Tiga Sahabat Dihukum Gantung Edar Dadah













Tiga sahabat, Mohd Zulkifli Musa, 34, Kamaruzaman Ibrahim, 44, dan Abdullah Mat Daud, 29, diiringi anggota polis ketika beredar dari Mahkamah Tinggi Kota Bharu, hari ini selepas mahkamah menjatuhkan hukuman gantung sampai mati setelah didapati bersalah mengedar dadah jenis heroin, tiga tahun lalu. Ketiga-tiganya ditahan pada 4.15 petang 11 April 2006 di Hoi Key Restoran, Jalan Toh Hakim, Kota Bharu kerana cuba mengedar heroin seberat 23.46 gram. -- fotoBERNAMA


KOTA BHARU: Tiga sahabat karib dijatuhi hukuman gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini setelah didapati bersalah mengedar dadah jenis heroin tiga tahun lalu.

Mohd Zulkifli Musa, 34, Kamaruzaman Ibrahim, 44, dan Abdullah Mat Daud, 29, kelihatan tenang ketika keputusan itu dibuat oleh Hakim Datuk Mohd Azman Husin yang berpuas hati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kesalahan itu tanpa sebarang keraguan.

"Kesalahan yang dilakukan kamu bertiga amat berat dan mahkamah tiada pilihan lain selain menjatuhkan hukuman ini dan kamu boleh membuat rayuan," kata Mohd Azman.

Ketiga-tiganya ditahan pada 4.15 petang 11 April 2006 di Hoi Key Restoran, Jalan Toh Hakim di sini, kerana cuba mengedar heroin seberat 23.46 gram.

Mohd Zulkifli dan Kamaruzaman, kedua-duanya buruh berasal dari Rantau Panjang, manakala Abdullah dari Tanah Merah adalah pemandu lori kelapa sawit.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Wan Azimah Yaakob manakala Peguam Tara Singh Dilip mewakili Mohd Zulkifli, Wan Abdullah Thani Wan Yusof mewakili Kamaruzaman dan Rozihan Othman mewakili Abdullah. - BERNAMA