KUALA LUMPUR 12 Nov. - Pengusaha batik tempatan khususnya di Kelantan dan Terengganu dinasihatkan supaya terus berusaha memajukan rekaan batik masing-masing bagi menjana pendapatan negara. Isteri Timbalan Perdana Menteri, Puan Sri Noorainee Abdul Rahman berkata, usaha itu dilihat mampu menyedarkan orang ramai tentang kepentingan khazanah tempatan. ''Saya percaya dengan adanya pelbagai usaha agensi-agensi kerajaan seperti Kemajuan Kraftangan Malaysia dan Yayasan Budi Penyayang Malaysia, batik Malaysia akan terus maju di persada dunia. ''Sehubungan itu, saya menasihati semua pengusaha batik agar dapat mempertingkatkan rekaan batik mereka,'' katanya. Beliau berucap pada majlis perasmian Pesta Batik anjuran Yayasan Budi Penyayang Malaysia di Galeri Seri Endon hari ini. Hadir sama, Pengerusi Batik Guild Sdn. Bhd, Tan Sri Rahim Mohamad, Pengerusi Yayasan Budi Penyayang, Nori Abdullah dan Ketua Pegawai Eksekutif, Yayasan Budi Penyayang, Datuk Leela Mohd. Ali. Noorainee berkata, pada era teknologi kini, pereka batik boleh memperolehi ilham dan inspirasi daripada banyak sumber bagi mempelbagaikan koleksi rekaan batik yang lebih menarik dan terkini. Selain itu, tambahnya, penggunaan teknologi, pewarna asli, tekstil dan kehendak pelanggan juga perlu dikaji supaya batik yang dihasilkan boleh dipasarkan dengan lebih meluas. ''Oleh itu, pereka batik bolehlah menggunakan sumber-sumber seperti Internet, majalah fesyen dan seni untuk memenuhi cita rasa dan pasaran dunia,'' katanya. Menurut beliau, batik Malaysia kini terkenal, seiring dengan tekstil-tekstil ternama seperti 'french lace' dan 'brocade' yang biasanya diperagakan di pentas dunia fesyen. Industri batik, jelas beliau, semakin memperlihatkan perkembangannya di pasaran antarabangsa terutama apabila berjaya menempatkan tekstil itu di Italy, London, Eropah dan Amerika Syarikat. ''Saya amat berbangga dengan pencapaian negara menerusi industri ini justeru, janganlah kita lupa jasa Allahyarham Tun Endon Mahmood yang selama ini gigih berusaha dalam memartabatkan batik negara,'' ujarnya.
Battery Reconditioning
6 years ago