KUALA TERENGGANU – Kerugian hasil pertanian dianggarkan bernilai sebanyak RM4.9 juta berikutan banjir yang melanda seluruh Terengganu baru-baru ini.

Pengarah Jabatan Pertanian Terengganu, Md Yusof Maidin berkata, kerugian itu membabitkan 1,927 petani daripada pelbagai sektor pertanian terutama tanaman jangka pendek.

“Kawasan yang terlibat dengan kerosakan melibatkan keluasan 1,439 hektar, namun ia anggaran kasar dan kita belum tahu jumlah sebenar kerosakan,” katanya kepada Sinar Harian ketika dihubungi, semalam.

Beliau berkata, pihaknya menyediakan bantuan input seperti benih dan baja kepada petani terbabit.

Menurut Md Yusof, kesemua maklumat tersebut disemak melalui rekod yang ada berdasarkan kawasan yang ditenggelami air.

Pihaknya akan mengedarkan borang kepada petani dan meminta pihak terlibat berhubung dengan pejabat pertanian daerah masing-masing untuk memaklumkan perkara tersebut.

Sementara itu, Jabatan Pekhidmatan Veterinar Terengganu pula melaporkan sebanyak RM113,000 anggaran kerugian membabitkan penternakan dalam tempoh tersebut.

Pengarahnya, Dr Azizol Mohd Sharom berkata, kerosakan tersebut membabitkan ternakan lembu, ayam kampung dan ayam daging melibatkan beberapa petani di seluruh daerah.