Cari kerbau, jumpa mayat



KUALA TERENGGANU - Cari kerbau jumpa mayat. Itulah pengalaman terpaksa dilalui jurujual, Zaidtul Hamzah Mohamad, 24, apabila terpijak mayat seorang lelaki di kawasan paya, Kampung Bukit Batu Putih, Chendering, kelmarin.

Mayat lelaki berumur dalam lingkungan 20-an dan berpakaian lengkap itu ditemui dalam keadaan tertiarap di dalam air paya di hujung kampung berkenaan.

Zaidtul berkata, dia pergi ke kawasan paya terletak kira-kira 300 meter dari rumahnya pada jam 6 petang untuk mencari kerbaunya yang hilang dari kadang.

“Ketika sedang sibuk mencari saya terpijak sesuatu yang lembik di dalam air, ingatkan lampin pakai buang namun saya terkejut apabila melihat kaki manusia timbul pada permukaan air.

“Kerana terlampau terkejut, saya tergamam seketika dan tidak tahu apa harus saya lakukan sebelum berlari keluar untuk memaklumkannya kepada orang ramai,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian, kelmarin.

Menurutnya, selepas diamati, dia tidak mengenali mayat terbabit dan beranggapan, mangsa bukan penduduk kampung berkenaan lalu membuat laporan di Balai Polis Chendering, kira-kira jam 6.30 petang.

“Kawasan paya itu jarang dikunjungi orang kerana keadaannya jauh dari kampung, selain dipenuhi semak-samun.

“Saya pergi pun kerana ingin mencari kerbau dan tidak tahu bagaimana mayat berkenaan boleh berada di dalam kawasan paya itu,” katanya.

Dalam kejadian berasingan, seorang warga emas ditemui mati terlentang dengan mulut berbuih di rumahnya di Flat Seri Kolam, kira-kira jam 7 malam kelmarin dipercayai akibat sakit jantung.

Mayat Fu Ho Cheng, 74, ditemui menantunya selepas mengesyaki berlaku perkara buruk terhadap mangsa apabila warga emas terbabit tidak menjawab panggilan telefonnya.

Lelaki yang enggan namanya itu disiarkan berkata, bapa mentuanya tinggal seorang diri dan dia terpaksa meminta bantuan pasukan bomba dan penyelamat mengumpil pintu kerana mangga rumah baru sahaja ditukar.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Zamri Samsuddin ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu mengklasifikasikannya mati mengejut.

Bagi kes di Chendering pula katanya, pihaknya belum lagi dapat mengenal pasti identiti lelaki terbabit.