'Anak saya tenggelam timbul'

MUADZAM 7 Dis. - "Saya lihat keempat-empat anak saya tenggelam timbul dan kemudian tidak timbul-timbul lagi."

Begitu kata Samsuri Maulana, 46, bapa kepada empat beradik yang mati lemas dalam sebuah parit di ladang kelapa sawit di Kota Bahagia, Muadzam dekat sini hari ini.

Keempat-empat mangsa, Norsyakirah, 8, Mohd. Shukri, 16, Syafiqah, 15, dan Mohd. Syafik, 12, lemas kira-kira pukul 1.30 petang.

Menurut Samsuri, dia dan isteri, Saeyah Mohd. Noor, 38, serta dua lagi anak kembarnya iaitu Nur Ainon Syahirah dan Nur Ainon Syaria, 6, termasuk keempat-empat mangsa ke kawasan ladang kelapa sawit di situ untuk memancing.

"Sampai di situ, salah seorang daripada anak saya meminta untuk mandi di satu kawasan yang tidak jauh dari kawasan tempat saya memancing.

"Tetapi dalam dalam perjalanan mereka ke kawasan mandi tersebut salah seorang dari anak saya iaitu, Norsyakirah tiba-tiba tergelincir ke dalam parit berkenaan," katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.

Jelasnya, sebaik menyedari Norsyakirah terjatuh ke dalam parit berkenaan, kakak dan abang-abang mangsa, Mohd. Shukri, Syafiqah, dan Mohd. Syafik, terjun untuk menyelamatkannya.

"Ketiga-tiga anak saya yang tidak pandai berenang turut lemas dalam parit itu sebaik sahaja terjun untuk menyelamatkan adiknya.

"Saya menyedari anak saya lemas apabila mendengar mereka menjerit dan kemudian terus berlari ke tempat kejadian.

''Saya kemudian terjun ke dalam parit tersebut untuk menyelamatkan mereka namun saya tidak berdaya dan hanya mampu melihat mereka tenggelam," katanya dalam nada yang sedih.

Tidak mampu berbuat apa-apa, dia kemudian terus menghubungi Balai Bomba dan Penyelamat Muadzam Shah.

Katanya, kira-kira setengah jam kemudian pihak bomba sampai dan berjaya menemui semua anaknya sejam kemudian.

Katanya lagi, walaupun sedih, namun dia reda dengan pemergian keempat-empat anaknya dan menggangap kejadian ini adalah dugaan dari yang maha Esa.

Menurut Samsuri, kesemua jenazah anaknya akan dikebumikan di tanah perkuburan Keratong 3 kira-kira pukul 9 pagi esok.