NEW YORK - Seramai tiga lelaki terkorban dalam satu kebakaran apabila sepasukan bomba tersilap pergi ke tempat lain yang terletak tiga blok dari alamat sebenar di sini, lapor sebuah akhbar semalam. Kejadian itu berlaku apabila seorang operator talian kecemasan 911 tersilap menaip nombor sebatang jalan di Queens kepada 65th Street daripada tempat kebakaran iaitu di 62nd Street. Kesilapan itu menyebabkan beberapa jentera bomba yang berada kurang satu kilometer dari tempat kebakaran mengambil masa hampir lima minit tiba di lokasi sebenar. "Jika sampai cepat, mangsa mungkin berpeluang hidup kerana beza waktu sebaik menyedari alamat salah ialah 2.5 minit," kata Leroy McGinnis dari Persatuan Bomba Seragam. Namun jurucakap Jabatan Bomba New York, Jim Long berkata, beberapa buah jentera sudah pun tiba di situ sebelum jentera yang tersilap alamat itu sampai di lokasi kebakaran. Mangsa yang terkorban tinggal di sebuah rumah diubah suai tanpa izin milik pasangan imigran dari Bangladesh, Subir dan Marina Barua serta dihuni 10 pendatang negara tersebut. Kebakaran berpunca daripada sebuah dandang yang meletup di aras bawah rumah itu yang tiada alat pengesan api manakala dua alat lain di aras atas didapati tidak berfungsi. - Agensi
Battery Reconditioning
6 years ago