Azizul dihukum gantung sampai mati

MARIAM MAULUD (kanan) ditenangkan oleh ahli keluarga selepas anaknya, Azizul dijatuhi hukuman gantung sampai mati di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur semalam.


KUALA LUMPUR - Azizul Aznal Mohamad Jalalani, 26, yang didapati bersalah bulan lalu bersama dua yang lain kerana membunuh bekas pensyarah Universiti Teknologi Mara (UiTM) Bakarudin Busu dihukum gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi di sini semalam.


AZIZUL


Pada 13 November lalu, Sulkarnain Alias, 32, dan Noorman Ab. Wahab, 31, dihukum gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi yang sama setelah mereka didapati bersalah membunuh bekas pensyarah itu.

Pada hari sama, Hakim Datuk Muhamad Ideres Muhamad Rapee turut menyabitkan Azizul, bekas pelajar Institut Kemahiran Bina Negara sebagai bersalah dan menetapkan semalam mendengar laporan akhlak tertuduh sebelum menjatuhkan hukuman kerana pada tarikh kejadian bekas pelajar itu hanya berumur 18 tahun dua bulan.

Ketika menjatuhkan hukuman semalam, Muhamad Ideres memberitahu tertuduh, bahawa dia akan dibawa ke satu penjara yang sah dan dihukum gantung sampai mati.

Bekas pelajar UiTM, Siti Rahmah Azman Subramaniam, 28, turut didakwa dengan pertuduhan membunuh Bakarudin tetapi dibebaskan selepas pihak pendakwaan menawarkannya sebagai saksi utama. Siti Rahmah merupakan teman wanita Sulkarnain.

Mereka dituduh membunuh Bakarudin, 35, di Jalan SS19/6, Subang Jaya pada pukul 9.30 malam 12 Februari 2002.