Bah di Terengganu kian pulih

KUALA TERENGGANU 4 Dis. – Keadaan banjir di Terengganu semakin pulih dengan bilangan penduduk yang masih ditempatkan di pusat pemindahan di negeri ini sehingga pukul 8 malam ini berkurangan kepada 2,667 orang berbanding 3,103 orang petang tadi.

Jurucakap Majlis Keselamatan Negara (MKN) Terengganu ketika dihubungi Bernama berkata mangsa banjir di daerah Kemaman telah berkurangan kepada 1,679 berbanding 2,048 orang petang tadi.

Jumlah mangsa banjir di Dungun sebanyak 545 orang, Kuala Terengganu (248), Hulu Terengganu (82), Setiu (60) dan Marang (53).

Beliau berkata semua jalan utama termasuk di kawasan dilanda banjir masih boleh dilalui, kecuali beberapa batang jalan negeri ditutup kerana dinaiki air, iaitu di Kemaman (11), Hulu Terengganu (lima) dan Dungun (dua).

Katanya semua sungai utama di Terengganu berada pada paras biasa.

Beliau turut mengesahkan seorang pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Felda Kertih 5, Dungun menjadi korban kelima banjir yang melanda Terengganu sejak awal bulan lepas.

Muhammad Afiq Mohd Roadzi, 14, hilang setelah dihanyutkan arus deras ketika memasang pukat bersama tiga rakannya pada pukul 3.30 petang Rabu lalu dan mayatnya ditemui 5.30 petang semalam.

Sebelum ini, empat kes lemas dilaporkan di negeri itu sejak banjir melanda awal bulan lalu, iaitu masing-masing satu kes di Hulu Terengganu dan Besut serta dua di Marang. – BERNAMA