Kuman baru taun serang Terengganu

Oleh MANIRAH OTHMAN


BENTUK bakteria Vibrio Cholera di bawah mikroskop.


KUALA TERENGGANU - Penularan wabak taun yang menjangkiti 145 pesakit di Terengganu dikenal pasti berpunca daripada sejenis bakteria baru daripada jenis Vibrio Cholera dan ia dipercayai tersebar melalui ikan yang digunakan dalam perusahaan keropok.

Bakteria itu pertama kali dikesan di negara ini dan ia sama seperti Vibrio Cholera biasa tetapi mempunyai genetik protein yang berbeza.

Selain ikan, ia juga dikesan terdapat pada sampel ayam mentah dari Pasar Borong Gong Pauh, Wakaf Mempelam dan air dari beberapa buah kilang ais di sekitar negeri ini.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, hasil ujian makmal mendapati antara punca bakteria itu tersebar ialah melalui ikan yang dipercayai dibawa masuk dari Thailand melalui Kompleks Perikanan Chendering yang kemudian digunakan dalam perusahaan keropok.

"Kuman (bakteria) taun baru itu menyebabkan pesakit sukar diubati pada peringkat awal sejak seminggu lalu, namun kementerian telah mengambil langkah segera dan berjaya menemui antibiotiknya selepas beberapa kajian dilakukan," katanya.

Semalam Tiong Lai melawat beberapa pesakit taun yang dirawat di sembilan wad pengasingan di Hospital Sultanah Nur Zahirah di sini.

Menurutnya, kajian yang telah dilakukan oleh Institut Penyelidikan Perubatan mendapati bakteria kolera itu daripada jenis berlainan yang tidak bertindak balas dengan antibiotik biasa.

"Tetapi sekarang kita sudah menemui antibiotik untuk menanganinya dan ia memberi keputusan yang baik kepada pesakit," katanya.