450 jemaah haji tiba di KLIA

Oleh NAZMIL NASIRUDDIN


HAFIANTY Rezeki Basri disambut oleh suaminya, Dr. Khairul Hanam dan anak-anaknya setibanya di KLIA, Sepang, semalam.


SEPANG 4 Dis. - Kumpulan pertama 450 jemaah haji selamat tiba dengan pesawat Arab Saudi (SV5000) di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini pada pukul 12.40 pagi ini, lewat empat jam daripada jadual.

Pengurus Besar Jabatan Hal Ehwal Awam dan Komunikasi Korporat Kumpulan Tabung Haji, Abdul Rashid Hussein berkata, kelewatan berpunca daripada kesesakan di Lapangan Terbang Antarabangsa Raja Abdul Aziz di Jeddah.

Beliau berkata, pesawat tersebut sepatutnya berlepas pukul 8.40 malam tetapi terlewat empat jam berikutan penjadualan semula penerbangan oleh pihak berkuasa Arab Saudi akibat kesesakan pesawat.

"Bagaimanapun semua selamat sampai di sini dan kami memohon maaf kepada ahli keluarga jemaah disebabkan kelewatan ini," katanya kepada pemberita selepas menyambut ketibaan jemaah haji tersebut di KLIA di sini awal pagi ini.

Seramai 26,000 jemaah haji Malaysia dijadual pulang ke tanah air bermula hari ini sehingga 2 Januari tahun depan.

Dalam perkembangan berkaitan, menurut Abdul Rashid, seramai 29 jemaah haji meninggal dunia di tanah suci tahun ini dan dikebumikan di sana.

Jelasnya, kematian jemaah disebabkan sakit tua dan tiada kena mengena dengan penularan wabak influenza A (H1N1).

"Terdapat juga jemaah yang masih belum dapat dipastikan lagi bilangannya tidak dapat menyempurnakan ibadah haji disebabkan sakit dan masih lagi dirawat di sana," katanya.

Mengenai kejadian banjir di Jeddah, Abdul Rashid berkata, ia tidak begitu menyukarkan perjalanan jemaah haji negara ini.

"Tidak ada jemaah kita yang terlibat dengan kejadian banjir. Mereka hanya menghadapi keadaan hujan lebat di Arafah," ujarnya.