Mangsa banjir tahan sakit 6 jam dipatuk ular



FATIMAH Awang Hamat menunjukkan kesan gigitan ular pada tangan suaminya, Wan Ismail Wan Hassan di rumahnya di Kampung Pancor, Besut, semalam.


BESUT 25 Nov. - Gara-gara banjir, seorang warga emas yang dipatuk ular terpaksa menahan kesakitan selama enam jam sebelum tiba di hospital untuk menerima rawatan.

Wan Ismail Wan Hassan, 79, yang tinggal di Kampung Pancor, Hulu Besut di sini, terpaksa menanggung kesakitan itu setelah jalan masuk ke kampungnya terputus hubungan akibat banjir.

Malah, dia terpaksa menaiki sebuah bot serta empat buah kenderaan lain sebelum tiba di Hospital Besut.

Kejadian berlaku Ahad lalu ketika Wan Ismail mengalihkan kayu penunggul lembu peliharaan di halaman rumahnya.

Dia tiba-tiba terasa jari tangannya seperti tersangkut pada duri.

Pada mulanya, dia menyangka kesakitan itu akibat tertusuk duri pokok semalu namun, dia mula syak dipatuk ular setelah sakitnya semakin bertambah.

"Disebabkan terlalu sakit, saya mengikat bahagian lengan dengan kain tudung manakala isteri saya, Fatimah Awang Hamat, 63, menyapu sedikit minyak pada jari yang terkena kesan patukan itu," katanya.

Bagaimanapun, kira-kira pukul 6 petang, ahli keluarga Wan Ismail yang bimbangkan keselamatannya menghantar beliau ke Klinik Kesihatan Felda Tenang dengan menaiki sebuah kereta.

"Dari Klinik Felda Tenang, saya dibawa menaiki pacuan empat roda ke Hospital Besut di Jerteh tetapi laluan di Kampung Batu 13 ditenggelami air menyebabkan saya terpaksa menaiki bot ke Kampung Bekok.

"Setibanya di Kampung Bekok, saya dibawa menaiki sebuah lagi kenderaan pacuan empat roda sebelum tiba di Kampung Bukit Payong dan dari situ dibawa menaiki kenderaan JPAM (Jabatan Pertahanan Awam Malaysia)," katanya.

Menurut Wan Ismail, dia kemudian dibawa ke Kampung Pulau Panjang, Jerteh sebelum dipindahkan ke sebuah ambulans yang sedia menunggu untuk dibawa ke Hospital Besut.

Setibanya di hospital, beliau dimasukkan ke wad semalaman dan pakar perubatan mengesahkan warga emas itu dipatuk ular kapak sebelum dibenarkan pulang Isnin lalu.

Bagaimanapun, kata Wan Ismail, sembilan tahun dulu beliau pernah dibelit seekor ular sawa sepanjang kira-kira sembilan meter ketika menebas di kebun getahnya.

"Ketika itu, saya bergelut hampir setengah jam sebelum melepaskan belitan ular itu.

"Akibat kejadian itu, sebatang tulang rusuk kanan saya patah dan saya tidak mampu bekerja kuat selama beberapa bulan," jelasnya.