10 saat dirikan sejadah, jangan taksub

Oleh FAIZAL NAZARUDDIN


KERATAN Kosmo! 3 November semalam.


KANGAR - Jika masih terdapat orang ramai yang taksub dengan kejadian mistik di sebalik sejadah berdiri, mungkin ini boleh menyedarkan minda mereka.

Ini kerana, Jabatan Agama Islam Perlis (JAIPs) semalam menunjukkan demonstrasi membentuk sejadah berdiri bagi meyakinkan orang ramai kejadian yang didakwa aneh itu boleh dilakukan oleh manusia sendiri.

Demonstrasi tersebut dilakukan sendiri oleh Pengarah JAIPs, Abdul Malik Hussin dan disertai bekas Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Dr. Shahidan Kassim di hadapan lebih 50 orang di pejabat jabatan agama berkenaan di sini semalam.

Pelbagai bentuk dapat dilakukan oleh dua penguji berkenaan dengan menggunakan empat sejadah yang cuma mengambil masa tidak sampai 10 saat untuk mendirikan sehelai sejadah tersebut.

Kosmo! sebelum ini melaporkan kejadian sejadah berdiri seolah-olah mengerjakan solat berjemaah di surau Taman Kastam 3, dekat Padang Besar, Perlis yang menarik perhatian orang ramai termasuk warga Thailand di sempadan.

Menurut Abdul Malik, sebab utama sejadah berkenaan mudah dibentuk demikian rupa disebabkan kainnya jenis baru, tebal dan keras.

"Ini perkara yang mudah terlepas pandang apabila berlaku kejadian sejadah berdiri di tempat mereka sehingga menyebabkan timbul pelbagai andaian mistik.

'Sehubungan itu, saya meminta orang ramai menghentikan kepercayaan mistik kejadian sejadah berdiri itu kerana hasil eksperimen ini jelas membuktikan ia mudah dilakukan orang ramai,' katanya kepada pemberita di sini semalam.