Empat beradik lemas

Oleh ZAMZURINA AHMAD


Ibu dan bapa kepada empat mangsa lemas, Saeyah Mohd Noor, (tiga dari kiri) dan Md. Shamsuri Maulana (kanan), bersama sanak saudara membacakan Yassin setelah empat anak mereka maut dalam kejadian lemas di sebuah ladang kelapa sawit di Kota Bahagia, Kuantan, semalam.


KUANTAN 7 Dis. - Demi kasih dan sayang, tiga beradik sanggup terjun ke dalam parit untuk menyelamatkan adik mereka yang sedang lemas.

Namun malangnya usaha mereka gagal, malah ia mengakibatkan kesemua mereka yang tidak tahu berenang lemas dalam parit tersebut.

Kejadian berlaku kira-kira pukul 1.30 petang ketika kesemuanya pergi memancing bersama ibu dan bapa mereka di sebuah parit di ladang kelapa sawit di Kota Bahagia, Muadzam dekat sini hari ini.

Bagaimanapun tiba-tiba, Norsyakirah Md. Samsuri, 8, tergelincir ke dalam parit berkenaan.

Ketua Pegawai Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Muadzam Shah, Abd Rahman Mo'min berkata, sejurus menyedari Norsyakirah terjatuh, abang dan kakak mangsa, Mohd. Shukri, 16, Syafiqah, 15, dan Mohd. Syafik, 12, terjun untuk menyelamatkannya.

"Bagaimanapun, ketiga-tiga mereka yang tidak pandai berenang lemas dalam parit sedalam kira-kira tiga meter itu sejurus sahaja terjun.

"Dalam masa sama, ibu dan bapa mereka yang menyaksikan kejadian tersebut turut berusaha untuk menyelamatkan anak-anak mereka namun gagal," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Menurut Abd. Rahman, pihak bomba yang menerima laporan mengenai kejadian tersebut segera bergegas ke tempat kejadian.

"Operasi mencari dan menyelamat dijalankan dan pihak bomba mengambil masa satu jam sebelum menemui kesemua mangsa.

"Mayat keempat-empat beradik yang ditemui tenggelam di parit berkenaan di bawa ke Hospital Rompin untuk bedah siasat," jelasnya.