Puteri Mesir terakhir meninggal dunia





KAHERAH - Puteri Ferial (gambar) yang merupakan puteri raja terakhir Mesir meninggal dunia semalam setelah tujuh tahun bergelut dengan barah perut, kata seorang rakan keluarga diraja berkenaan.

Lotus Abdel Karim memberitahu, Ferial menghembuskan nafas terakhir di sebuah hospital tempat dia dirawat di Geneva, Switzerland.

"Dia akan dikebumi di Mesir. Jenazahnya akan dihantar pulang sehari dua lagi," katanya.

Dilahirkan di bandar Alexandria, pada tahun 1938, Puteri Ferial ialah anak perempuan Raja Farouk yang memerintah Mesir dari tahun 1936 sebelum baginda digulingkan dalam satu pemberontakan dan rampasan kuasa 16 tahun kemudian.

Puteri itu ialah anak sulung daripada isteri pertama baginda, Farida. Beliau menerima pendidikan di Switzerland dan tinggal di negara tersebut sehingga kematiannya.

Satu-satunya zuriat Raja Farouk yang masih hidup ialah Putera Fouad iaitu adik tiri Ferial.

Menurut rakan keluarga diraja itu, putera tersebut akan menghadiri majlis pengebumian kakaknya di Mesir bersama anak perempuannya, Yasmine. - AFP