KUALA TERENGGANU: Polis menahan sepasang suami isteri yang dipercayai terbabit dalam kegiatan mengedar dadah di sekitar daerah Dungun dalam serbuan di rumah pasangan itu di Kampung Tok Kah, Dungun dua hari lepas. Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik negeri Supt Roslan Abd Wahid berkata polis turut merampas 60 gram syabu bernilai kira-kira RM240,000 dan 96.8 gram heroin bernilai kira-kira RM22,500 dalam serbuan pukul 11.15 malam itu. Beliau berkata serbuan ke atas rumah pasangan yang dipercayai menjalankan kegiatan mengedar dadah sejak tiga tahun lepas itu dibuat hasil maklumat orang awam, dan menurutnya polis terpaksa memecahkan pintu rumah itu kerana suspek enggan membukanya. "Suspek yang berumur 34 tahun adalah seorang penagih tegar, manakala isterinya yang berumur 27 tahun kini hamil lima bulan," katanya pada persidangan media di sini, hari ini. Roslan berkata heroin itu dipercayai dibawa masuk dari negara jiran manakala syabu itu pula diperolehi dari pantai barat. Katanya pasangan yang berasal dari Dungun itu kini direman selama enam hari mulai semalam untuk siasatan lanjut, dan mereka sedang disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 yang boleh membawa hukuman mati mandatori. Roslan berkata semua harta suspek bernilai kirakira RM269,500 termasuk barang kemas dan sebuah kereta jenis Proton Iswara turut disita.
Battery Reconditioning
6 years ago