Lelaki jangan malu

Hasil diagnosis Clinique mendapati Mohamad Azri mempunyai masalah kulit berminyak dan berjerawat.


AZRI (kiri) mendapat khidmat nasihat daripada Sulim berhubung masalah kulit wajahnya.


AKHIRNYA dia menarik nafas lega. Keresahan yang dialaminya sebelum ini diatasi dengan bantuan jenama penjagaan dan kecantikan wajah, Clinique.

Mohamad Azri Mohammad Azmi, 19, tidak pernah terlintas untuk melakukan sesi rundingan wajah di kaunter-kaunter kosmetik. Dia berasakan sesi tersebut hanya sinonim dengan golongan wanita.

"Baru tumbuh satu jerawat mereka sudah bimbang. Mulalah mereka mencuba pelbagai produk yang boleh mengatasi masalah itu. Namun saya sebaliknya. Apabila sudah tumbuh jerawat, saya mula serius, apabila kulit wajah berminyak saya hanya cuci dengan air.

"Dengan harapan air sudah memadai membersihkan muka. Kadangkala saya guna sabun badan saja untuk mencuci. Hendak mendapatkan pandangan daripada pakar kecantikan rasa segan kerana tidak mahu dilabel bukan-bukan," jelasnya yang mesra dengan panggilan Azri.

Namun persepsi yang dalam benak fikirannya hilang serta-merta selepas dia terpilih menyertai sesi transisi Stailo bersama Clinique. Ketika berhadapan dengan Perunding Kecantikan Clinique, Sulim Tega, Azri, menceritakan masalah yang dihadapi.

Rasa kesal

Pada waktu itu rasa malunya hilang apabila Sulim melakukan pemeriksaan kulit wajahnya menerusi cermin diagnosis khas Clinique. Pada saat itu, Azri melahirkan rasa kesal kerana tidak melakukan pemeriksaan pada peringkat awal. Perunding tersebut menjelaskan, anak kelahiran Shah Alam, Selangor itu mengalami masalah jerawat dan kulit berminyak.

"Ingin saya tegaskan kepada golongan lelaki jangan malu untuk mendapatkan sesi rundingan kecantikan. Isu kecantikan tidak pernah menjadi hak mutlak wanita. Seperti wanita melakukan rejim kecantikan, lelaki juga perlu melakukan proses yang sama.

"Khususnya di Clinique kami turut menerima kehadiran pengunjung lelaki yang mengalami masalah kulit. Kami menawarkan produk wajah lelaki mengikut masalah dan jenis kulit seseorang itu. Disebabkan kulit Azri berjerawat dan berminyak maka produk Clinique Skin Supplies For Men adalah pilihan yang tepat," tegas Sulim.

Memiliki kulit wajah yang berminyak dan berjerawat, Azri tidak disarankan menyental (skrab) wajah. Ini kerana proses tersebut akan menyebabkan jerawat bertambah merah dan pengeluaran minyak yang lebih banyak.

Sehubungan itu, salah satu cara untuk mengatasi produktiviti minyak yang berlebihan, Azri diwajibkan memakai pupur Anti-Blemish Solution Clinique sebanyak dua kali seminggu. Tempoh pemakaiannya hanya lima minit saja bagi mengelakkan kulit menjadi kering.

Ketika memakai pupur jangan sesekali bercakap, ketawa mahupun tersenyum.

"Jangan menggerakkan wajah ketika berpupur. Sekali digerakkan wajah kita cenderung mendapat garis-garis halus dan kedutan.

"Selain itu, masalah kulit berminyak dapat diatasi dengan mengurangkan sapuan pelembap wajah di kawasan berminyak seperti di bahagian zon-T (dahi dan hidung)," tambah Sulim yang turut memberitahu masalah jerawat adalah normal kerana berpunca daripada hormon.

Namun ia dapat diatasi sekiranya seseorang itu menjalani rejim cucian wajah secara sistematik, mengamalkan pemakanan seimbang dan banyak minum air kosong.