Isteri lari: Suami rujuk pejabat agama

Oleh SYED AHMAD ZULKARNAIN SYED ALI


NOR MOHAMMAD menunjukkan surat panggilan kauseling di Jabatan Agama Islam Hulu Langat baru-baru ini.


KAJANG - Selepas genap sebulan ditinggalkan isteri, seorang penghantar surat, Nor Mohammad Sham bertekad membawa masalah rumah tangganya ke Pejabat Agama Islam Hulu Langat di sini semalam bagi mencari jalan penyelesaian.




Nor Mohammad, 39, berkata, isterinya, Noor Sharmaine Mat Esa, 20, yang dikahwininya pada 24 Oktober lalu enggan pulang ke pangkuannya sejak melarikan diri pada 6 November lalu.


KERATAN muka depan Kosmo! 3 Disember.


"Saya telah meminta isteri saya supaya pulang tetapi dia enggan jadi sebagai seorang suami saya juga mempunyai maruah

"Kini saya membawa masalah saya ke Pejabat Agama Islam Hulu Langat untuk mendapat khidmat nasihat dan mencari jalan penyelesaian terbaik," katanya ketika ditemui di Pejabat Agama Islam Hulu Langat di sini semalam.

Sehubungan itu, Nor Mohammad memberitahu, Pejabat Agama Islam Hulu Langat menetapkan 31 Disember ini untuk mengadakan satu sesi rundingan antara dia dan isterinya.

"Saya harap pada tarikh itu Noor Sharmaine dapat hadir bersemuka dengan saya bagi menyatakan apa yang dia tidak puas hati atau apa yang dia mahu daripada saya.

"Saya juga berharap masalah ini dapat diselesaikan segera kerana saya dan keluarga saya sudah puas menanggung malu," ujarnya.