Tujuh beranak huni rumah tiada atap



BALAI BESAR –“Ibu mana yang tidak ingin melihat anaknya berpelajaran te tapi segala-galanya hanya tinggal impian.

”Menyekolahkan anak bukan lagi keutamaan buat kami sekarang, apa yang lebih penting adalah menyediakan makanan asas bagi mengalas perut serta menyediakan rumah yang lebih selesa sebagai tempat untuk kami berlindung,” luah Rohana Mohd, 34, yang kini dihimpit kemiskinan.

Ibu enam anak itu berkata, sesiapa yang melihat keadaannya, pasti tidak sanggup menjadikan rumah yang dibuat daripada papan terbuang dan tidak beratap itu sebagai tempat berteduh bagi keperluan keluarganya.

Menurutnya, setiap kali hujan lebat, anaknya menggigil kesejukan kerana rumahnya yang beratapkan langit itu akan dimasuki air.:

“Bayangkan kami tidur di rumah tanpa atap. Setiap kali hujan lebat, anak saya terpaksa berjaga kerana basah kuyup namun kerana tiada pilihan, mereka terpaksa bertahan.

”Selain itu, pondok kami diami sekarang tiada sebarang kemudahan asas termasuk air dan elektrik, apatah lagi tandas,” katanya yang mempunyai enam anak.

Menurutnya, anak sulung perempuannya sudah memasuki alam remaja atau sudah boleh dipanggil ‘anak dara’.

“Cuba bayangkan mereka semua tinggal dalam kea�daan begini namun tiada apa yang boleh dilakukan.

“Kami tidak mampu membina rumah, hanya inilah satu-satunya tempat tinggal terbaik kami boleh sediakan,” katanya.

Menurutnya, suaminya, Mohd Nasir Awang, 41, hanya bekerja sebagai tukang cat dan upah yang diperoleh pula tidak seberapa, malah kerjanya juga dikatakan tidak tetap.

“Terputus bekalan makanan adalah perkara lumrah bagi kami, terutama ketika suami tidak bekerja. Pada waktu itu semua anak terpaksa kelaparan, malah kadangkala berlarutan sehingga seharian,

“Fikiran kami buntu, tidak tahu kepada siapa harus mengadu. Dahulu ketika tinggal di rumah sewa dekat Jalan Kubur, kami pernah membuat permohonan untuk mendapatkan bantuan melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), ” katanya.:

Menurutnya, sehingga kini mereka belum menerima sebarang jawapan.

”Jika boleh biarlah ada pihak dapat membantu untuk menyegerakan bantuan itu,” katanya.

Sambil menitiskan air mata, wanita berasal dari Kuala Terengganu itu berkata, dia amat sedih dan terkilan kerana akibat kemiskinan menghimpit keluarganya, tiga anaknya tidak dapat meneruskan persekolahan.

“Tiga anak kami, Zarina Johari, 18, Mohd Nazri Mohd Nasir, 15, dan Mimi Zulaikha, 11 sudah berhenti sekolah.

“Jika keadaan makin tersepit, dua lagi anak kami, Mohd Najib, 5 dan Mimi Zuriati, 2, mungkin juga tidak akan merasai alam persekolahan seperti kanak-kanak lain. Perkara itu tidak dapat dielak jika keadaan ini masih belum menemui jalan penyelesaian,” katanya.:

Sementara itu, dalam perkembangan berkaitan, Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Alor Tempoyak, Zakaria Mamat ketika ditemui mengesahkan, keluarga miskin berkenaan sudah membuat permohonan mendapatkan bantuan atap bagi membaiki rumahnya yang usang.

Menurutnya, permohonan berkenaan sudah diajukan kepada Pejabat Dewan Undangan Negeri (DUN) Kawasan Rantau Abang untuk tindakan selanjutnya.