Ombak besar ancam pantai


KUALA NERUS – Masalah hakisan yang berlaku di kawasan pantai peranginan Tok Jembal, di sini, semakin teruk dan membimbangkan apabila sebahagian laluan di pesisir pantai berkenaan runtuh akibat dipukul ombak besar, kira-kira jam 7 petang semalam.

Kejadian itu secara tidak langsung turut mengundang rasa resah dalam kalangan penduduk berhampiran sekiranya kawasan yang dahulunya menjadi kebanggaan mereka ‘hilang’ ditelan ombak.

Penduduk, Che Rani Abdullah, 46, berkata, meskipun tidak menolak sebarang pembangunan demi kebaikan semua, namun dia percaya kerja penambakan laut bagi melebarkan Lapangan Terbang Sultan Mahmud (LTSM) sebagai punca utama permasalahan itu.

“Masalah ini (hakisan) semakin teruk berlaku sejak kerja penambakan landasan lapangan terbang dilakukan, malah pihak terbabit dilihat seperti tidak mengambil sebarang tindakan menanganinya.

“Justeru, kami berharap pihak berkenaan bertindak segera bagi mengatasi masalah yang meresahkan semua penduduk, apatah lagi hakisan turut mengancam kawasan tanah perkuburan, di sini,” katanya kepada :Sinar Harian.:

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Tok Jembal, Abdul Rashid Abdullah berkata, tindakan proaktif perlu diambil pihak berkenaan supaya masalah hakisan tidak terus memberi ancaman kepada penduduk, terutama nelayan.

“Disebabkan masalah hakisan ini juga, secara tidak langsung menimbulkan kesulitan kepada nelayan yang terpaksa meletakkan bot di tempat lebih jauh bagi mengelak dihanyutkan ombak.

“Kami bimbang jika masalah ini juga akan ‘menghanyutkan’ keindahan pantai yang sememangnya menjadi tumpuan ramai, justeru, tindakan segera perlu diambil pihak berkenaan,” katanya.