masalah tersebut. Kini, saya gembira apabila melihat hasil kerja tangan sendiri mendapat pujian dan menerima sambutan yang menggalakkan dari orang ramai," tutur Nazri sambil menyeka peluh di dahinya.

Anak muda itu turut mengakui mempunyai cita-cita untuk menjalankan perniagaan pembuatan produk kristal sendiri apabila berpeluang satu hari nanti.

"Dengan kemahiran yang dimiliki, Insya-Allah, saya bercadang untuk membuka bengkel dan mengembangkan perniagaan berasaskan kristal ini. Walaupun saya tahu impian itu masih terlalu jauh untuk dicapai, tetapi saya tetap optimis mampu melakukannya," ungkap Nazri.