Biar polis yang siasat

Oleh TENGKU SUZANA RAJA HAMAT




PERJALANAN hampir 200 kilometer dari Kuala Lumpur ke Kuala Kangsar, Perak serta penantian lebih enam jam akhirnya membuahkan hasil. Sebelum senja melabuhkan tirainya, kelibat pelakon wanita yang menjadi buruan sepanjang minggu ini, Ummi Nazeera akhirnya memberikan satu petunjuk.

Lokasi filem Hantu Kak Limah Balik Rumah, penulis terjah hanya semata-mata untuk mengetahui kebenaran konflik sebenar di sebalik insiden Remy Ishak dibelasah di Istana Budaya minggu lalu. Puas dipujuk dan diberikan janji bahawa tiada hati mana-mana pihak yang mahu dicalarkan, Ummi yang pada awalnya mengelak ditemubual akhirnya bersetuju untuk bersua muka.

Raut wajahnya tenang, sesekali dia tertawa kecil dengan 'penerokaan' yang cuba menggali lubuk jiwanya. Dia persis tahu apa yang cuba diselidik daripada hatinya.

Jangan besarkan

isu 'pukul' Remy

"Jangan perbesarkan lagi isu itu. Kalau boleh saya tak mahu ia menjadi kecoh. Biar keadaan sahaja menentukan apa yang akan terjadi, saya tak mahu mengulas lanjut. No comment," itu luahan pertama daripada bibir pelakon muda yang terkenal dengan watak Sarah dalam drama rantaian 'berhantu' Nur Kasih ini.

Saat diajukan soalan panas berhubung kes pukul Remy yang mencuri perhatian umum sejak Sabtu lalu yang membawa kepada laporan polis, Ummi nyata tidak mahu namanya dilibatkan.

Isnin lalu Kosmo! turut menyiarkan penjelasan Remy, 27, yang menafikan dakwaan bahawa dia mengasari dan memukul seorang gadis anak seorang ahli perniagaan sebagai punca dia dibelasah sekumpulan tujuh orang lelaki di dalam Istana Budaya sebaik selesai pementasan malam keempat teater Natrah.

Kosmo! difahamkan gadis yang dimaksudkan itu adalah Ummi Nazeera memandangkan dua pelakon berkenaan dilaporkan pernah rapat, bagaimanapun cinta mereka terhalang.

Puas ditanya, Ummi bagaimanapun tidak memberi sebarang kepastian mengenai hal itu. Sama ada 'ya' atau 'tidak', dia sekadar menggelengkan kepala saat dikaitkan dengan kejadian yang menimpa hero drama Nur Kasih tersebut.

Ucap pelakon yang baru berusia 19 tahun itu, kenapa dia yang menjadi perhatian tumpuan sedangkan tiada secalit namanya disebut dan ditulis dalam berita tentang Remy Ishak.


UMMI enggan mengulas panjang hubungannya dengan Remy kerana mengakui mereka sekadar kawan biasa.


"Memang berlaku perselisihan antara kami tapi kalau benar ada laporan polis, biarlah polis yang membuat siasatan. Saya tidak mahu mengganggu siasatan polis dan saya minta maaf sekiranya ada menyakiti hati mana-mana pihak," katanya ringkas.

Sama juga seperti Remy, Ummi tidak mudah berterus-terang memberi penjelasan, barangkali perlukan sedikit masa untuk mengubat segala kelukaan.

Kami tidak bercinta

Ditanya mengenai sejauh mana hubungannya dengan Remy, sama seperti sebelumnnya, Ummi enggan mengakui mereka adalah pasangan kekasih. Hanya tersenyum ketika diajukan soalan tersebut, anak ahli perniagaan berjaya ini memberitahu, mereka hanya akrab sebagai kawan biasa.

Dalam masa yang sama, Remy masih sibuk di lokasi penggambaran drama bersiri Suraya dan pementasan teater Natrah manakala Ummi pula setia dengan komitmennya sebagai heroin filem yang turut dibintangi Awie dan Avaa Vanja.

Bersaksikan krew dan para pelakon di lokasi penggambaran filem terbaru Mamat Khalid itu, pertemuan bersama Ummi sebenarnya tidak banyak memberikan jawapan walaupun hampir seminggu media berusaha menjejakinya.

"Bukannya saya bersembunyi atau melarikan diri. Saya ada penggambaran dan ada sedikit masalah kerana telefon saya rosak," kata Ummi sambil membetulkan selendang putih di bahunya.

Bawa diri ke luar negara

Lebih teruja bercerita soal karier kata Ummi, Hantu Kak Limah Balik Rumah akan menjadi filem dan produksi terakhirnya sebelum ke luar negara untuk menyambung pelajaran tidak lama lagi.


REMY membuat laporan polis ekoran insiden dia dibelasah tujuh lelaki di Istana Budaya minggu lalu.


Sekali lagi dia menegaskan keputusan itu bukan kerana merajuk atau membawa diri, jauh sekali kerana konflik hati ekoran cinta terhalang. Ujar Ummi, perancangan untuk menyambung pelajaran sebenarnya sudah lama diputuskan olehnya.

"Perniagaan keluarga perlukan pewaris. Mungkin selepas dua tahun barulah Ummi akan kembali ke Malaysia," katanya. Persoalan adakah hati Ummi akan terbuka untuk berlakon semula sekembali daripada menyambung pelajaran? Segalanya masih terlalu awal untuk dijangkakan, kata Ummi.

"Terpulanglah kepada keadaan," katanya sambil memohon temubual dihentikan.

Kalau semua ini benar-benar terjadi, Ummi bukan saja bakal mengucapkan selamat tinggal kepada semua peminat, tetapi juga keluarga dan rakan artis, termasuklah Remy Ishak sendiri.